Pangkalan Bantuan Tembakan (Bahasa Inggeris : Fire Support Base, singkatan FSB ataupun firebase) adalah satu pangkalan tentera artileri yang diwujudkan untuk memberikan bantuan tembakan artileri kepada pasukan tentera Amerika. FSB digunakan secara meluas semasa Perang Vietnam untuk memberikan bantuan artileri kepada pasukan tentera Amerika yang beroperasi di jauh di luar kawasan kekesanan pasukan artileri mereka sendiri.
Kedudukan Pangkalan Bantuan Tembakan merupakan satu perkubuan yang kukuh dan diberikan pertahanan yang mantap. Saiz pangkalan berbeza mengikut kepentingan dan berat tugasan bantuan yang diberikan kepada pangkalan tersebut. Pangkalan-pangkalan ini akan dimusnahkan apabila unit artileri yang terlibat dikerahkan bergerak ke lokasi yang lain.
Komponen Pangkalan Bantuan Tembakan berbeza-beza. Secara amnya, pangkalan yang kecil mempunyai 1 bateri askar artileri dengan 6 laras meriam howitzer 105mm dengan awak-awaknya. Bateri artileri tersebut disokong oleh satu platun askar jurutera. Pertahanan diberikan oleh 1 kompeni askar infantri dengan mesingan, bom Claymore, mortar dan senjata ringan.
Sebuah lapangan pendaratan helikopter dibina untuk membolehkan pendaratan helikopter bagi tujuan pembekalan dan pergerakan anggota. Sebuah stesen bantuan perubatan bersama medik disediakan untuk memberikan bantuan kecemasan dan sebuah pusat perhubungan dan pusat operasi taktikal.
Pangkalan Bantuan Tembakan yang sederhana besar mempunyai meriam 155mm sebagai tambahan kepada meriam 105mm dan pertahanan yang lebih mantap, termasuk pasukan atur cepat yang boleh digerakkan dengan segera untuk membantu pasukan infantri yang menghadapi masalah di medan pertempuran.
Pangkalan Bantuan Tembakan selalu menjadi umpan untuk menarik serangan oleh pasukan askar infantri Viet Cong dan Vietnam Utara bila mana tentera Amerika akan menggunakan kekuasaan tembakan secara menyeluruh dengan dibantu oleh serangan bantuan rapat dan serangan oleh helikopter penyerang. Kadang kala, pesawat penyerang AC-47 Spooky ataupun AC-119G Shadow juga digunakan untuk menghapuskan serangan oleh infantri Viet Cong dan Vietnam Utara ke atas Pangkalan Bantuan Tembakan. Serangan ke atas FSB Mary Ann (1971) dan FSB Ripcord (1970) umpamanya memberikan kejayaan besar kepada tentera Amerika. Pangkalan di Khe Sanh juga bermula sebagai sebuah Pangkalan Bantuan Tembakan.