Abang Long Fadil | |
---|---|
Pengarah | Syafiq Yusof |
Penulis | Syafiq Yusof |
Lakon layar | Syafiq Yusof |
Dihasilkan oleh | Yusof Haslam |
Dibintangi | |
Sinematografi |
|
Disunting oleh | Syafiq Yusof |
Muzik oleh | Sebastien Pan |
Syarikat penerbitan | |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 103 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 3 juta |
Pecah panggung | RM 4.61 juta |
Abang Long Fadil ialah sebuah filem aksi komedi Malaysia 2014 arahan Syafiq Yusof terbitan Skop Productions. Ia dibintangi oleh Zizan Razak, Kamal Adli, Tauke Jambu, Soffi Jikan, Aaron Aziz, Yassin Yahya, Syamsul Yusof dan Harun Salim Bachik. Filem ini merupakan filem ranting dari cerita pokok dalam filem KL Gangster (2011) dan ditayangkan pada 29 Mei 2014. Kesinambungan kedua filem ini, Abang Long Fadil 2 telah ditayangkan pada 24 Ogos 2017.[1][2] Abang Long Fadil menjadi filem Skop Productions pertama yang menggunakan logo baru Skop Productions yang dilancarkan pada Februari 2014.
Abang Long Fadil (Zizan Razak) tidak mahu lagi masuk campur dalam dunia gangster setelah sahabat baiknya Malek (Aaron Aziz) dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan mahu bebas daripada geng Shark (Syamsul Yusof), tetapi dia perlu melaksanakan satu tugasan terakhir sebagai hadiah untuk layak membebaskan diri daripada kumpulan gangster. Shark iaitu musuh dalam selimut kepada Malek tidak senang dengan Abang Long Fadil, maka Shark membuli Abang Long Fadil dengan memberikan tugasan yang dianggap mustahil bagi semua gengster-gengster di KL iaitu untuk menakluk kawasan Kampung Berani. Kampung Berani ialah penempatan orang Melayu yang sedang menghadapi krisis hak milik tanah peneroka dengan syarikat-syarikat kapitalis yang telah mengupah sekumpulan gengster untuk mengugut penduduk kampung. Dalam masa yang sama, kawasan itu dipegang oleh seorang gengster besar yang tidak diketahui identitinya. Pelbagai peristiwa berlaku dalam percubaan Abang Long Fadil untuk menakluk Kampung Berani. Secara tidak sengaja, Abang Long Fadil bertemu dengan Adam (Kamal Adli) yang merupakan anak seorang pendekar dan mempunyai kekuatan luar biasa. Mereka bergabung untuk melawan samseng-samseng di kawasan tersebut, sehingga akhirnya berdepan dengan ketua gangster paling besar di situ.
Abang Long Fadil merupakan arahan kedua Syafiq selepas SAM: Saya Amat Mencintaimu yang ditayangkan pada 2012. Beliau mendakwa penyampaiannya lebih kepada gaya Hollywood yang disuntik ke dalam filem ini. Filem ini menggunakan hampir 40 peratus visual CGI dengan elemen Bumblebee (Transformers)[3] dan Iron Man serta berdasarkan inspirasi menerusi filem-filem seperti Bad Boys, Kung Fu Hustle dan Padayappa.[4]
Zizan Razak yang sebelum ini membintangi dua siri filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof, kembali menjayakan peranannya sebagai Fadil. Syamsul memegang tiga watak dari tiga filem arahannya—Zack (Evolusi KL Drift), Mus (Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Shark (KL Gangster). Aaron Aziz yang sebelum ini muncul dalam beberapa filem terbitan Skop Productions, membuat penampilan istimewa dalam filem ini dengan menjayakan kembali watak Malek lakonannya dalam KL Gangster.[5]
Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa kesal apabila Abang Long Fadil diberi had tontonan untuk golongan 18 tahun ke atas (PG18) oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF),[6] malah filem ini turut menerima potongan sebanyak 9 kali.[7]
Sebulan sebelum tayangan perdananya, treler rasmi filem Abang Long Fadil telah dimuat naik di akaun YouTube Syafiq Yusof pada 22 April 2014 dan telah mencatat 1,267,784 tontonan,[8] manakala di belakang tabir filem ini telah disiarkan di semua stesen TV seluruh negara sebelum tayangan perdana rasmi.[9]
Filem ini mengumpul RM 2.1 juta selepas 4 hari tayangan.[10] Filem ini berjaya mendapat RM 4.61 juta selepas tamat tayangan di tiga buah negara.[11]
Melati Pusaka daripada portal berita Free Malaysia Today memuji pemilihan pelakon bagi filem ini dan kemampuan pengarah mengolah taktik dengan filem-filem kesukaannya yang hebat ke dalam filem ini dan berkata: "Banyak aspek yang saya suka tentang Abang Long Fadil. Pertama sekali, pemilihan pelakon adalah cukup berjaya sekali, sangat sesuai dengan genre komedi filem ni. Pemilihan watak utama Zizan sangat-sangat memberi kejayaan kepada filem ini.".[12] Diyana AR daripada portal kehidupan, TheVocket.com pula menyenaraikan filem ini sebagai "9 Filem Terbaik Malaysia 2014".[13]
Abang Long Fadil dikeluarkan di pasaran video rumah di Jepun oleh Curiouscope pada Mei 2018. Ia ditukar kepada Kung Fu Mafia dan dialog asal telah dikekalkan dengan tambahan sarikata bahasa Jepun.[14][15]
Anugerah | Kategori | Penerima | Keputusan |
---|---|---|---|
Festival Filem Malaysia ke-27[16] | Kesan Khas Terbaik | Viper Studios | Tercalon |
Anugerah MeleTOP Era 2015 | Filem Meletop | Skop Productions | Menang |
Bintang Filem Meletop | Zizan Razak | Tercalon |
Kesinambungan kedua filem ini telah diumumkan pada 13 November 2015. Abang Long Fadil 2 menjalani penggambaran selama 50 hari bermula 15 November 2015.[17] Syafiq Yusof kembali mengarah dan menulis lakonlayar serta mengendalikan proses suntingan. Bapanya Yusof Haslam berkhidmat sebagai penerbit dengan Najwa Abu Bakar menjadi penerbit bersama bagi pihak Astro Shaw. Zizan Razak menjayakan kembali peranannya sebagai Fadil, manakala Syamsul Yusof yang sebelum ini menjayakan peranan pembantu dalam filem pertama, memegang watak sebagai Insp. Wahab.[18]
AC Mizal, Shuib Sepahtu, Achey Bocey, Wak Doyok dan Tania Hudson menyertai barisan pelakon filem ini. Abang Long Fadil 2 ditayangkan pada 24 Ogos 2017.[19] Pada awal 2018, kesinambungan ketiga filem ini telah diumumkan.[20]
Pada Oktober 2017, filem ketiga telah diumumkan secara rasmi oleh Datuk Yusof Haslam dengan Zizan kekal menjayakan watak utama.[21] Kos pembikinan dianggarkan RM4 juta. Penggambarannya dijangka akan diadakan selepas Aidilfitri 2018 iaitu selepas filem KL Special Force pada 8 Mac 2018.[22][23]
Kejayaan filem Abang Long Fadil 2 (AFL2) yang mengutip RM18.1 juta sejak ditayangkan Ogos lalu berjaya memecah rekod penjualan tiket tertinggi yang dipegang oleh Polis Evo.