Hagwon | |
---|---|
Hangul | 학원 |
Hanja | 學院 |
Perumian Semakan | hagwon |
McCune–Reischauer | hagwŏn |
Hagwon (학원) ialah sejenis pusat tuisyen di Korea Selatan. Istilah ini juga digunakan oleh golongan keturunan Korea di Amerika Syarikat untuk merujuk terhadap institusi yang serupa.[1][2]
Hampir kesemua kanak-kanak muda menghadiri Hagwon.[3] Pada 2008, sekitar 70 ribu buah Hagwon wujud di Korea Selatan dengan 47% daripadanya menitikberatkan pengajian sekolah tinggi.[4]
Lazimnya, Hagwon bertindak sebagai pusat kelas tambahan yang boleh membantu meningkatkan pencapaian akademik murid, terutamanya dalam peperiksaan kemasukan sekolah tinggi dan universiti. Meskipun begitu, Hagwon juga memiliki beberapa fungsi pembelajaran yang lain seperti berperanan sebagai pembimbing kepada golongan murid yang tercicir dan memberi latihan yang tidak disediakan sekolah. Sebuah Hagwon lazimnya pakar dalam mata pelajaran Matematik, Sains, kesenian, muzik dan bahasa asing.[5]
Selain itu, Hagwon jenis bukan akademik juga wujud yang mengajar kemahiran seperti bermain piano, berenang dan taekwondo. Hagwon bagi golongan dewasa seperti Hagwon yang memberikan kelas gubahan bunga, pemanduan kenderaan dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Sistem Gwaoe (과외, "pendidikan swasta") pernah diharamkan oleh Presiden Chun Doo-hwan pada 1980 kerana dilihat sebagai tidak adil kepada golongan miskin yang tidak dapat memasukinya serta untuk membina kesamarataan dalam masyarakat. Lama-kelamaan, pengharaman ini dikurangkan oleh pihak kerajaan dengan memberikan lebih banyak ruang kepada pendidikan swasta kepada individu serta organisasi.[6] Pengharaman ini diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan pada 90-an.[7]
Penetapan had masa operasi Hagwon ialah sebuah isu berkontroversi. Pada musim panas 2009, sebuah peraturan had masa operasi Hagwon telah diwartakan di Seoul dan Busan.[8] Pada Oktober 2009, sekumpulan ibu bapa, guru, pelajar dan pengurus Hagwon menubuhkan sebuah petisyen untuk mencabar perundangan tersebut. Pihak mahkamah berkeputusan bahawa peraturan tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan.[9]
Pemerhatian terhadap pihak pengurusan Hagwon menunjukkan bahawa dewan perbandaran selain Seoul tidak menetapkan had masa terhadap Hagwon, dan peraturan ini dilihat tidak memberi kesan terhadap yuran pendidikan.[10] Cubaan untuk mengatasi masalah peraturan ini pernah dilakukan sesetengah Hagwon di Seoul..[11]
Pihak pengurus Hagwon mengadu tentang masalah dalam mencari guru yang benar-benar berkelayakan.[12] Sekumpulan guru bahasa Inggeris mula membentuk sebuah kesatuan pekerja pada 2005.[13]