TV Pendidikan

TV Pendidikan
JenisAwam
Negara
KetersediaanSeluruh negara
Ibu pejabatBukit Kiara, Kuala Lumpur (1972 - 2008)
Angkasapuri, Kuala Lumpur (1972–1999, 2020–kini)
Bukit Jalil, Kuala Lumpur (2000–2006, 2020–kini)
Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor (2007–2008, 2020–2024)
Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur (2024– kini)[1]
Pemilik
Tarikh pelancaran
  • 19 Jun 1972 (1972-06-19) (TV Pendidikan)
  • 6 April 2020 (2020-04-06) (OKEY)
  • 4 Mei 2020 (2020-05-04) (Astro Tutor TV)
  • 23 November 2020 (2020-11-23) (NTV7)
  • 17 Februari 2021 (2021-02-17) (DidikTV KPM)
GabunganRTM (1972–1999, 2020–kini)
Astro (2000–2006, 2020–kini)
Media Prima (2007–2008, 2020–kini)
EduWebTV (2009–2019)
Laman sesawang
didik.tv
BahasaMelayu (utama/rasmi/nasional)
Inggeris (utama/rasmi/nasional)

TV Pendidikan juga dikenali sebagai DidikTV KPM (di bawah Media Prima Berhad) ialah sebuah stesen televisyen pendidikan yang dimiliki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada Oktober 2018, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan bahawa TV Pendidikan akan dilancarkan semula selepas sekian lama tidak bersiaran.[2][3] TV Pendidikan dilancarkan semula pada 6 April 2020 selepas hampir 12 tahun dan mula bersiaran di OKEY, salah satu saluran Radio Televisyen Malaysia.[4] Rangkaian ini membuat kemunculan semula di RTM selepas dua dekad sejak kali terakhir bersiaran pada tahun 1999.[5]

Selepas bersiaran di TV9 hampir 13 tahun lalu, TV Pendidikan membuat kemuculan semula di ntv7 pada 23 November 2020.[6] ntv7 menyiarkan slot program yang dikenali sebagai DidikTV@ntv7 sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Kementerian Pendidikan juga bekerjasama dengan Media Prima untuk meneruskan slot ini pada tahun 2021. Pada 17 Februari 2021, DidikTV KPM telah dilancarkan dan memulakan siaran, ia menyiarkan pelbagai rancangan didik hibur (edutainment) untuk pelbagai subjek sekolah rendah dan menengah dan untuk semua lapisan masyarakat.

1960-an: persediaan

[sunting | sunting sumber]

Rancangan merealisasikan sistem penyiaran pengajaran ini telah lama terzahir pada tahun 1960-an dengan tujuan meluaskan kecapaian pendidikan sekolah kebangsaan ke masyarakat pedalaman kerana kekurangan tenaga pengajar dalam bidang-bidang ilmu hisab dan sains yang sedia ada. Pelaksanaan ini turut mendapat sokongan teknikal daripada Perbadanan Penyiaran British dan British Council.[7] Siaran percubaan rancangan-rancangan pendidikan Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris dijalankan di beberapa sekolah terpilih pada tahun-tahun 1965 dan 1966. Badan menjalankan siaran televisyen ini digabungkan dengan badan-badan Radio Pendidikan dan Bantuan Audiovisual membentuk divisyen Perkhidmatan Sebaran Pendidikan tahun 1968. Walau bagaimanapun, pelancaran khidmat ini terpaksa ditunda kerana kekurangan dana yang cukup.[7]

1970-an: pelancaran dan peluasan siaran

[sunting | sunting sumber]

TV Pendidikan akhirnya dilancarkan secara rasminya pada 19 Jun 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak.[7][8] Ia diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 30 Ogos 1976. Pada April 1998, Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Rahmat (kini Allahyarham) mengumumkan penswastaan TV Pendidikan.[9] Bagaimanapun, rancangan untuk penswastaan tidak dilaksanakan kerana TV Pendidikan masih dimiliki oleh Kerajaan.

TV Pendidikan telah bersiaran di Astro Saluran 13 dan kedua-dua stesen terestrial RTM iaitu TV1 dan TV2. Sejak itu, TV Pendidikan bersiaran hanya pada masa setengah hari, maka waktu siaran lain telah diambil alih oleh Astro pada 17 Januari 2000. Oleh sebab Astro tidak memperbaharui kontrak dengan TV Pendidikan pada 31 Disember 2006, Saluran 13 yang menyiarkan TV Pendidikan kini digantikan kepada NHK World yang kemudiannya dipindahkan ke Saluran 963 dan kini di Saluran 398. TV Pendidikan kembali bersiaran ke stesen terestrial melalui TV9 pada 3 Januari 2007 sehingga 31 Disember 2008.

DidikTV KPM akan mula bersiaran pada 17 Februari 2021 dari jam 7:00 pagi sehingga 12:00 tengah malam setiap hari di semua platform televisyen berbayar dan myFreeview.[10]

Kandungan

[sunting | sunting sumber]

RTM (1972–1999, 2020–kini)

[sunting | sunting sumber]

TV Pendidikan bersiaran di TV1 dan TV2 selama 27 tahun dari 19 Jun 1972 hingga 31 Disember 1999. Pada 1 Mac 1994, siaran pagi bermula di TV1 dan TV Pendidikan bersiaran sepenuhnya di TV2. TV Pendidikan disiarkan dalam dua sesi iaitu jam 7:20 pagi hingga 1:00 petang dan jam 2:00 hingga 5:00 petang.[11][12]

Pada 2 Januari 1995, TV Pendidikan siaran berakhir pada jam 4:00 petang. Pada 1 Januari 1997, TV Pendidikan siaran berakhir pada jam 3:00 petang. Pada 3 Januari 2000, TV2 bersiaran awal pada hari Isnin hingga Khamis.

Pada 6 April 2020, OKEY menyiarkan rancangan TV Pendidikan melalui slot Kelas@Rumah yang disiarkan setiap hari pada jam 9:00 hingga 10:00 pagi, dan jam 1:00 hingga 2:00 petang.

Astro (2000–2006, 2020–kini)

[sunting | sunting sumber]

Apabila TV Pendidikan bermula di Astro pada 3 Januari 2000,[13] Saluran 28 menyiarkan dua saluran: TV Pendidikan disiarkan dari Isnin hingga Khamis pada jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang, manakala Animal Planet menyiarkan keseluruhan masanya. Pada tahun 2002, Animal Planet dijadikan saluran sepenuh masa di saluran 51, yang kemudiannya berpindah ke saluran 556 pada 1 Oktober 2007.

TV Pendidikan berpindah ke Saluran 13 pada tahun 2002, yang mana mereka menyiarkan dua saluran, iaitu TV Pendidikan dan TechTV, sebuah saluran yang menyiarkan berita dan rancangan tentang komputer, teknologi dan internet. TV Pendidikan bersiaran Isnin hingga Khamis dari 9:00 pagi hingga 5:00 petang pada waktu sekolah sahaja, manakala TechTV menyiarkan keseluruhan masanya. Sejak TechTV tamat, Astro menyiarkan episod lama TechTV secara berulang sehingga Astro telah mencapai persefahaman dengan G4techTV untuk membeli siri televisyennya seperti Attack of the Show dan X-Play, dan kemudian menyiarkan semula secara lokal, tanpa sebarang logo saluran dan hanya menyiarkan promosi rancangan Astro ketika di antara rancangan.

Sejak 1 Mac 2006, semua rancangan G4 telah disiarkan di Astro TVIQ, saluran pendidikan Astro di Saluran 13. Kini, Astro tidak lagi menyiarkan rancangan-rancangan G4. Saluran 13 telah diberhentikan pada 1 Februari 2007.

Pada 4 Mei 2020, TV Pendidikan telah kembali ke Astro melalui Astro Tutor TV SK dan Astro Tutor TV SM.

Media Prima (2007–2008, 2020–kini)

[sunting | sunting sumber]

Ketika bersiaran di TV9 pada 3 Januari 2007 hingga 31 Disember 2008, TV Pendidikan bersiaran dari 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari setiap Isnin hingga Khamis termasuk cuti sekolah. Kemudiannya, TV Pendidikan meletakkan sebuah logo kekal di kiri atas skrin, dan disiarkan terus dengan logo TV9 di kanan atas hanya semasa rancangan 4 jamnya, kecuali semasa rehat pendek antara rancangannya. Rancangan disiarkan dengan cara berbeza iaitu minggu pertama merupakan siaran pertama, dan minggu kedua ialah siaran ulangan.[14]

TV Pendidikan telah ditamatkan pada 31 Disember 2008 dan digantikan dengan laman sesawang EduWebTV.[15]

Slot TV Pendidikan kembali menerusi ntv7. Sebagai permulaan, slot DidikTV@ntv7 bersiaran selama tiga jam pada setiap Isnin hingga Jumaat pada 23 November sehingga 31 Disember 2020, dan waktu siaran adalah antara jam 9:00 pagi dan 12:00 tengah hari.

Pada 27 Januari 2021, KPM menambah slot rancangan TV Pendidikan dalam program DidikTV ntv7 . Slot itu memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon SPM tahun 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari 2021. Slot tambahan ini membabitkan dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari jam 3:00 petang hingga 5:00 petang di saluran ntv7. KPM juga menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari jam 9:00 pagi hingga jam 12:00 tengah hari dan jam 3:00 petang hingga 5:00 petang, khusus bagi pelajar SPM.

Pada 12 Februari 2021, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa ntv7 akan dijenamakan semula sebagai DidikTV KPM pada 17 Februari 2021[16], jam 7:00 pagi. Pelancaran saluran dijadualkan akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sejam selepas itu, iaitu pada jam 8:00 pagi. Saluran DidikTV KPM akan bersiaran setiap hari pada jam 7:00 pagi hingga 12:00 tengah malam. Ia menjanjikan rancangan pendidikan bermutu dan interaktif mengikut peredaran masa bagi semua lapisan masyarakat, khususnya murid-murid yang menduduki peperiksaan kebangsaan UPSR, PT3, dan SPM. Kandungan didik hibur (edutainment) tempatan dan antarabangsa, berita terkini berkaitan dunia teknologi pendidikan, dan kandungan asli hasil murid-murid juga akan mengisi saluran ini mengikut kesesuaian semasa.[17]

Pada 21 Mac 2022, DidikTV KPM mula menyiarkan program homeshopping iaitu Wow Shop dari Media Prima.

Pada 4 April 2022, DidikTV KPM kini bersiaran 24 jam dan bersiaran serentak dengan Hot FM.

Rancangan

[sunting | sunting sumber]

Rancangan ini menyiarkan lapan subjek sekolah menengah iaitu:

  • Bahasa Malaysia
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sains
  • Sejarah
  • Geografi
  • Teknik dan Vokasional
  • Pendidikan Islam

Manakala untuk sekolah kebangsaan, rancangan ini menyiarkan tujuh subjek iaitu:

  • Bahasa Malaysia
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sains
  • Pendidikan Islam
  • Pendidikan Moral
  • Sivik dan Kewarganegaraan

Selain itu, TV Pendidikan juga mempunyai rancangan-rancangan khas untuk penonton-penonton umum seperti:

  • Pedadogi
  • Kerjaya
  • Buletin Didik
  • Laman Minda - siaran langsung yang dahulunya dikenali sebagai Bicara.

TV9 juga menyiarkan rancangan pendidikan sendiri iaitu:

  • Kerjaya & Kaunseling
  • Motivasi Murid
  • Bijak Belajar - pertama kali disiarkan di TV3 pada 1990-an
  • Anak Siapa Ni Eh - pertama kali disiarkan di TV9 pada 2006
[sunting | sunting sumber]

Walaupun TV Pendidikan memberi banyak manfaat untuk pelajar yang ingin bantuan dalam pelajaran mereka, stesen ini juga menyiarkan dokumentari terbitan Filem Negara Malaysia dan rancangan-rancangannya. Mereka juga jarang menerbitkan rancangan baru. Bagaimanapun, TV Pendidikan tidak menyiarkan iklan pada waktu rehat rancangan yang disiarkan, sebaliknya iklan hanya disiarkan selepas tamat rancangan. Kebanyakan iklan yang disiarkan di TVP ialah iklan-iklan dari agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Alumni terkenal

[sunting | sunting sumber]

Alumni terkenal TV Pendidikan ialah Zul Huzaimy, Siti Elizad, Amirul Hakim Lokman, Amyra Rosli dan Salawati Sulaiman. Zul, Elizad dan Amyra kini menjadi pelakon sepenuh masa, manakala Amirul Hakim kini berkhidmat sebagai penyampai berita dan wartawan di TV3.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ A new era begins: Media Prima transitions to Bangsar with fresh innovations
  2. ^ Noel Achariam (16 October 2018). Education Ministry is looking to bring back TV Pendidikan The Malaysian Insight. Retrieved on 13 November 2018.
  3. ^ Asmah Rusman (17 October 2018). Wujud semula televisyen pendidikan Harian Metro. Retrieved on November 13, 2018.
  4. ^ Syaherah Mustafa (6 April 2020). Kandungan hari pertama TV Pendidikan dapat pujian Berita Harian (6 April 2020). Dicapai pada 14 April 2020.
  5. ^ Kirat Kaur (4 April 2020). TV learning channel launched for students who can’t access Internet during MCO The Rakyat Post. Retrieved on 14 April 2020.
  6. ^ TV Pendidikan menerusi ntv7 mulai Isnin ini
  7. ^ a b c Menon, Sandhya (28 Feb 2021). "Before DidikTV, there was ETV". The Star.
  8. ^ Perkhidmatan TV Pendidikan yang pertama di Malaysia Perpustakaan Negara Malaysia. Retrieved on November 13, 2014.
  9. ^ "TV Pendidikan akan diswastakan". Utusan Malaysia. 12 April 1998. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-10. Dicapai pada 10 Ogos 2010.
  10. ^ Kenyataan Media: Saluran Khusus TV Pendidikan Melalui DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia Kementerian Pendidikan Malaysia, 12 Februari 2021.
  11. ^ "Apa jadi TV Pendidikan?". Utusan Malaysia. 4 July 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 November 2018. Dicapai pada 10 August 2010.
  12. ^ "TV Pendidikan: Ulang tahun ke-49". 17 June 2021.
  13. ^ Astro mampu luaskan siaran TV Pendidikan Diarkibkan 2017-01-13 di Wayback Machine Utusan Malaysia (16 Oktober 1999). Dicapai pada 1 Januari 2007.
  14. ^ "TV9 airs TV Pendidikan". Star TechCentral. 18 January 2007. Dicapai pada 10 August 2010.
  15. ^ "Apa jadi TV Pendidikan?". Utusan Malaysia. 4 July 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-13. Dicapai pada 10 August 2010.
  16. ^ "NTV7 rebrands into MoE's education channel for a year". themalaysianreserve.com. Dicapai pada 2021-02-12.
  17. ^ Kenyataan Media: Saluran Khusus TV Pendidikan Melalui DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia Kementerian Pendidikan Malaysia, 12 Februari 2021.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]