Nama lain | Anjing putih dan hitam besar Inggeris-Perancis | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Perancis | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing pemburu putih dan hitam besar Inggeris-Perancis atau anjing putih dan hitam besar Inggeris-Perancis[a] ialah satu baka anjing yang digunakan dalam perburuan sebagai anjing pemburu bau, biasanya dalam kawanan. Ia merupakan salah satu baka anjing pemburu Inggeris-Perancis yang dihasilkan melalui penyilangan anjing pemburu bau Perancis dengan anjing pemburu rubah Inggeris.
Ia merupakan hound besar dan berkuasa dari segi penampilan umum, dengan tungkai panjang, telinga labuh panjang, dan ekor panjang. Ia berdiri setinggi 62–72 cm (24–28 in) pada paras kelasa.[1][2]
Warna lapis bulu ialah putih dengan mantel hitam dan tanda-tanda hitam, termasuk bintik hitam atau biru pada tubuh dan bintik sawo matang pada tungkai bawah. Kerap terdapat tanda sawo matang di dasar paha atas, yang dipanggil 'tanda rusa roe'. Kecacatan tersenarai sebagai penyimpangan penampilan atau struktur yang menandakan bahawa anjing dengan kecacatan sedemikian tidak patut dibiakbakakan. Sesetengah kecacatan tersenarai merupakan agresi atau kesiluan, kekurangan pempigmenan, luar warna, gelambir berlebihan, dan anggota rapuh.[1][2]
Anjing pemburu putih dan hitam besar Inggeris-Perancis diturunkan daripada silangan antara hound lama Saintonge dengan anjing pemburu rubah, jenis yang dipanggil bâtard anglo-saintongeois ("anjing kacuk Inggeris-Saintonge"). Nama bagi semua baka dan keragaman anjing pemburu Inggeris-Perancis diperihalkan secara rasmi dengan istilah anglo-français ("Inggeris-Perancis") pada tahun 1957.[3] Ia digunakan sebagai anjing kawanan untuk memburu buruan besar seperti rusa roe, babi hutan, atau haiwan lebih kecil seperti rubah. Sungguhpun anjing ini merupakan anjing besar, "besar" pada namanya tidak semestinya merujuk saiz anjing. "Dalam kebanyakan kes, ini hanya label untuk kawanan yang digunakan untuk buruan lebih besar".[3]
Anjing pemburu putih dan hitam besar Inggeris-Perancis diiktiraf di tanah airnya oleh Société Centrale Canine (Kelab Kenel Perancis)[4] dan di peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa dalam Kumpulan 6, Anjing Pemburu Bau. Di Perancis, ia dibiakbakakan dan dibela terutamanya sebagai anjing pemburu, bukan sebagai anjing peliharaan atau anjing pertunjukan, dan terdapat dua puluh kawanan kerja atau lebih dan sekitar 2000 ekor anjing berdaftar setakat tahun 2009.[1][2] Baka ini telah dieksport ke Amerika Utara dengan pengiktirafan oleh United Kennel Club dalam Kumpulan Anjing Pemburu Bau-nya. Ia juga berdaftar dengan banyak pejabat pendaftaran kecil dan perniagaan pejabat pendaftaran anjing berdasarkan Internet dan dipromosikan sebagai baka jarang untuk mereka yang mencari haiwan peliharaan unik.
Tiada masalah kesihatan luar biasa atau dakwaan kesihatan luar biasa yang telah didokumenkan untuk baka ini.[perlu rujukan] Perangai individu mungkin berbeza-beza, tetapi pada umumnya anjing yang dibiakbakakan untuk menjadi anjing pemburu kawanan bukan anjing peliharaan bagus. Piawaian baka FCI memerihalkannya sebagai anjing "ramah, rapat dengan manusia, dan mudah diuruskan di dalam kenel".[1][2]