Jam Rubik ialah sebuah mainan teka-teki mekanik yang dicipta dan dipaten oleh Christopher C. Wiggs dan Christopher J. Taylor. Pengukir, profesor seni bina dan pencipta Kiub Rubik, Ernő Rubik membeli hak paten permainan tersebut daripada mereka untuk memasarkan mainan tersebut di bawah namanya, dengan nama Jam Rubik. Jam Rubik mula-mula dipasarkan pada tahun 1988.
Jam Rubik ialah sebuah mainan teka-teki mekanin yang terdiri daripada 2 permukaan, setiap permukaan menunjukkan 9 jam kepada pengguna. Terdapat 4 roda, satu pada setiap bucu Jam Rubik, setiapnya membenarkan jam di bucu yang sepadan untuk diputarkan secara terus. Jam-jam bucu, lain daripada jam lain, berputar pada kedua-dua permukaan Jam Rubik pada masa yang sama dan tidak boleh diputarkan secara bebas, membuat Jam Rubik hanya mempunyai 14 jam bebas.
Terdapat juga empat butang yang mengambil ruang kedua-dua permukaan Jam Rubik; setiap butang diaturkan supaya sekiranya satu butang berada dalam keadaan "masuk" pada satu permukaan, butang tersebut akan berada dalam keadaan "keluar" pada permukaan yang bertentangan. Keadaan setiap butang (dalam atau keluar) menentukan sama ada jam di bucu bersebelahan disambung secara mekanikal dengan tiga jam bersebelahan yang lain pada permukaan depan atau belakang: maka konfigurasi butang-butang menentukan kumpulan-kumpulan jam yang mana boleh diputarkan pada masa yang sama dengan memutarkan roda yang berkesesuaian.
Tujuan Jam Rubik adalah untuk menetapkan semua jam kepada pukul 12 pada kedua-dua permukaan mainan pada masa yang sama.
Rekod dunia bagi masa penyelesaian terpantas dimiliki oleh Tommy Cherry dari Amerika Syarikat dengan masa 2.61 saat di pertandingan Mid-Atlantic Championship 2023.[1]
Rekod dunia bagi purata masa daripada tiga masa tengah daripada lima penyelesaian terpantas dimiliki oleh Tommy Cherry dari Amerika Syarikat dengan purata masa 3.50 saat di pertandingan CubingUSA Nationals 2023.[2]
Mainan teka-teki mekanik lain: