Dakwat kekal

Seorang pengundi menunjukkan jari bertanda semasa pilihan raya Iraq 2005
Dakwat pilihan raya pada jari telunjuk pengundi di Timor-Leste

Dakwat pilihan raya atau dakwat kekal merujuk kepada dakwat atau pencelup separa-kekal yang ditanda pada (lazimnya) jari telunjuk pengundi semasa pilihan raya dengan tujuan mengelakkan penipuan pilihan raya seperti pengundian berganda. Ia digunakan secara meluas di negara dunia ketiga di mana dokumen pengenalan warganegara tidak terpiawai atau berinstitusi; yang lalu menjadikan pengesahan identiti pengundi tidak diperlukan.

Dakwat kekal

[sunting | sunting sumber]

"Dakwat kekal" (indelible ink) bererti "tidak dapat dihilangkan". Tanda dakwat kekal biasanya kalis air dan tahan selama beberapa hari, atau hampir seminggu.[1] Tanda ini akan hilang apabila sel kulit lama mati dan digantikan dengan sel kulit baru, oleh itu sebarang tanda pada kutikel dijamin hilang dalam tempoh 2-3 minggu. Namiun begitu, sesetengah dakwat kekal memiliki jangka hayat simpanan yang pendek kerana pelarut yang digunakan cepat terpeluwap.

Penggunaan dakwat kekal dianggap tidak sempurna kerana ia boleh digunakan dalam penipuan pilihan raya dengan menanda penyokong parti lawan sebelum mereka berpeluang membuang undi. Selain itu, terdapat juga lapuran mengenai "dakwat kekal" boleh dicuci dengan peluntur daripada tangan pengundi.[2]

Di Malaysia, dakwat kekal juga dikatakan mampu menghalang penyempurnaan wuduk bagi orang Islam yang memerlukan air wuduk rata ke seluruh bahagian tubuh yang dibasuh.[3] Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan selepas menguji dakwat terbabit memutuskan bahawa dakwat itu tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.[4][1][3] Hukum dakwat kekal berasaskan argentum nitrat adalah harus dan dibenarkan.[5][6]

Pilihan raya

[sunting | sunting sumber]

India, Filipina, Indonesia dan negara membangun yang lain telah menggunakan dakwat kekal dalam bentuk penanda pilihan raya bagi menghalang penipuan pilihan raya. Jawatankuasa pilihan raya di India misalnya telah menggunakan dakwat kekal dalam banyak pilihan raya, menanda jari dan kuku pengundi. Indonesia turut menggunakannya semasa pilihan raya di Aceh. Di Mali, diletakkan pada kuku jari tangan.

Malaysia pada mulanya bercadang menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum Malaysia 2008, bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia membatalkan penggunaannya seminggu sebelum tarikh pengundian, menyatakan ia akan melanggar perlembagaan (ultra vires) jika menghalang orang mengundi walaupun jarinya telah bertanda. Selain itu dikatakan juga bahawa terdapat laporan dakwat diseludup masuk dari negara jiran Thailand[7] untuk menanda jari orang sebelum mereka mengundi, jadi menghalang mereka menunaikan hak mengundi. Dakwat dengan kos RM 2.4 juta itu telah dilupuskan pada 25 November 2009, menimbulkan tuduhan kerajaan membazirkan wang rakyat kerana tidak menjualnya semula.[8]

  1. ^ a b Isu Penggunaan Indelible Ink Diarkibkan 2011-10-12 di Wayback Machine Portal Rasmi Fatwa Malaysia. Oktober 2007.
  2. ^ Afghanistan election: 'indelible' ink washes off voters' fingers The Telegraph. 20 Ogos 2009.
  3. ^ a b Malaysia scraps plan to use indelible ink in election Breitbart. 4 Mac 2008.
  4. ^ Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia Diarkibkan 2011-08-10 di Wayback Machine Portal Rasmi Fatwa Malaysia. Ogos 2007.
  5. ^ Syed Mu’az Syed Putra (11 Januari 2012). "Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan luluskan penggunaan dakwat kekal pada PRU13". The Malaysian Insider. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-13. Dicapai pada 12 Januari 2012.
  6. ^ "Fatwa Council approves the use of indelible ink". theStar online. 11 Januari 2012. Dicapai pada 12 Januari 2012.
  7. ^ Ink washout The Star Online. 5 Mac 2007.
  8. ^ Kerajaan sembunyikan pembaziran RM2.4 juta wang rakyat Diarkibkan 2011-12-09 di Wayback Machine Harakahdaily. 23 Disember 2009.