Sepet | |
---|---|
Pengarah | Yasmin Ahmad |
Penulis | Yasmin Ahmad |
Dihasilkan oleh | Rosnah Kassim Elyna Shukri |
Dibintangi | Ng Choo Seong sebagai Lee Seow Loong/Jason Sharifah Amani sebagai Orked Linus Chung sebagai Keong Ida Nerina sebagai Mak Inom Harith Iskandar sebagai Abah Adibah Noor sebagai Kak Yam Tan Mei Ling sebagai Ma Thor Kar Hoong sebagai Pa |
Sinematografi | Low Keong |
Tarikh tayangan | 24 Februari 2005 |
Masa tayangan | 104 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Malaysia Bahasa Inggeris Bahasa Mandarin Bahasa Kantonis Bahasa Hokkien |
Sepet ialah sebuah filem cerita cinta bercampurkan komedi yang difilemkan di Bandaraya Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan, Malaysia pada tahun 2005. Diarah oleh Yasmin Ahmad, Sepet mengisahkan percintaan antara seorang pemuda Cina dengan seorang gadis Melayu yang baru sahaja tamat sekolah menengah. Perkataan sepet itu sendiri bermaksud mata yang bersaiz kecil atau kuyu dan biasanya dirujuk kepada bangsa Cina kerana rupa bentuk mata mereka yang sepet.
Lee Seow Loong, juga dikenali sebagai Jason ialah seorang penjaja cakera padat video (VCD) cetak rompak di sebuah pasar malam di suatu pelusuk di Bandaraya Ipoh. Hidup Jason bertukar apabila seorang anak dara Melayu yang baru sahaja tamat SPM, Orked, tiba di gerainya mencari filem pelakon kegemarannya, Takeshi Kaneshiro. Kedua-dua orang tertarik oleh rupa wajah satu sama lain dan jatuh hati serta-merta. Jason meninggalkan nombor telefon bimbitnya di dalam kotak VCD yang dibeli Orked yang turut menghubungi Jason. Lantas, mereka berdua terus menjumpai satu sama lain dan begitulah pertalian cinta yang melintasi sempadan perbezaan bangsa mekar antara Jason dan Orked. Gara-gara percintaan mereka terbukti dengan mengambil gambar kenangan, makan serta berjalan dalam hujan bersama. Ada di kalangan rakan sekelas Orked mengejeknya kerana bersama seorang yang bukan sama warna kulit dengannya, namun Orked tidak mempedulikannya lantaran melemparkan hujahnya yang berbunyi, "For generations, Malay men have been marrying outside their race (Selama berapa keturunan, lelaki Melayu berkahwin di luar lingkungan bangsanya). Sekarang aku (perempuan Melayu) nak buat, semua bising!"
Cinta itu bukan tiada ujian daripada-Nya. Lantaran apabila Jason diekori ketua kongsi gelap kawasan Jason menjaja VCDnya, Jimmy, kerana mengesyakinya yang menyebabkan adiknya Maggie hamil ketika dia berada di Hong Kong pada masa itu. Kehamilan Maggie bukan disengajakan lantaran dia sendiri yang enggan melepaskan Jason yang dianggap sebagai teman lelakinya lalu berasmara dengannya. Apabila Orked mengetahui perkara ini, dia memutuskan segala komunikasi dengan Jason namun masih mempunyai sedikit perasaan terhadapnya.
Keadaan itu berlarutan sehinggalah Orked memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Ibunya, Mak Inom, dan orang gaji rumahnya, Kak Yam, yang masih berhubung dengan Jason memberitahu Jason hal tersebut. Jason yang sangat rindu terhadap Orked bergegas ke lapangan terbang dengan menaiki motosikalnya pada hari Orked dijadualkan bertolak untuk menemuinya buat kali terakhir. Dalam perjalanan ke lapangan terbang bersama ibu bapanya, Mak Inom memujuk Orked untuk membaca surat terakhir yang dikirim oleh Jason kepadanya. Dalam surat itu, Jason meluahkan perasaan rindunya yang amat terhadap Orked dengan memberitahunya bahawa dia tidak dapat tidur kerana gagal menuliskan sebuah sajak tentang Orked; akhirnya Jason sedar bahawa Orked merupakan sajak yang dikurniakan-Nya kepadanya. Jason ingin mendengar suara Orked buat kali terakhir supaya dia dapat tidur dengan nyenyak. Pernyataan tersebut menusuk kalbu Orked menyebabkannya menitiskan air mata. Mak Inom kemudian memujuknya supaya menelefon Jason dan memberitahunya perasaan sebenar Orked terhadapnya.
Pada penghujung cerita, Jason kelihatan tertiarap di atas jalan raya dengan kepalanya berlumuran darah. Di tepinya, telefon bimbitnya yang telah pecah kaca skrinnya masih berdering. Sama ada Jason telah terkorban dalam kemalangan jalan raya itu tidak terjawab kerana dialan telefon Orked kepada Jason terjawab oleh seseorang yang suaranya seakan-akan Jason.
Festival Filem Antarabangsa Tokyo Ke-18 2005
Anugerah Video Malaysia Ke-9
Festival Pengarah Wanita Antarabangsa Creteil Ke-27 di Perancis
Festival Filem Malaysia Ke-18,10 pencalonan:
Anugerah Kesenian Emas China Sedunia
Anugerah Era 2005
Filem cerita sambungan kepada Sepet, Gubra, turut difilemkan di Ipoh dan ditayang di pawagam pada tahun 2006. Filem ketiga Yasmin dalam siri pengisahan Orked, Mukhsin, mengisahkan hidup Orked sebelum Sepet.
Yasmin Ahmad merupakan seorang pengarah yang mahir dalam menyuarakan sindirannya melalui filemnya. Dalam filem Sepet, Yasmin menyindiri masyarakat Malaysia hari ini seperti berikut:
Sepet pada mulanya dilarang daripada ditayangkan di pawagan atas empat sebab:
Namun demikian, Yasmin mendapat sokongan daripada pihak kerajaan dan akhirnya Sepet dibenarkan ditayang di pawagam-pawagam Malaysia dengan 9 potongan.