Planula merupakan bentuk larva yang berenang bebas, pipih, bersilia, dan bersimetri dua hala bagi pelbagai spesies cnidaria dan juga beberapa spesies Ctenophora. Sesetengah cacing Nemertea juga menghasilkan larva yang amat serupa dengan planula, dipanggil larva planuliform.[1][2]
Planula terbentuk sama ada daripada telur yang disenyawakan dari medusa, seperti yang berlaku pada Scyphozoa dan sesetengah Hydrozoa, atau daripada polip, seperti Anthozoa.
Bergantung pada spesiesnya, planula sama ada bermetamorfosis terus menjadi rupa 'dewasa genit' yang berenang bebas, ataupun merayau-rayau di serata perairan sehingga menemui substrat atau tapak yang sesuai untuk berlabuh dan berkembang menjadi polip. Jenis 'dewasa genit' termasuk kebanyakan Scyphozoa yang hidup di laut terbuka. Jenis yang melekat pula termasuk semua Anthozoa yang mempunyai peringkat planula, kebanyakan Scyphozoa pantai, dan sebilangan Hydrozoa.[3]
Planula subfilum Medusozoa tidak mempunyai mulut mahupun saluran pencernaan, dan oleh itu tidak dapat makan dengan sendiri, manakala planula Anthozoa boleh makan.[3]
Larva planula berenang dengan hujung aboral (hujung bertentangan dengan mulut) di hadapan.[3][1]