Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (secara ringkasnya, SC) adalah badan yang ditubuhkan pada 1 Mac1993 di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1993, SC merupakan badan berkanun biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:
Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
Meluluskan terbitan bon;
Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan kontrak niaga hadapan;
Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.
Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan niaga hadapan di Malaysia.
Untuk mempromosikan dan mengekalkan sekuriti dan pasaran hadapan yang adil, cekap, selamat dan telus bagi menyediakan pasaran kewangan yang berinovatif dan berdaya saing.
SC komited dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi semua yang terlibat atau yang menerima kesan daripada operasinya sejajar dengan keperluan undang-undang, standard yang relevan dan kod amalan.
Pelaksanaan dan keberkesanan dasar ini merupakan tanggungjawab pihak pengurusan SC melalui sumber-sumbernya, latihan dan masa yang diperuntukkan serta penyertaan dan penglibatan semua kakitangannya.
SC menggalakkan budaya kerja yang selamat dan sihat, yang mana pihak pengurusan dan semua kakitangan berkongsi tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik untuk semua.
Sebuah sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan serta programnya akan dilaksanakan dan dikaji semula secara kerap bagi memastikan penambahbaikan yang berterusan.