Uija dari Baekje | |
---|---|
Hangul | 의자왕 |
Hanja | 義慈王 |
Perumian Semakan | Uija-wang |
McCune–Reischauer | Ŭija-wang |
Raja-raja Korea Baekje |
---|
|
Uija dari Baekje (599? –660, r. 641–660) ialah penguasa Baekje yang ke-31 dan terakhir, salah satu daripada Tiga Kerajaan Korea. Pemerintahannya berakhir ketika Baekje ditaklukkan oleh sekutu saingan kerajaan Silla Korea dan dinasti Tang China.
Ketika ini, kerajaan Korea utara Goguryeo, di bawah kawalan Yeon Gaesomun, mengambil sikap agresif terhadap Silla dan Tang. Silla bertindak balas dengan akhirnya bersekutu dengan Tang China, lalu mengancam Baekje di tengah-tengahnya.
Menurut Samguk Sagi, Uija ialah putera sulung Raja Mu. Menurut legenda dalam Samguk Yusa, Mu ialah seorang petani Baekje yang mengahwini Puteri Seonhwa dari Silla (menjadikannya ibunda Uija), tetapi ia tidak dianggap sebagai sejarah ortodoks. Uija dijadikan putera mahkota pada bulan Januari 632 dan menjadi raja setelah kemangkatan ayahandanya pada tahun 641.
Walaupun pada awalnya bersahabat dengan Tang China, Uija segera bersekutu dengan Goguryeo untuk menyerang Silla. Pada tahun 642, baginda memimpin sebuah kempen melawan Silla dan menakluk sekitar 40 buah istana.[1] Baginda juga mengirim 10,000 orang untuk mengambil Kubu Daeya Silla dan membunuh anak perempuan dan menantu Kim Chunchu. Pada tahun berikutnya, bersama Goguryeo, Baekje menyerang Silla sekali lagi dan cuba menghalang laluan diplomatiknya ke Tang China. Ketika pasukan Silla-Tang menyerang Goguryeo pada tahun 645, baginda menyerang Silla dan menawan tujuh buah istana. Baekje dan Goguryeo juga melanggar sempadan utara Silla pada tahun 655.
Tidak lama setelah menjadi raja, Uija melakukan pembaharuan politik untuk mengendalikan kuasa bangsawan. Namun, pemerintahannya terganggu oleh perebutan kuasa dalaman di kalangan para bangsawan dan korupsi dan keruntuhan di dalam istana.
Ketika istana mula kucar-kacir, pakatan Silla-Tang, yang berulang kali kecewa dengan tindakan Yeon Gaesomun dari Goguryeo, mengubah strategi dan memutuskan untuk menyerang sekutu Goguryeo iaitu Baekje terlebih dahulu.
Pada tahun 660, angkatan laut Baekje dikalahkan oleh angkatan laut Tang, dan tentera Silla yang dipimpin oleh Kim Yu-sin mengalahkan tentera Baekje yang dipimpin oleh Gye Baek. Sabi, ibu kota Baekje, (di Buyeo, Chungcheongnam-do sekarang) dikelilingi oleh pasukan sekutu Silla-Tang. Uija dan putera mahkota melarikan diri ke Ungjin (di Gongju sekarang), tetapi menyerah diri ketika Sabi ditawan.
Baginda dibawa ke Tang bersama dengan anakanda-anakandanya Buyeo Hyo dan Buyeo Yung, 88 orang gaji, dan 12,807 orang petani Baekje. Seorang lagi puteranya, Buyeo Pung, kemudian berusaha mengembalikan kerajaan ayahandanya itu.
Pada tahun 2000, jenazahnya diambil dari China dan dikebumikan di makam baru di Neungsan-ri, Buyeo-gun, Chungcheongnam-do, Korea Selatan, dekat dengan ibu kota terakhir Baekje, Sabi.
Uija ialah nama peribadi bbaginda; baginda tidak mendapat namaanumertan.
Uija dari Baekje Cabang kadet bagi Wangsa Go Tarikh keputeraan: s. 599 Tarikh kemangkatan: 660
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Mu |
Raja Baekje 641–660 |
Diikuti oleh: Buyeo Pung |