Eiji Wentz (ウェンツ瑛士 , Wentsu Eiji, lahir 8 Oktober 1985) ialah seorang penyanyi, penghibur dan pelakon yang berasal dari Mitaka, Tokyo, Jepun. Dia dikenali sebagai ahli kumpulan WaT yang dimiliki oleh "Burning Productions."
Eiji adalah anak kedua dan bongsu kepada bapa berdarah Amerika-Jerman dan ibu berketurunan Jepun. Disebabkan latar belakang keluarga Amerika, bapa dan ibunya fasih berbahasa Inggeris; bagaimana pun dia hanya mampu bertutur dalam bahasa Jepun dan menganggap dirinya sebagai orang Jepun. Kerana ibu bapanya perlu bekerja untuk menyara keluarga, Eiji tinggal bersama neneknya semasa kecil. Sebagai seorang remaja, dia adalah lepasan Sekolah Tinggi Sakuragaoka.
Dia mula terlibat dalam industri hiburan pada usia yang sangat muda. Eiji pada mulanya bermula sebagai model pada usia 4 tahun, dan membuat debut lakonannya sebagai peranan Chip dalam Four Seasons Musical Troupe Production Beauty and the Beast. Dia mula terkenal sebagai pelakon kanak-kanak tetap dalam rancangan televisyen NHK, Tensai Terebi-kun (天才テレビくん ) pada usia 10 tahun. Dalam rancangan tersebut, dia memainkan gitar bass dan piano.
Selepas meninggalkan Tensai Terebi-kun, Eiji telah dipelawa oleh Johnny's Entertainment tetapi dia menolak tawaran syarikat tersebut kerana dia "tidak menggemari tarian dan "menyukai komedi". Dia kemudian menyertai Burning Productions atas syor Hiromi Gō.