Abu Shuaib Muhammad bin Nusair an-Numairi (Arab: أبو شعيب محمد بن نصير النميري )[1] merupakan pengasas terkenal dari golongan Nusairi pada abad ke-9, yang merupakan mazhab serpihan Syiah Ithna 'Asyariah.[2][3] Dia kononnya tinggal di kota Basrah, dan dari keturunan Bani Numair yang merupakan salah satu suku Arab Utara yang menetap di sekitar lembah Furat.[2]
Sumber-sumber Nusairi menyatakan bahawa Muhammad bin Nusair mempunyai hubungan yang rapat dengan Imam ke-10 Ali al-Hadi dan Imam ke-11 Hasan al-Asykari.[2] Dia juga mendakwa telah menerima surat, perintah, dan hukum dari Imam ke-12 Al-Mahdi yang tersembunyi (ghaibah), dalam peranannya sebagai wakil imam.[4][5][6] Sumber-sumber Ithna 'Asyariah sebaliknya menuduh bahawa Ibnu Nusair telah mempertuhankan Imam Al-Asykari, menganggap dirinya nabi, dan membenarkan perbuatan sumbang mahram dan homoseksual.[7]
Dakwaan dan ajaran Ibnu Nusair ditolak oleh pengikut Ithna 'Asyariah lainnya, kemudian mereka mengucilkan dan terus mencelanya sehingga dia meninggal dunia.[4] Penggantinya, antara lain Muhammad bin Jundab, Abdullah al-Jannan, dan Al-Husain al-Khasibi,[4] terus sahaja mengembangkan ajarannya; tetapi kerana banyak yang menentang maka penganut ajaran ini menjalankannya secara rahsia (taqiyyah).[4]
Pada tahun 1920-an, pengikut golongan ini menamakan semula Nusairi menjadi Alawit (علوية, 'Alawiyyah), bermaksud "pengikut Ali".[8][7] Pada masa kini, pengikut Alawit bertaburan di Syria, Turki, dan Lubnan.[9]