Kebudayaan Hongshan (Cina ringkas: 红山文化 ; Cina tradisional: 紅山文化 ; pinyin: hóngshān wénhuà) merupakan sebuah kebudayaan Neolitik di timur laut China. Tapak-tapak Hongshan ditemui di kawasan yang terbentang dari Inner Mongolia ke Liaoning, dan wujud sekitar tahun 4700 SM hingga 2900 SM.[1]
Kebudayaan ini dinamakan sempena Hongshanhou (Cina ringkas: 红山後 ; Cina tradisional: 紅山後 ; pinyin: hóngshānhòu), sebuah tapak di Daerah Hongshan, Chifeng. Tapak Hongshanhou ditemui oleh ahli kaji purba Jepun, Torii Ryūzō pada tahun 1908, dan diekskavasi secara meluas oleh Kōsaku Hamada and Seiichi Mizuno pada tahun 1935.[2]
Antara artifak pengebumian Hongshan ialah beberapa hasil buatan jed yang terawal. Kebudayaan Hongshan terkenal dengan patung naga babi dan naga embrio buatan jed. Patung-patung kecil berbentuk manusia turut ditemui di seluruh tapak-tapak Hongshan, begitu juga dengan gelang-gelang tembaga kecil.[3]
Tapak kaji purba di Niuheliang merupakan dataran upacara unik yang dikaitkan dengan kebudayaan Hongshan. Adalah dikatakan bahawa upacara korban keagamaan pernah diamalkan dalam kebudayaan Hongshan.[4]
Para pengekskavasi telah menemui sebuah kompleks kuil bawah tanah dengan altar sekali, dan juga batu-batu tanda di Niuheliang.[5] Kuil ini terdiri pentas batu dan dinding bermural.[4][5] Ia dinamai Kuil Dewi sempena penemuan kepala wanita buatan tanah liat yang bertatah mata jed.[5] Kuil ini merupakan struktur bawah tanah sedalam satu meter.[4]
Di dalam Kuil Dewi ini terdapat patung-patung tanah liat sebesar tiga kali besar manusia,[5] mungkin berupa dewa yang disembah dalam suatu agama yang tidak dicerminkan dalam sebarang kebudayaan China purba yang lain.[6] Hasil tembikar bercat juga ditemui dalam kuil ini.[4] Sebanyak 60 buah makam berdekatan telah digali keluar, kesemuanya dibuat dengan batu dan dilitupi timbunan batu dan sering dihiasi artifak jed.[7]
Batu-batu tanda ditemui di atas dua bukit yang berdekatan, dengan makam-makam bertangga bulat atau segiempat yang dibuat dengan batu kapur berlonggok. Di dalam makam-makam ini terdapat patung naga dan kura-kura.[4]
Kewujudan rangkaian perdagangan yang kompleks serta seni bina tersergam (seperti piramid dan Kuil Dewi) menunjukkan kewujudan suatu bentuk "keketuaan"[8] dalam masyarakat prasejarah ini.
Seperti yang ditunjukkan oleh bahan-bahan bukti yang ditemui dalam tapak-tapak kebudayaan Yangshao, tapak-tapak kebudayaan Hongshan turut meninggalkan bukti-bukti terawal amalam feng shui.[9] Kehadiran bentuk-bentuk bulat dan segi empat di pusat-pusat istiadat Hongshan membayangkan kewujudan awal kosmografi gaitian (angkasa itu bulat, bumi itu segi empat).[10]
Amalan feng shui terawal bergantung pada ilmu falak untuk menemui hubung kait antara manusia dan alam semesta.[11]
Sesetengah ahli kaji purba China seperti Guo Da-shun memandang kebudayaan Hongshan sebagai tahap yang penting dalam tamadun awal China.[12] Walau apa pun kesamaan bahasa sesama masyarakat purba ini, kebudayaan Hongshan ini dipercayai banyak mempengaruhi perkembangan tamadun China awal,[13] bahkan mungkin juga menyumbang kepada pembangunan petempatan di Korea.[14]
Juga: