Jenis | akhbar parti politik |
---|---|
Format | Tabloid |
Diasaskan | 1987 |
Pemihakan politik | Parti Islam Se-Malaysia |
Bahasa | Bahasa Melayu Tulisan Rumi, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu Tulisan Jawi |
Ibu pejabat | Jalan Pahang Barat, Off Jalan Pahang, 53000 |
Bandar | Kuala Lumpur |
Negara | Malaysia |
Edaran | Seluruh Malaysia [1] |
Akhbar saudara | Harakahdaily |
Pemilik | Parti Islam Se-Malaysia |
Pengasas | Mohd Nakhaie Haji Ahmad, Subky Abdul Latif, Mohd Yusof Jalil, Ishak Haji Surin |
Penerbit | Galeri Media Serbaneka Sdn. Bhd. |
Pengarang | Mazlan Mat Jusoh |
Laman sesawang | eharakah |
Harakah ialah akhbar yang diasaskan pada 1987 oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS diberikan permit penerbitan Harakah pada 1 Mac 1987 dengan kekerapan seminggu sekali. Edisi pertama Harakah diedarkan tujuh hari sebelum Muktamar PAS ke-33 iaitu pada 3 April 1987 dengan cetakan sebanyak 15,000 naskah. Pada awalnya ia dijual pada ahli PAS dengan bilangan 35,000 keluaran.[1] Peneraju awal Harakah adalah Dato' Mohammad Nakhaie Ahmad dan dibantu oleh Haji Subky Abdul Latif, Mohd Yusof Jalil dan Ishak Haji Surin.
Akhbar ini mengandungi kandungan yang berbahasa Melayu, berbahasa Inggeris dan bertulisan Jawi. Ia turut mempunyai sisipan yang diberi nama Fikrah yang menghimpunkan kandungan bukan berita[2].Seksyen Bahasa Inggeris dinamakan sebagai English Section mempunyai 8 muka surat. Satu halaman bertulisan Jawi diterbitkan sejak 2007 sehingga kini. Akhbar ini turut dan pernah memuatkan ruangan kolumnis antaranya Catatan Hujung oleh Ahmad Lutfi Othman, Mens Sana in Corpore Sano (Subky Abdul Latif), 123 Lekup (Subky Abdul Latif), Menerjang Badai (Roslan SMS), Duniaku Duniamu (LanH), Celoteh LanH (Roslan Hamid). Rencana daripada Harakah juga boleh didapati melalui laman web miliknya, Harakahdaily.net..
Harakah mula diterbitkan setelah mendapat permit penerbitan sejak 1 Mac 1987 sebagai surat berita atau dalam istilahnya akhbar pertubuhan tetapi kandungannya selain meliputi hal ehwal pertubuhan, ia boleh muatkan “rencana umum” dengan kekerapan seminggu sekali.[3] sebagai menggantikan Al-Harakah yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana diterbitkan tanpa permit. Idea menerbitkan Harakah diasaskan oleh Subky Abdul Latif, bekas wartawan Utusan Melayu dan Mastika dan Nakhaie Haji Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat pada waktu itu. Harakah beredar di pasaran seminggu sebelum Muktamar PAS dilangsungkan dan ketika krisis teruk berlaku dalam UMNO dan menjelang Operasi Lalang 1987[4].
Berikutan sambutan yang baik, Harakah memohon kekerapan penerbitannya ditambah kepada 2 kali seminggu[4]. Permohonan Harakah pada 7 Mei 1990 dijawab segera oleh KDN melalui surat bertarikh 18 Jun 1990 memaklumkan "YAB Menteri (Dr Mahathir) telah bersetuju meluluskan permohonan tuan untuk menerbitkan HARAKAH dua kali seminggu".[3]
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa Harakah tidak lagi dibenarkan dijual secara terbuka dan tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang didapati menjualnya. Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 7 September 1997[5].
Penerbitan Harakah dihadkan kekerapannya daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan pada 2 Mac 2000[6] dan tidak boleh dijual secara terbuka.[7] KDN lewat petang 12 April 2001 akhirnya membenarkan secara lisan PAS menerbitkan Harakah dua kali sebulan sebelum permitnya tamat 11 April 2001. Keputusan terbaru KDN ini yang dipercayai hasil mesyuarat kabinet disambut dengan kecaman dari Presiden PAS, Fadzil Mohd Noor[8].
Tindakan KDN yang mengurangkan penerbitan itu telah dikritik hebat oleh pemimpin PAS dan tokoh parti alternatif seperti Rustam A. Sani, Ezam Mohd Noor, Saifuddin Nasution dan pemimpin DAP. Solat hajat dan tunjuk perasan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan Masjid Derga, Alor Setar pada 3 Mac 2000 kerana membantah tindakan KDN itu[4]
Kerajaan telah meluluskan permohonan Harakah untuk diterbitkan dua kali seminggu. Lembaga Pengarah Harakah mengemukakan permohonan tersebut sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac 2008. Ketua pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman mengesahkan pihaknya telah menerima surat kelulusan tersebut daripada KDN pada 23 Jun 2008.[9]
Pada 23 Mac 2009, KDN menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuasa serta merta. Keputusan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar.[10] Walau bagaimanapun, tidak sampai dua minggu kemudian, larangan ini ditarik balik oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru, Mohd Najib Tun Abdul Razak.[11]
Pada 10 Mac 2010, Mahkamah Majistret membebaskan kesemua 10 orang tertuduh yang menganjurkan demo sekatan permit pada Mac 2000, 10 tahun sebelumnya. Mereka dibebas dan dilepaskan selepas saksi dari pasukan polis tidak menghadiri perbicaraan yang sepatutnya diadakan pada hari ini. Yang dibebaskan ialah Tian Chua, Sivarasa Rasiah, Hishamuddin Rais, Zulkefli Anwar Ul Haq atau Zunar, Munir, Mona Sofian, Nora, Abdul Malik Husin, Ansari, Lokman Nor Adam. Seorang lagi tertuduh, Omar Tan telah meninggal ketika kes masih berjalan..[12]
Pada 8 Julai 2010, pihak pengurusan diberi tujuh hari mulai 6 Julai 2010 bagi menjawab surat tunjuk sebab daripada KDN berhubung pelbagai isu berkaitan syarat penerbitan termasuk kegagalan menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran akhbar itu. Pihak pengurusan Harakah sedang mengendalikan isu permit akhbar itu yang tamat 7 Julai dan belum diperbaharui oleh KDN hingga kini. Namun, seperti 'rakannya' Suara Keadilan, sidang pengarang lidah rasmi PAS, juga akan tetap menerbitkan akhbar mereka - Harakah - seperti biasa. Pemangku ketua pengarang Harakah, Taufek Yahya berkata pihaknya membuat keputusan itu memandangkan surat tunjuk sebab daripada KDN yang baru diterimanya tengah hari ini tidak melarang tindakan itu.[13]
Pada 15 Julai 2010, KDN memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi PAS, Harakah, dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks AL-Quran, Zaitun Ab Samad berkata, keputusan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dibuat setelah KDN berpuas hati dengan kerjasama, penjelasan dan janji pihak pengurusan Harakah untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Menurutnya, pihak pengurusan Harakah memberi perhatian serius terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN dan telah menunjukkan kerjasama yang baik.
Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Mustafa Ali dan Pengarah Urusan Kamarudin Jaafar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha kementerian Mahmood Adam pada 12 Julai lepas untuk memberi penjelasan. Zaitun berkata, pihak Harakah juga telah menjawab surat tunjuk sebab pada 13 Julai dengan membuat akujanji akan mematuhi syarat-syarat permit penerbitan seperti mencetak perkataan "Untuk Ahli Sahaja" dan menghantar lapan naskhah setiap keluaran Harakah kepada KDN sebaik sahaja ia dicetak. "Kementerian akan sentiasa memantau penerbitan Harakah untuk memastikan pematuhan," katanya.[14]
Buat julung kalinya Harakah menerima undangan untuk mengadakan liputan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Disember 2019. Mewakili Harakah, Shahir Abu Hassan hadir menerima penyerahan tag media PAU 2019 yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah[31].
Harakah segera memanfaatkan teknologi ICT ini dengan mengadakan Harakah Edisi Internet seawal tahun 1997 [32] yang dilancarkan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS ketika itu. Pendokong-pendokong IT dari kalangan ahli PAS membantu Harakah memulakan usaha ini untuk menyiarkan bahan-bahan yang ada dalam akhbar Harakah membantu memasukkan berita, rencana utama dan kolum penting. Ketika itu, portal Harakah menggunakan penyedia laman Tripod (Lihat contoh di http://harakah4.tripod.com) dan pautan www.harakah.net. Pada Ogos 1999, Harakah membuka laman webnya sendiri, Harakahdaily yang terbit selengkapnya pada Mac 2000 yang boleh dilayari setiap hari[32]. Portal berita www.harakahdaily.com yang dikemaskini setiap hari digerakkan secara aktif selepas kemenangan besar PAS dalam PRU ke-10.
Sekarang ianya menjadi www.harakahdaily.net dengan kunjungan pelawat sekitar 70,000 (pageview) sehari dan dalam masa peristiwa tertentu seperti pilihan raya, muktamar dan sebagainya, ia boleh mencecah sehingga 100,000 kunjungan sehari. Ianya juga secara tidak langsung merealisasikan sebahagian hasrat Harakah untuk menjadi akhbar harian yang masih belum terlaksana. Pada September 2016[33], Ketua Penerangan PAS, YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengumumkan di Facebook beliau tentang peralihan domain Harakahdaily kepada harakahdaily.net.my. Pada 5 November 2019[34], Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah merasmikan pelancaran HarakahDaily versi baharu dengan domain harakahdaily.org di EDC Hotel, Jalan Raja Laut.
Unit Buku Harakah ialah subsidiari bidang penerbitan buku kepada syarikat media Harakah.
Pada masa kini telah terdapat beberapa buah buku terbitan Harakah telah dijadikan eBook[35]. Antaranya:
Buku tulisan Faisal Tehrani berjudul Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan diterbitkan oleh Unit Buku Harakah yang beralamat di Kuala Lumpur diharamkan oleh KDN berkuat kuasa 22 April 2016[36]. Ia dikatakan cuba mengupas filem sebagai medium dakwah ketika sinema Malaysia tepu dengan filem seram. Berdasarkan warta kerajaan persekutuan, pengharaman itu dikeluarkan berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984[37]. Alasan diberikan, penerbitan itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam kerana mengandungi atau seolah-olah mempromosikan unsur-unsur ajaran atau amalan Syiah yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di Negara ini.[38]
Berikut merupakan senarai Pengerusi Lembaga Pengarah (pernah digunakan sebagai Jemaah Pengarah) Harakah.
Berikut merupakan senarai Pengarah Urusan Harakah sejak ditubuhkan. Bermula sesi 2017, jawatan Pengarah Urusan ditukar kepada Ketua Pegawai Eksekutif.
Berikut merupakan senarai Ketua Pengarang Kumpulan