Pernafasan sengsara atau pernafasan tercengah (bahasa Inggeris: agonal respiration ) adalah corak pernafasan yang tidak normal dan refleks batang otak yang dicirikan oleh pernafasan yang sukar dan termengah-mengah, diikuti dengan penyuaraan dan mioklonus yang aneh. Pernafasan ini mungkin berpunca dari iskemia serebrum, hipoksia melampau (ketidakcukupan oksigen untuk dibekalkan kepada tisu) atau anoksia (ketiadaan oksigen secara menyeluruh). Pernafasan sengsara adalah tanda perubatan yang sangat parah dan memerlukan perhatian perubatan dengan kadar segera, kerana keadaan ini kebiasaannya akan menjadi lebih teruk seperti apnea penuh dan kematian . Tempoh pernafasan sengsara boleh sesingkat dua nafas atau bertahan sehingga beberapa jam. [1]
Istilah ini kadang kala digunakan dengan kurang tepat untuk merujuk kepada corak pernafasan yang sukar dan tercungap yang diiringi dengan kegagalan organ (contoh seperti kegagalan hati dan kegagalan buah pinggang), sindrom respons keradangan sistem, kejutan septik, dan asidosis metabolik. Penggunaan istilah secara sempit merujuk kepada nafas-nafas terakhir sebelum kematian. [2]
Pernafasan sengsara juga sering dilihat dalam kes-kes kejutan kardiogenik atau serangan jantung apabila nafas-nafas sengsara ini berlanjutan selama beberapa minit setelah pemberhentian degupan jantung. [3] Dalam kes sebegini kebiasaannya pernafasan sengsara memberikan prognosis yang lebih baik berbanding kes-kes berhenti degupan jantung tanpa ada sebarang simptom pernafasan sengsara. Namun dalam keadaan pesakit berhentinya jantung tetapi tidak responsif dan tidak bernadi, simptom pernafasan sengsara ini bukannya pernafasan efektif. Pernafasan sengsara ini berlaku pada 40% daripada kes serangan jantung yang dialami di luar persekitaran hospital. [4]
[[Kategori:Kecemasan perubatan]] [[Kategori:Kesukaran pernafasan]]