![]() |
Merlimau | |
---|---|
Bandar dan Mukim | |
Negara | ![]() |
Negeri | Melaka |
Daerah | Daerah Jasin |
Mukim | Mukim Merlimau |
Keluasan | |
• Jumlah | 4,674 ha (11,550 ekar) |
Poskod | 77300 |
Merlimau (Jawi: مرليماو ; Cina: 万里茂) merupakan sebuah bandar dan mukim yang terletak di Daerah Jasin, Melaka, Malaysia.[1][2] Jaraknya adalah lebih kurang 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar Jasin. Merlimau adalah sebuah mukim di dalam daerah Jasin dengan keluasan 4,674 hektar yang mempunyai 28 buah kampung.
Kawasan yang berada di dalam poskod Merlimau (77300) ialah Umbai, Pulai, Serkam, dan Kampung Seri Mendapat.
Ramai orang-orang tertanya-tanya tentang asal nama "Merlimau" atau bagaimana Merlimau dapat namanya. Daripada tradisi lisan atau cerita-cerita mulut terdapat dua cerita. Seperti yang diperkatakan ada dua kelompok keturunan terbesar di Merlimau iaitu Bugis dan Palembang.
Dikatakan orang-orang Melayu dahulu sangat pandai bermain senjata istemewanya keris. Mereka adakan latihan bersilat, berpencak atau seni mempertahankan diri setiap hari. Masing-masing mempunyai keris sebagai senjata persendirian yang dibawa ke mana-mana mereka pergi untuk mempertahankan diri dan menentang musuh. Keris ini dijaga dan dipelihara. Cara menjaganya ialah "diusap dan dilimau". Ini bermakna keris mereka mesti diusap dengan kemenyan dan diurut dengan limau. Tradisi merlimau keris ini masih terdapat dikalangan masyarakat Melayu khasnya yang menyimpan keris pusaka. Upacara ini dinamakan "Upacara Merlimau Keris". Setiap malam Jumaat, keris mereka mesti dilimau. Dalam upacara ini mereka berkumpul di rumah Tok Guru untuk melimau keris. Bila ditanya, "Hendak ke mana?", mereka menjawab, "Hendak melimau", dan akhirnya tempat itu dinamakan "Merlimau".
Orang Palembang di Merlimau juga adalah dari keluarga Demang. Merlimau merupakan Perkampungan Keluarga Demang yang berada di semenanjung Melaka di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Pada tahun 1511, Pembesar Orang Bugis yang berhijrah ke Merlimau ialah Datuk Kaya Makmun. Beliau pada asalnya telah menebas, menebang hutan untuk membuat kawasan kediaman. Waktu itu di pedalaman atau di hulu sungai Merlimau adalah hutan yang tidak pernah diterokai. Hutan belantara yang begitu besar dikatakan banyak didiami oleh binatang buas terutamanya harimau. Harimau sentiasa mengancam pendatang baharu ini kerana mereka tinggal di pinggir hutan tebal. Sehubungan dengan itu Datuk Kaya mengarahkan orang-orang mereka membuat pagar menahan serangan atau menahan bahaya harimau. Dalam bahasa dahulu disebut "mara rimau", di mana mereka membuat pagar untuk menahan kemaraan harimau yang akan mengancam kehidupan mereka. Mereka menamakan tempat ini sebagai Mara Rimau, dan akhirnya menjadi "Merlimau".[3][4]
Bugis di Merlimau berdarah anak raja dan pahlawan Bugis bermula pada zaman akhir kejatuhan institusi Kesultanan Melayu Melaka. Pada tahun 1511, pahlawan-pahlawan bersama anak raja Bugis dipanggil Sultan Melaka untuk membantu mempertahankan Kota Melaka daripada serangan Portugis. Selepas Pintu Kota Melaka dibuka, Sultan Melaka lari berundur ke Muar, manakala pahlawan-pahlawan Bugis berundur di sekitar Merlimau. Tun Teja, nenda kepada Sultan Mahmud Syah telah jatuh gering yang berat dan mangkat di perkampungannya di Merlimau dalam perjalanan Sultan Mahmud Syah dan orang-orang kerajaan Melaka berundur ke Muar.[5]
Kampung Mentija juga dikenali sebagai Kampung Tun Teja.
Merlimau dapat dikunjungi dari Bandaraya Melaka melalui dua jalan; Lebuh AMJ LP 19 dan Jalan Melaka-Muar
LP 5. Dari Jasin pula melalui Jalan Merlimau-Jasin
M25 sepanjang 21 kilometer. Dari Lebuhraya Utara-Selatan
Lebuhraya Utara–Selatan Jajaran Selatan
AH2 melalui susur keluar Jasin EXIT 233, selepas keluar dari Plaza Tol Jasin, sepanjang 5 kilometer melalui ladang kelapa sawit sehingga jumpa simpang tiga; ke kiri ke Jasin dan ke kanan ke Merlimau.
Jalanraya 4 lorong dikenali sebagai Lebuh AMJ menghubungkan dari Merlimau ke Muar, Sungai Rambai (selatan); Bandaraya Melaka, Alor Gajah dan plaza tol Simpang Ampat (utara) telah dibuka kepada orang ramai pada 2007. Persimpangan Merlimau Lebuh AMJ yang menghubungkan dengan pekan Merlimau hanya sepanjang 3 kilometer.
Ada satu syarikat bas yang memberikan perkhidmatannya dari Melaka Sentral dan Jasin Sentral iaitu syarikat bas Panorama Melaka (dahulu kenali sebagai syarikat bas MOS dan Kenderaan Aziz).
Merlimau tiada jaringan kereta api. Jika pengunjung ingin menggunakan perkhidmatan kereta api boleh turun di Stesen Kereta Api Pulau Sebang / Tampin di Alor Gajah yang jaraknya 53 kilometer dari Pekan Merlimau atau menggunakan Stesen Kereta Api Batang Melaka sejauh 42 kilometer dari Pekan Merlimau. Syarikat bas Panorama Melaka yang berhenti di stesen Batang Melaka. Manakala Stesen KTMB Pulau Sebang semua jenis ekspres KTM berhenti di stesen ini.
Merlimau mempunyai beberapa tempat sejarah. Antaranya ialah Rumah Penghulu Abdul Ghani,[6] Makam Tun Teja terletak di tengah-tengah sawah padi,[6] dan Perigi Portugis yang terletak di Kampung Pengkalan Samak yang merupakan bekas perigi yang digali oleh orang Portugis semasa kedatangan Portugis ke Melaka.[6]
Merlimau merupakan salah satu kawasan penanaman padi yang masih aktif di Melaka. Terletak di Kampung Merlimau Pantai, Kamung Tengah Padang, Pengkalan Samak, Sempang dan Serkam.