Polis EVO | |
---|---|
Pengarah | Ghaz Abu Bakar |
Penulis |
|
Lakon layar |
|
Dihasilkan oleh | |
Dibintangi | |
Sinematografi | Haris Hue Abdullah |
Disunting oleh | Nazim Shah |
Muzik oleh | Luka Kuncevic |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Astro Shaw |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 124 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 2.4 juta[1] |
Pecah panggung | RM 17.8 juta[2] |
Polis EVO merupakan sebuah filem aksi komedi Malaysia 2015 arahan Ghaz Abu Bakar dan lakon layar oleh Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini. Ia dibintangi oleh Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Hushairi Husain, Mimi Ernida, Harun Salim Bachik, Wan Hanafi Su, Pablo Amirul, Azliyuszaini Mohd Noor dan Amerul Affendi. Filem ini merupakan filem pertama dalam siri filem Polis EVO, mengisahkan dua anggota polis berpangkat inspektor iaitu Inspektor Khai (Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang mempunyai perwatakan yang sangat berlainan tetapi mereka harus bekerjasama untuk menumpaskan sindiket operasi pengedaran dadah.[3] Filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 17 September 2015.
Polis EVO telah memenangi tiga daripada sepuluh pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-28. Sehingga 2023, filem ini berada di tempat yang ke-15 di hadapan Ola Bola dan BoBoiBoy: The Movie didalam senarai filem tempatan dengan kutipan tertinggi. Kesinambungan filem ini, Polis EVO 2 ditayangkan pada 22 November 2018.[4] Joel Soh dan Andre Chiew berkhidmat sebagai pengarah, menggantikan Ghaz. Zizan dan Sam masing-masing kekal sebagai teraju utama dengan penambahan pelakon baru termasuk Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia, Raline Shah.[5]
Inspektor Khai (Shaheizy Sam), Inspektor narkotik terbaik di Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes Syabu Naga yang melibatkan operasi pengedaran dadah di Terengganu. Meskipun kes ini mempunyai kaitan dengan kes yang dikendalikan oleh Inspektor Khai sebelum ini, namun dia harus bekerjasama dengan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang bertugas di Terengganu. Ini kerana Inspektor Sani lebih arif akan selok-belok negeri kelahirannya itu. Walau bagaimanapun, mereka berdua mempunyai personaliti yang berbeza. Inspektor Khai seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas dan perwatakan ini berbeza sekali dengan Inspektor Sani, yang lebih mengikuti prosedur dan protokol. Ketidakserasian itu membuatkan misi mereka hampir gagal. Segalanya berubah apabila ketua penjenayah, Izrail, mula melibatkan keluarga Inspektor Sani dalam kes ini. Inspektor Khai dan Inspektor Sani kini sedar mereka perlu belajar bekerjasama bagi menyelesaikan misi mereka.
Selain itu, Faizal Hussein dan Raykarl Iskandar membuat penampilan kameo tanpa nama dalam televisyen, manakala Annie Arifin memegang watak kecil tanpa kredit dalam filem ini, dengan memegang watak jururawat.
Keempat-empat penulis skrip bagi filem ini, Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf Hashim dan Adib Zaini menyatakan pemilihan perkataan EVO di dalam tajuk filem ini bermaksud "evolusi imej polis untuk dibawa ke layar perak."[6] Tiga daripada empat penulis skrip filem ini juga merupakan bekas pelajar Biasiswa Astro, syarikat yang menghasilkan filem ini.[7] Skrip bagi filem ini setebal 180 muka surat, hampir sama dengan jumlah muka surat bagi senaskah novel.[8] Untuk mendapatkan susuk tubuh Inspektor Khai, Shaheizy Sam telah melakukan senaman dalam tempoh lima bulan dari April hingga September 2014.[9][10][11] Zizan Razak pula mengakui filem ini merupakan filem pertamanya yang menggunakan bahasa Melayu Terengganu sepenuhnya. Beliau juga telah mengurangkan aspek komedi dalam pembawaan watak Inspektor Sani atas hasil nasihat pihak Polis.[12] Amerul Affendi pula mendedahkan ini merupakan kali pertama dirinya diberi watak lelaki lembut.[13][14]
Filem ini telah menjalani penggambaraan di Terengganu dan beberapa lokasi di Kuala Lumpur pada bulan September 2014.[15]
Filem ini menjadi mahsyur kerana promosi "mulut-ke-mulut" dan di media sosial[16] dek ulasan yang menarik dan positif.[17] Filem ini berjaya menjadi antara 10 carian terbanyak[18] serta filem dengan carian terbanyak di Google Malaysia untuk bulan September 2015.[19][20]
Rata rata ulasan mengenai filem ini adalah positif. Kenneth Chaw daripada The Star memberi ulasan "Polis EVO mempunyai cita-cita tinggi dan berjaya mencapai cita-cita tersebut."[21] Akhmaliah Razak dari Sinar Harian pula mengulas filem ini sebagai "...setanding filem antarabangsa."[22] Nasir Jani dari akhbar yang sama pula beranggapan "... berjaya menghiburkan penonton dengan ramuan-ramuan perlu ada pada sebuah filem aksi dengan garapan ala Malaysia."[23] Aidil Rusli dari The Malay Mail pula mengulas "...calon yang kuat untuk dinobatkan sebagai filem Terbaik Malaysia tahun 2015".[24] Portal hiburan Rotikaya.com memberikan filem ini "4 Biji Rotikaya".[25]
Majlis pelancaran filem ini telah diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2015. Treler filem ini telah dimuat naik ke YouTube Astro Shaw pada hari yang sama.Tayangan perdana bagi filem ini telah dilakukan di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada 3 September 2015. Filem ini telah ditayangkan kepada umum pada 17 September 2015 di 98 buah pawagam di seluruh Malaysia juga Brunei.[26] Selepas empat hari tayangan, filem ini telah mengumpul kutipan sebanyak RM2.5 juta dengan jumlah pawagam yang menayangkan filem ini meningkat kepada 101 buah pawagam.[27][28] Kutipan bagi filem ini meningkat kepada RM8 juta selepas sebelas hari tayangan.[29] Selepas tiga minggu ditayangkan, jumlah kutipan terus meningkat kepada RM13 juta dengan jumlah panggung sebanyak 102 buah. Kutipan meningkat lagi sebanyak RM2 juta memasuki sebulan tempoh tayangan, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 juta.[30] Memasuki minggu ke-enam tayangan, kutipan filem ini terus bertambah menjadi RM16 juta.[31]
Selepas 60 hari ditayangkan di pawagam, kutipan filem ini ialah sebanyak RM17.8 juta, memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh filem 2014 The Journey terbitan Astro Shaw juga (RM16.87 juta).[32]
"EVO" | |
---|---|
Single oleh Joe Flizzow feat. SonaOne | |
Dilancarkan pada | 2015 |
Dirakamkan pada | 2015 |
Genre | Hip hop |
Panjang | 4:17 minit |
Syarikat | Measat Broadcasting, Astro Shaw dan Tayangan Unggul |
Penulis | Audi Mok, Joe Flizzow, SonaOne dan Shazee Ishak |
Penerbit | Measat Broadcasting, Astro Shaw dan Tayangan Unggul |
sunting · sunting di Wikidata |
Lagu OST untuk filem ini ialah EVO oleh Joe Flizzow dan SonaOne. Lagu ini telah dilancarkan pada 3 Ogos 2015 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.[33]
Penerbitan untuk kesinambungan filem Polis EVO mengambil masa yang lama untuk bermula disebabkan oleh masalah pemilihan lokasi. Rancangan asal penggambaran sepatutnya bermula sebelum Ramadhan (sekitar bulan Mei) 2017. Filem Polis EVO 2 menyaksikan Joel Soh mengambil tugas Ghaz Abu Bakar selaku pengarah untuk filem tersebut dan menyaksikan primadona Melayu, Erra Fazira sebagai pelakon pembantu.[34]
Pelakon Indonesia, Raline Shah pula bakal membawa teraju wanita menggantikan Nora Danish untuk filem terbaru. Beliau telah memuat naik beberapa rakaman video di media sosial yang menunjukkan dia sedang menjalani latihan fizikal di gimnasium bersama-sama Shaheizy Sam sebagai persediaan sebelum penggambaran.[35]
Penggambaran Polis EVO 2 bermula sekitar penghujung Oktober 2017 membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan. Ia selesai pada Januari 2018 dan menyaksikan Zizan Razak dan Shaheizy Sam kembali menghidupkan watak asal mereka iaitu sebagai Inspektor Polis, selain turut menampilkan pelakon lain seperti Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia, Raline Shah.[36]
Filem ini diumumkan pada September 2019, Syafiq Yusof menggalas tanggungjawabnya sebagai pengarah, sekaligus mengambil alih tugas daripada Ghaz Abu Bakar yang mengarahkan filem pertama dan Joel Soh dan Andre Chiew yang mengarahkan filem kedua. Zizan Razak dan Shaheizy Sam telah menandatangani untuk menjayakan semula watak mereka, turut kembali berlakon dalam siri ketiga filem ini ialah Nora Danish dan Eyka Farhana.[37]
Tahun | Anugerah | Kategori | Pencalonan | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2016 | Anugerah MeleTOP Era 2016 | |||
Filem MeleTOP | Polis EVO | Menang | ||
Bintang Filem MeleTOP | Zizan Razak | Menang | ||
Shaheizy Sam | Tercalon | |||
Festival Filem Malaysia ke-28 | Filem Terbaik | Joel Soh | Tercalon | |
Anugerah Khas Juri | Menang | |||
Pengarah Terbaik | Ghaz Abu Bakar | Tercalon | ||
Pelakon Lelaki Terbaik | Zizan Razak | Tercalon | ||
Shaheizy Sam | Tercalon | |||
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Hushairi Hussain | Menang | ||
Sinematografi Terbaik | Haris Hue Abdullah | Menang | ||
Suntingan Terbaik | Nazim Shah | Tercalon | ||
Lakon Layar Terbaik | Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf Hashim & Adib Zaini | Tercalon | ||
Penataan Bunyi Terbaik | Imaginex Studio | Tercalon | ||
Busana Terbaik | Nasirah Ramlan | Tercalon | ||
Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016 | Pengarah Terbaik | Ghaz Abu Bakar | Tercalon | |
Lakon Layar Terbaik | Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf Hashim & Adib Zaini | Tercalon |