Nama lain | Spits Nordik | ||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Sweden | ||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Spits Norrbotten[a] atau spits Nordik[b] ialah satu baka anjing jenis spits. Sebagai baka bersaiz kecil hingga sederhana dengan ciri tipikal mirip spits, spits Norrbotten telah dibela secara tradisional sebagai anjing pemburu di Sweden Utara dan berkait rapat dengan baka-baka spits Nordik seperti spits Finland.
Spits Norrbotten mendapat namanya dalam bahasa Sweden, norrbottenspets, sempena wilayah Norrbotten di timur laut Sweden. Baka ini juga dikenali sebagai spits Nordik (pohjanpystykorva)[1][2] Asal usul baka ini tidak diketahui; boleh jadi kedua-dua darah baka Artik dan spits Jerman hadir dalam keleluhurannya.[3] Spits Norrbotten ialah padanan dari Sweden bagi spits Finland yang berkait rapat, laika Karelia-Finland dari Rusia, dan buhund Norway dari Norway; baka-baka berbeza yang hanya menjadi terpisah dengan pengiktirafan kelab kenel masing-masing untuk anjing yang ditemukan merentasi sempadan beberapa negara.[1] Dalam keadaan hampir lenyap pada abad ke-20, pada tahun 1948, Kelab Kenel Sweden mengisytiharkan bahawa baka ini pupus dan keadaan kekal sehingga tahun 1960-an apabila bilangan cukup ditemukan untuk baka diisytiharkan ekstan.[1][3] Spits Norrbotten, yang langsung tidak menerima perhatian antarabangsa seperti spits Finland atau buhund Norway, jarang terlihat di luar Skandinavia, namun dengan pemulihan minat pada baka kebangsaan, kini, spits Norrbotten ialah baka agak popular di Sweden.[1][2][3]
Spits Norrbotten ialah baka bersaiz kecil hingga sederhana yang padat dan tegap dengan ciri tipikal spits.[4] Dengan saiz sedikit lebih kecil berbanding dengan spits Finland, piawaian baka menyatakan bahawa jantan patut berdiri setinggi 43–47 sentimeter (17–19 in) dan betina pula lebih kecil sedikit, iaitu setinggi 40–44 sentimeter (16–17 in); ia biasanya berukuran seberat 11–15 kilogram (24–33 lb).[1][2][5] Baka ini mempunyai lapis bulu ganda tebal dan padat yang melindunginya dengan baik semasa musim sejuk Artik; lapis bulu luaran keras, pendek, dan lurus manakala lapis bulu bawah halus dan padat.[4] Baka ini dapat dilihat dengan semua warna, namun putih dengan tanda-tanda merah, kuning, krim, sawo matang, atau hitam adalah paling umum; piawaian baka menyatakan bahawa ia patut berwarna putih sama ada dengan tompok kuning atau merah.[1][4][5] Baka ini mempunyai kepala berbentuk baji dengan telinga tegak; tubuhnya kuat dan panjangnya sama dengan tingginya, dengan dada dalam.[4] Ekornya panjang dan terangkat tinggi-tinggi, melingkar ke atas belakang, seperti anjing spits tipikal.[4]
Spits Norrbotten diperihalkan sebagai baka amat cerdik dan bertenaga. Ia mempunyai sifat ingin tahu dan memerlukan senaman agak banyak, sampai bersikap pemusnah jika tidak mendapat senaman.[4] Pada umumnya berperangai sederhana, baka ini dikatakan mempunyai toleransi rendah terhadap kanak-kanak yang mengganggunya.[2]
Kini, kebanyakan spits Norrbotten dibela sebagai anjing peliharaan, namun secara tradisional baka ini telah dikekalkan sebagai anjing pemburu dan anjing ladang umum.[3][4] Baka ini digunakan untuk memburu pelbagai buruan termasuk unggas buruan, rusa termasuk elk, serta kadang-kadang beruang; terdapat banyak kisah tentang spits Norrbotten yang menghalau beruang yang telah menyerang tuannya.[3][4] Sebagai pemburu bertenaga dan tekun dengan deria bau tajam, banyak spits Norrbotten telah terlatih sebagai anjing pencarian dan penyelamatan.[3][4]
Sebuah kajian Sweden yang menyemak lebih daripada 200,000 ekor anjing yang berdaftar untuk sebuah syarikat insurans veterinar pada tahun 1995 dan tahun 1996 mendapati bahawa spits Norbotten mempunyai morbiditi paling rendah antara semua anjing, baka tulen dan kacuk.[6]