Lazada Group (nama dagang: Lazada) ialah sebuah syarikat e-dagang dan salah satu pengendali e-dagang terbesar di Asia Tenggara, dengan lebih 10,000 penjual pihak ketiga setakat November 2014, dan 50 juta pembeli aktif tahunan setakat September 2019.[3][4][5]
Disokong oleh Rocket Internet, Maximilian Bittner mengasaskan Lazada pada 2012 sebagai platform pasaran yang menjual inventori kepada pengguna dari gudangnya sendiri.[1] Lazada mengubah suai model perniagaannya pada tahun berikutnya untuk membolehkan peruncit pihak ketiga menjual produk mereka di platformnya juga. Pasaran menyumbang 65% daripada jualan syarikat pada tahun 2014.[6]
Lazada beroperasi di enam negara: Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina.[7] Syarikat itu mengumpul lebih $685 juta daripada pelabur seperti Tesco, Temasek, Summit Partners, JPMorgan Chase, dan Kinnevik AB, sebelum Alibaba Group memperoleh pegangan kawalan pada April 2016 untuk menyokong rancangan pengembangan antarabangsanya.[8][9][10][11][12][13]
Lazada sering dibandingkan dengan syarikat Asia Tenggara lain dengan platform e-dagang serupa, seperti Shopee, Tokopedia, dan Bukalapak.[14][15]
Sejarah Lazada Malaysia bermula dengan penubuhan syarikat Lazada Group pada Mac 2012 ketika kadar penembusan Internet, media sosial, dan komunikasi bergerak di Asia Tenggara masih lagi berkembang dengan pesat. Kurang setahun daripada penubuhannya, Lazada Group telah menerima suntikan dana pelaburan dari beberapa pelabur-pelabur besar seperti Investment AB Kinnevik,[16] Tenggelmann,[17] Summit Partners,[18], Tesco PLC,[19] dan J.P. Morgan.[20] Lazada Group juga turut menerima dana pelaburan dari beberapa syarikat luar lain termasuklah Temasek Holdings dan Verlivest.[19][21]
Pada April 2016, Alibaba Group telah membeli kepentingan Lazada Group dengan jumlah sebanyak AS$1 bilion.[22] Dari AS$1 bilion itu, AS$ 500 juta itu digunakan untuk membeli saham baru, manakala baki daripada jumlah keseluruhan yang sama digunakan untuk membeli saham lama yang dijual secara sebahagian atau sepenuhnya oleh pelabur-pelabur sedia ada, termasuklah Rocket Internet SE, Tesco PLC, dan Investment AB Kinnevik.[22]
Pada Mac 2016, Lazada Group telah mendedahkan bahawa sepanjang tahun 2015, mereka telah memperoleh Nilai Dagangan Kasar (NDK) yang mencecah AS$1.3 bilion.
Sebagai sebuah syarikat yang menawarkan khidmat jualan barangan dalam talian sepenuhnya, Lazada Group telah melancarkan aplikasi mudah alih untuk sistem pengendalian Android pada tahun 2013.[23] Pada tahun 2014, aplikasi mudah alih untuk pengguna sistem pengendalian Apple (iOS) pula dilancar.[24] Semenjak pelancaran aplikasi mudah alih Lazada, 55% peratus daripada Nilai Dagangan Kasar (NDK) sebanyak AS$1.3 bilion yang dijana oleh Lazada Group pada tahun 2015 sahaja telah disumbang oleh pengguna alat mudah alih. Sehingga Mac 2016, aplikasi tersebut telah dimuat turun sebanyak 30 juta kali, dan di Malaysia sahaja, ia telah dimuat turun empat juta kali. Pada Januari 2016 pula, laman sesawang rasmi Lazada Malaysia telah diiktiraf sebagai laman sesawang ketujuh paling popular di Malaysia.[25]
Pada Mac 2015, Lazada Malaysia telah melancarkan gudang kedua mereka di Kuching, Sarawak selepas yang pertama di Subang Jaya, Selangor.[26] Gudang dua tingkat ini dengan keluasan yang mencecah 14 000 kaki persegi adalah gudang mereka yang pertama di Malaysia Timur.[26] Gudang ini juga akan berfungsi sebagai pusat penghantaran barangan bagi para pengguna yang tinggal di Sabah dan Sarawak.[26]
Pada November 2015, Lazada Malaysia mengumumkan bahawa kini mereka mempunyai servis penghantaran barang mereka sendiri, Lazada Express (LEX).[27] Mereka juga turut melancarkan servis penghantaran pada hari yang sama pada April 2016.[28] Dikenali sebagai "Lazada High-Speed Delivery", servis in tersedia buat para pelanggan yang tinggal di Lembah Klang di mana tempahan yang dibuat sebelum 1 petang akan diterima oleh si pengirim pada hari yang sama barangan itu ditempah.[28]
Dalam usaha mereka untuk mempromosi Lazada Malaysia secara amnya kepada umum, Lazada Group telah melancarkan beberapa kempen membeli-belah dalam talian untuk para pengguna mereka. Pada 12 Disember 2012, mereka telah melancarkan kempen membeli-belah dalam talian "Online Revolution" (Revolusi dalam Talian) di mana mereka mengadakan jualan secara besar-besaran dengan pelbagai promosi dan tawaran untuk tiga hari berturut-turut.[29] Pada tahun 2013, tempoh kempen yang sama telah dipanjangkan supaya ia akan berlangsung selama sebulan, bermula dari 11 November hingga 12 Disember.[30] Juga pada tahun kempen yang sama, sepanjang tempoh kempen berlangsung, mereka telah menerima lebih daripada lima kali ganda jumlah jualan berbanding dengan jumlah jualan pada tempoh yang sama pada 2012.[31]
Pada hari terakhir kempen untuk tahun 2014, dalam tempoh 24 jam, Lazada Group telah menerima lebih 10 juta pelawat yang telah mengunjungi laman sesawang mereka sama ada melalui komputer atau aplikasi mudah alih.[32] Mereka juga turut menerima lebih daripada 200 000 pengguna yang telah memesan lebih daripada 500 000 produk dan barangan.[32] Pada tahun 2015, Lazada Group secara umumnya telah menerima 36 juta kunjungan dan 1.7 juta tempahan barangan dengan Nilai Dagangan Kasar (NDK) sebanyak AS$40 Juta sepanjang tempoh kempen Revolusi dalam Talian berlangsung.[33]
^Fino Yurio Kristo (13 April 2016). "Menelusuri Asal Usul Lazada". Detik.com (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 20 April 2016.
^Staf The Borneo Post (25 January 2013). "Lazada receives eight digit euro investment from Tengelmann" [Lazada menerima lapan digit dana pelaburan dengan matawang Euro dari Tengelmann]. TheBorneoPost.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
^Staf The Nation (19 Jun 2013). "Lazada launches mobile shopping app for Android OS" [Lazada melancarkan aplikasi mudah alih untuk sistem pengendalian Android]. NationMultimedia.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-05-07. Dicapai pada 20 April 2016.
^Addie Mendoza (24 Januari 2014). "Lazada launches mobile shopping app for iPhone and iPad" [Lazada melancarkan aplikasi membeli-belah dalam talian mudah alih untuk iPhone dan iPad]. GadgetsMagazine.com.ph (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-05-08. Dicapai pada 21 April 2016.
^Staf Today (5 Januari 2015). "Malaysian shoppers flock online to beat transport costs" [Rakyat Malaysia beramai-ramai membeli-belah dalam talian untuk mengelakkan koss pengangkutan]. TodayOnline.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
^Inside Retail Singapore Staff (14 Disember 2015). "Lazada's 'Online Revolution' tops 1 million orders" [Tempahan Barangan di Lazada Malaysia untuk 'Online Revolution' Melebihi 1 Juta]. InsideRetail.sg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.