Waktu Koordinat Geopusat

Waktu Koordinat Geopusat (TCG, Perancis: Temps-coordonnée géocentrique) merupakan piawaian waktu koordinat yang bertujuan digunakan sebagai pembolehubah waktu yang bebas untuk segala pengiraan yang berkenaand dengan liukan, nutasi, Bulan, dan satelit buatan Bumi. TCG bersamaan dengan masa wajar yang dialami oleh alat jam yang pegun dalam suatu rangka koordinat yang bergerak serentak dengan pusat Bumi, iaitu jam yang melakukan pergerakan yang sekata dengan Bumi tetapi berada di luar telaga graviti Bumi. Oleh itu, TCG tidak dipengaruhi oleh dilasi masa graviti yang disebabkan oleh Bumi.

TCB ditakrifkan pada 1991 oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa, dalam Usul III Perhimpunan Agung ke-XXI[1] sebagai ganti untuk Waktu Dinamik Baripusat (TDB) yang kurng jitu takrifnya. Tidak seperti skala-skala masa astronomi yang lampau, TCB ditakrifkan dalam konteks teori kerelatifan am. Hubungan-hubungan antara TCB dan lain-lain skala masa kerelatifan ditakrifkan dengan metrik kerelatifan am sepenuhnya.

Oleh sebab rangka rujukan TCG tidak berputar bersama permukaan Bumi malah tidak terdapat dalam keupayaan graviti Bumi, TCG berdetik sekitar 7.0 × 10−10 kali (sekitar 22 milisaat setahun) lebih cepat daripada jam-jam di permukaan Bumi. Oleh yang demikian, nilai-nilai pemalar fizikal yang harus digunakan dengan pengiraan yang menggunakan TCG berbeza daripada nilai-nilai pemalar fizikal tradisional. (Nilai-nilai tradisional boleh dikatakan salah, tetapi mengandungi pembetulan untuk beza skala masa.) Menyesuaikan begitu banyak perisian sedia ada untuk beralih dari TDB ke TCG adalah satu tugas yang cukup menggerunkan, dan setakat tahun 2002, masih banyak pengiraan yang menggunakan TDB dalam apa jua bentuk.

Koordinat waktu pada skala TCG lazimnya ditentukan dengan kaedah menentukan hari tradisional yang dibawa dari piawaian-piawaian masa berasaskan putaran Bumi yang tidak seragam. Khususnya, kedua-dua tarikh Julius dan Gregory diterima guna. Demi kesinambungan dengan Waktu Efemeris yang terdahulu, TCG telah dilaraskan agar sepadan dengan ET pada sekitar Tarikh Julius 2443144.5 (1977-01-01T00Z). Dengan lebih tepat, adalah ditakrifkan bahawa ketika 1977-01-01T00:00:32.184 TCG tepat-tepat bersamaan dengan ketika 1977-01-01T00:00:00.000 TAI. Ini juga ketika yang mana TAI menerapkan pembetulan untuk dilasi masa graviti.

TCG merupakan skala masa Platonik, iaitu suatu unggulan teori yang tidak bergantung pada realisasi yang tertentu. Atas tujuan amali, TCG mestilah direalisasikan oleh jam-jam sebenar dalam sistem Bumi. Oleh sebab hubungan linear antara Waktu Bumi (TT) dengan TCG, maka jam-jam yang merealisasikan TT turut melayan TCG.

Waktu Koordinat Baripusat (TCB) adalah umpama TCG untuk pengiraan yang berkenaan sistem suria di luar orbit Bumi. TCG ditakrifkan dengan rangka rujukan yang lain daripada TCB, oleh itu TCB tidak berhubungan linear dengan TCG. Dalam jangka masa lama, TCG berdetik 1.6 × 10−8 kali lebih perlahan daripada TCB. Selain itu, terdapat beberapa variasi berkala lantaran pusingan Bumi dalam Sistem Suria. Apabila Bumi berada di perihelion pada bulan Januari, TCG berdetik jauh lebih perlahan daripada purata disebabkan dilasi masa graviti daripada semakin mendalami telaga graviti Matahari dan juga dilasi masa halaju dari bergerak lebih cepat berhubungan dengan Matahari. Pada afelion bulan Julai berlakunya yang sebaliknya, iaitu TCG berdetik lebih cepat daripada puratanya.