Sebahagian daripada siri berkaitan Dunia Islam |
Islam mengikut negara |
---|
Pengaruh Islam di negara-negara dunia |
Islam di Poland mula muncul pada sekitar abad ke-14. Ketika itu, masyarakat Islam di Poland biasanya dikaitkan dengan orang-orang Tatar. Ramai yang menetap di Komanwel Poland-Lithuania dan mengekalkan tradisi dan agama mereka. Masyarakat Islam yang lain mula muncul di Poland sekitar tahun 1970-an. Pada masa ini, dianggarkan sebanyak 31,000 orang Islam di Poland dan sebahagian besarnya menganut aliran Ahli Sunah Waljamaah.[1][2]
Poland tidak mempunyai hubungan dengan Islam sehinggalah pada abad ke-14 dengan kedatangan peneroka-peneroka Tatar. Walaupun orang Islam pernah menceroboh negara itu bersama tentera Mongol pada abad ke-13, tiada sebarang kesan pengislaman yang wujud di kalangan penduduk Poland.
Namun menurut catatan seorang pedagang Yahudi, Ibrahim ibn Jakub, yang kemudiannya diterbitkan dalam babad Arab Al-Bakri, terdapat ramai pedagang Arab di Poland pada masa itu. Hal ini dibuktikan dengan adanya jumlah besar duit syiling Arab yang ditemui di tapak-tapak arkeologi di Poland.[3].
Pada abad ke-14, orang Tatar mula menetap di kawasan Duchy Besar Lithuania. Dikenali sebagai golongan pahlawan yang mahir, petempatan mereka digalakkan oleh Grand Duke Lithuania seperti Gediminas, Algirdas dan Kęstutis. Orang-orang Tatar yang menetap di Lithuania, Ruthenia dan timur Poland moden dibenarkan mengekalkan agama Islam mereka sebagai tukaran khidmat tentera. Petempatan awal ini kebanyakannya bersifat sementara dan ramai orang Tatar telah kembali ke tanah air mereka selepas tamat tempoh perkhidmatan. Namun begitu, pada akhir abad ke-14, Grand Duke Vytautas (digelar Wattad oleh orang Tatar, bererti pembela Muslim) dan abangnya Raja Władysław Jagiełło mula menempatkan orang Tatar di daerah sempadan Poland-Lithuania-Teutonic. Mereka dikenali sebagai Tatar Lipka, dan datang dari kawasan Golden Horde dan berkhidmat dalam tentera Poland-Lithuania. Kumpulan terbesar yang sampai ke sini merupakan puak Tokhtamysh, yang memberontak menentang bekas pelindung mereka Tamerlane pada 1397 dan meminta perlindungan di duchy itu. Orang Tatar di bawahnya semuanya diberikan status szlachta, satu tradisi yang kekal sehingga berakhirnya kerajaan Komanwel pada abad ke-18 [4]. Pasukan askar berkuda ringan Tatar, sama ada sebagai peninjau atau pengintip, sering terlibat dalam peperangan menentang tentera asing pada abad ke-15 dan selepas itu dalam Pertempuran Grunwald di bawah pimpinan Jalal ad-Din khan.
Pada abad ke-16 dan ke-17, golongan Tatar tambahan berlindung di kawasan Komanwel Poland-Lithuania, kebanyakannya dengan asal Nogay dan Crimea. Sejak itu hingga 1980-an, agama Islam di Poland banyak dikaitkan dengan golongan Tatar. Kira-kira 15,000 orang Tatar dianggarkan tinggal di Komanwel pada abad ke-17.[3] Pelbagai hak keistimewaan diraja serta status autonomi dalaman kurniaan kerabat diraja Komanwel membolehkan golongan Tatar memelihara agama, tradisi dan budaya mereka sepanjang masa. Puak ketenteraan utama dikurniakan status szlachta dan jata, manakala keluarga-keluarga lain kebanyakannya dimasukkan ke dalam masyarakat luar bandar dan kacukan. Petempatan-petempatan awal Tatar ditubuhkan berdekatan petempatan utama Komanwel untuk membolehkan pergerakan tentera yang pantas. Selain daripada kebebasan beragama, golongan Tatar dibolehkan mengahwini wanita Poland atau Ruthenia beragama Katolik atau Ortodoks, sesuatu yang kurang biasa di Eropah pada masa itu. Golongan Tatar akhirnya diberikan peluang dalam Perlembagaan Mei dengan membolehkan mereka mendapat wakil dalam Sejm Poland.
Peristiwa yang mungkin satu-satunya peristiwa di mana Lipka Tatar melawan terhadap Komanwel adalah ketika Pemberontakan Lipka pada 1672. Keadaan Zaman Deluge dan masalah peperangan berterusan menyebabkan pihak szlachta Poland pusat mengaitkan golongan Muslim Lipka dengan pihak penyerang dari Empayar Uthmaniyah. Hal ini serta Reformasi Katolik yang dipromosikan oleh Wangsa Vasa menyebabkan pihat Sejm mengehadkan keistimewaan Muslim Poland secara beransur-ansur. Meskipun Raja John Casimir dari Poland cuba mengehadkan larangan kepada kebebasan agama serta penghapusan keistimewaan dan hak asal mereka, pihak szlachta menentang tindakan tersebut. Akhirnya, pada 1672, dalam sebuah peperangan dengan pihak Uthmaniyah, regimen Tatar Lipka (kuasa hingga 3,000 orang) yang ditetapkan di kawasan Podolia di tenggara Poland meninggalkan Komanwel pada permulaan peperangan Poland-Turki yang hanya berakhir pada akhir abad ke-17 dengan Perjanjian Karlowitz pada 1699. Pada awalnya, pihak Lipka berlawan bersama-sama pihak Turki yang lebih berkuasa, tetapi kem mereka dibahagikan lalu menyebabkan kebanyakan golongan Tatar tidak berpuas hati dengan pentadbiran Uthmaniyah. Walaupun golongan Tatar mendapat tanah di kawasan kubu Bar and Kamieniec Podolski selepas Perjanjian Buczacz, kebebasan yang diperoleh mereka jauh lebih sempit berbanding daripada ketika di Komanwel. Akibatnya, pada 1674, selepas kemenangan Poland dalam Pertempuran Chocim, pihak Tatar Lipka yang melindungi Podolia bagi pihak Turki di kawasan Bar dikepung oleh tentera Jan Sobieski dan sebuah perjanjian dipersetujui, di mana pihak Lipka pulang ke kuasa Poland bersama pemuliharaan hak dan keistimewaan asal mereka. Kesemua dalam golongan Tatar diampunkan oleh Sobieski dan kebanyakan daripada mereka menyertai kempennya menentang Turki lalu membawa kepada kejayaan Poland dalam Pertempuran Vienna.[5]
Pemberontakan ini menjadi asas dalam novel Pan Wołodyjowski yang merupakan novel terakhir dalam siri Trylogia karya Henryk Sienkiewicz, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 1905. Peristiwa ini turut difilemkan dalam filem Pan Wołodyjowski pada tahun 1969.
Walaupun pada abad ke-18, kebanyakan daripada golongan Tatar dalam ketenteraan dimasukkan dalam budaya Poland manakala golongan bawahan masyarakat Muslim beransur-ansur menggunakan bahasa Ruthenia, bahasa pelopor kepada bahasa Belarus moden, tradisi Sunni dan Tatar masih dikekalkan. Hal ini membawa kepada pembentukan budaya Islam di Eropah Tengah, di mana unsur ortodoks Muslim bercampur dengan toleransi agama dan budaya masyarakat yang liberal secara relatif. Sebagai contoh, golongan wanita Tatar Lipka pada asalnya memiliki hak setaraf dengan golongan lelaki dan diberi status sama rata dan boleh menghadiri sekolah umum tanpa pemisahan.
Pada tahun 1919, semasa Peperangan Poland-Bolshevik, dua pegawai tentera Tatar yang berkhidmat dalam Tentera Poland, Kolonel Maciej Bajraszewski dan Kapten Dawid Janowicz-Czaiński menubuhkan sebuah rejimen askar berkuda Tatar untuk berjuang bersama tentera Poland. Pasukan ini diubah menjadi sebuah skuadron selepas peperangan, menyambung tradisi ketenteraan Tatar yang pernah berjuang dalam Komanwel Poland-Lithuania. Hal ini merupakan salah satu pencapaian utama masyarakat Tatar Poland pada kurun ke-20.[6] Sewaktu kemerdekaan Poland, masyarakat Tatar dianggarkan berjumlah seramai 6000 orang (menurut banci tahun 1931), kebanyakan mereka menduduki kawasan Wilno, Nowogródek dan Białystok Voivodships. Sebahagian besar masyarakat Lipka Tatar juga terdapat di luar Poland, terutama sekali di Lithuania dan Belarus (khususnya di Minsk). Walaupun kecil, masyarakat Tatar membentuk masyarakat minoriti yang dinamik di Poland. Sebuah Pertubuhan Agama Islam ditubuhkan pada tahun 1917 untuk mentadbir hal-ehwal masyarakat Islam di sana. Pada masa yang sama, sebuah pertubuhan untuk memelihara kebudayaan dan pendidikan orang Tatar juga ditubuhkan. Pada tahun 1929, Muzium Nasional Tartar dibangunkan di Wilno dan pada 1931, Arkib Kebangsaan Tatar ditubuhkan. Semua orang Islam yang berkhidmat dalam tentera Poland dikerahkan ke Rejimen ke-13. Skuadron Askar Berkuda Tatar, dan dibenarkan untuk menggunakan panji-panji dan seragam mereka sendiri. Upacara angkat sumpah ketenteraan untuk askar Islam berbeza dengan askar-askar daripada agama yang lain kerana disaksikan oleh Ketua Imam Tentera Poland.[3].
Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan kawasan Tatar diilhakan oleh Soviet Union dan hanya tiga kawasan petempatan yang kekal di dalam Poland (Bohoniki, Kruszyniany dan Sokółka). Namun, ramai orang Tatar yang berpindah ke kawasan takluk Poland dan menempatkan diri mereka di beberapa lokasi di timur Poland terutama sekali di kota Białystok, dan juga di bahagian utara dan barat negara itu (di Gdańsk dan Gorzów Wielkopolski).
<ref>
tidak sah, nama "Historia_Islamu" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
|coauthors=
ignored (|author=
suggested) (bantuan)|coauthors=
(bantuan)|coauthors=
(bantuan)|coauthors=
(bantuan)