Istilah rakyat British[1] atau subjek British[a] mempunyai makna yang berbeza mengikut tempoh masa. Sebelum 1949, istilah tersebut merujuk kepada semua rakyat Empayar British (termasuklah United Kingdom, dominion dan jajahan, tetapi tidak termasuk tanah naungan dan negeri naungan). Di antara 1949 hingga 1983, istilah itu bersinonim dengan warga Komanwel. Pada masa kini, rakyat British merujuk kepada mereka yang memiliki kelas kerakyatan British yang sebahagian besarnya diberikan dalam keadaan terhad kepada mereka yang lahir sebelum tahun 1949 dan mempunyai kaitan dengan Ireland atau India British. Individu-individu dengan kerakyatan ini merupakan warga British dan warganegara Komanwel tetapi bukan warganegara British.
Status di bawah takrifan semasa tidak memberikan hak tempat tinggal secara automatik kepada pemegang di United Kingdom tetap kebanyakan rakyat British mempunyai hak ini. Kira-kira 32,400 rakyat British memegang pasport British yang aktif dengan status ini dan menikmati perlindungan konsular apabila mengembara ke luar negeri; kurang daripada 800 orang yang tidak mempunyai hak tempat tinggal di United Kingdom (UK).
Warga British dengan kelas ini yang tidak memiliki hak tempat tinggal tertakluk kepada kawalan imigresen apabila memasuki United Kingdom. Jika mereka tidak memegang kewarganegaraan lain, rakyat British tanpa hak tempat tinggal di UK dianggap tidak bernegara kerana mereka tidak dijamin hak untuk memasuki negara di mana mereka ialah warganya.
Rakyat British yang tidak mempunyai hak tempat tinggal di United Kingdom dikecualikan daripada mendapatkan visa atau sijil kemasukan apabila melawat UK untuk tempoh kurang dari enam bulan.[2] Apabila mengembara di negara-negara lain, mereka boleh mendapatkan perlindungan konsular British.[3] Rakyat British tidak dianggap sebagai warga asing apabila menetap di UK dan berhak mendapat hak tertentu sebagai warganegara Komanwel.[4] Ini termasuklah pengecualian daripada pendaftaran dengan polis tempatan,[5] kelayakan mengundi dalam pilihan raya UK[6] dan dibolehkan untuk menyertai Angkatan Tentera British.[7] Rakyat British juga layak untuk berkhidmat dalam kesemua perkhidmatan awam,[8] diberikan penghormatan British, menerima gelaran bangsawan dan memegang kerusi di Dewan Pertuanan.[4] Jika diberikan status tinggal menetap tidak ditentukan (ILR), mereka layak untuk bertanding dalam pilihan raya Dewan Rakyat[9] dan kerajaan tempatan.[10][11][12]
Rakyat British hanya mempunyai hak tempat tinggal di UK jika mereka lahir daripada salah seorang ibu atau bapanya merupakan rakyat British, di mana mereka sendiri dilahirkan di UK atau jika si ibu berkahwin dengan pasangan yang mempunyai hak tempat tinggal sebelum tahun 1983.[13] Hampir setiap orang yang mengekalkan status rakyat British memiliki hak tempat tinggal di UK. Kira-kira 32,400 orang memegang pasport British aktif dengan status itu dan kurang daripada 800 orang tidak mempunyai hak tersebut.[14]
Kesemua rakyat British boleh menjadi warganegara British melalui pendaftaran, bukannya pewarganegaraan (naturalisasi), selepas menetap di United Kingdom untuk lebih daripada lima tahun serta memiliki sama ada hak tempat tinggal atau status ILR untuk lebih daripada setahun. Pendaftaran dengan cara ini memberikan kewarganegaraan selain daripada keturunan, yang bermaksud anak-anak yang lahir di luar UK kepada mereka yang berjaya didaftarkan ialah warganegara British mengikut keturunan.[15] Rakyat British dengan hak tempat tinggal mungkin juga mendaftar kewarganegaraan tanpa keperluan menetap berdasarkan kelahiran mereka daripada ibu atau bapa yang dilahirkan di UK. Pemohon-pemohon yang berjaya mendaftar dengan cara ini menjadi warganegara British mengikut keturunan dan tidak boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang lahir di luar UK.[16] Individu-individu yang menjadi warga British secara automatik kehilangan status rakyat British jika mereka tidak mempunyai hubungan dengan Ireland. Jika tidak, rakyat British mungkin juga menjadi warganegara British secara serentak.[15] Rakyat British yang tidak memegang dan tidak kehilangan kerakyatan lain pada atau selepas 4 Julai 2022 berhak untuk mendaftar sebagai warganegara British.[17]
Dalam suatu kes di hadapan Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah, salah satu pihak berhujah bahawa rakyat British yang tidak memiliki kerakyatan lain secara de facto tidak bernegara kerana mereka tidak mempunyai hak untuk memasuki negara yang mendakwa mereka sebagai warganya.[18] Akta Kerakyatan, Imigresen dan Suaka 2002 membenarkan individu-individu ini untuk mendaftar sebagai warganegara British setelah keadaan ketakbernegaraan secara umumnya diselesaikan untuk mereka yang merupakan rakyat British semata-mata.[17]
Rakyat British tanpa hak tempat tinggal tertakluk kepada kawalan imigresen apabila memasuki United Kingdom.[3] Mereka dikenakan bayaran tambahan kesihatan imigresen untuk mencapai manfaat-manfaat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan apabila menetap di UK untuk lebih daripada enam bulan[19] dan tidak layak untuk kebanyakan program kebajikan.[20]
Sebelum United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah pada 31 Januari 2020, warganegara British penuh dan rakyat British dengan hak tempat tinggal di UK merupakan warganegara Kesatuan Eropah (EU).[21] Rakyat British dengan tanpa hak tempat tinggal di UK pula bukanlah warganegara EU dan tidak menikmati kebebasan bergerak apabila berada di negara-negara EU yang lain.[22] Mereka pernah dan secara berterusan dikecualikan daripada memperoleh visa apabila melawati Kawasan Schengen.[21]