Suhail Shaheen | |
---|---|
Kelahiran | Muhammad Suhail Shaheen Wilayah Paktia, Afghanistan |
Pusat pendidikan | Universiti Islam Antarabangsa Islamabad Universiti Kabul |
Parti politik | Taliban |
Muhammad Suhail Shaheen (Pashto/Dari : محمد سهیل شاهین ) ialah seorang anggota Taliban yang kini berkhidmat sebagai jurucakap rasmi Emiriah Islam Afghanistan di pejabat mereka di Qatar.[1][2][3][4] Beliau menjadi penyunting akhbar Afghanistan milik negara berbahasa Inggeris The Kabul Times semasa pemerintahan Emiriah Islam Afghanistan yang pertama (1996–2001), sebelum dilantik sebagai timbalan duta di Kedutaan Afghanistan di Pakistan.[5]
Pada 20 September 2021, kerajaan Emiriah Islam Afghanistan pimpinan Taliban mencalonkannya menjadi utusan rasmi Afghanistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun, Ghulam Isaczai, duta kerajaan Republik Islam Afghanistan yang kini digulingkan, akan dikekalkan kerusinya sebagai wakil rasmi Afghanistan ke PBB, melainkan Jawatankuasa Tauliah PBB menerima pelantikan Shaheen.[6]
Suhail dilahirkan di Wilayah Paktia di Afghanistan.[5] Dia berpendidikan di Pakistan, dan terkenal sebagai seorang penulis prolifik dan fasih berbahasa Inggeris dan Urdu di samping bahasa asalnya, Pashto.[7] Suhail belajar di Universiti Islam Antarabangsa Islamabad[7] dan Universiti Kabul.[8]
Semasa era Emiriah Islam permerintahan Taliban yang pertama (1996–2001), Suhail berkhidmat sebagai Timbalan Duta Besar Afghanistan di Kedutaan Afghanistan di Pakistan.[8] Semasa fasa terakhir pemberontakan Taliban (2013–2021), beliau berkhidmat sebagai salah seorang jurucakap rasmi Taliban di pejabat politik mereka di Doha, di mana beliau menyampaikan banyak temubual kepada saluran media antarabangsa.[9]
Pada 20 September 2021, sebulan selepas Taliban mengambil alih Afghanistan secara menyeluruh, Suhail telah dicalonkan oleh kerajaan Afghanistan untuk menjadi duta Afghanistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.[6]
Pada Oktober 2021, Shaheen menolak bantuan Amerika Syarikat dalam memerangi kumpulan Negara Islam (Daesh) Wilayah Khorasan, dengan berkata, "Kami dapat menangani Daesh secara bebas."[10]