Aaron Aziz | |
---|---|
Kelahiran | Aaron Mustapha bin Aziz 23 Februari 1976 |
Warganegara | Singapura |
Kerakyatan | Malaysia[n 1] |
Pekerjaan | Pelakon, pengarah, pengacara, model |
Tahun aktif | 2001–kini |
Ketinggian | 178 cm (5 ka 10 in) |
Pasangan | Datin Diyana Halik (k. 2003) |
Anak-anak | 3 |
Ibu | Juriana Jaafar |
Dato' Aaron Mustapha bin Aziz (lahir 23 Februari 1976)[1] ialah seorang pelakon lelaki Singapura yang amat dikenali di Singapura dan Malaysia. Beliau memulakan kerjaya lakonannya di negara kelahirannya pada 2001 menerusi watak Shahril dalam Cinta Bollywood (2001-2002), seterusnya melakonkan watak Bob dalam Jeritan Sepi (2001-2002) dan sebagai Koperal Jamal Salleh dalam Heartlanders (2002-2005). Watak televisyen Singapura beliau termasuk Zack Ahmad dalam sitkom Phua Chu Kang (musim 6) dan Iqmal dalam siri drama Cinta Q.[2]
Beliau berhijrah ke Malaysia pada 2004 untuk memulakan kerjaya lakonannya menerusi watak pembantu dalam drama Haryati (2004). Kredit lakonannya di Malaysia termasuk Emil Emilda, Sadiq & Co, Nora Elena, Adam & Hawa, Evolusi KL Drift: The Series dan Kusinero Cinta. Kredit filem beliau termasuk Evolusi KL Drift (2008-10), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Pisau Cukur (2009), KL Gangster (2011-13), Ombak Rindu (2011), Lari (2013), Suamiku, Encik Perfect 10 (2015), Dekatnya Cinta (2021), Sheriff: Narko Integriti (2024) dan The Experts (2024). Aaron merupakan duta bagi produk Drive M7,[3][4] Maggi, dan L'Oréal.
Sepanjang kerjayanya, Aaron telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam kerjayanya termasuk Pesta Perdana Singapura, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin dan Anugerah MeleTOP Era.
Dato’ Aaron Mustapha bin Aziz lahir pada 23 Februari 1976 di Tampines dan dibesarkan di Pasir Ris, Singapura. Beliau memiliki darah kacukan Melayu, Cina, dan Peranakan.
Sebelum memulakan kerjaya lakonannya di Malaysia, Dato’ Aaron terlebih dahulu membina nama dalam bidang lakonan di negara kelahirannya, Singapura, di mana beliau menjayakan watak Shahril dalam siri drama Cinta Bollywood yang bersiaran di saluran Mediacorp Suria sebanyak dua musim antara 2001 dan 2002.[5] Drama ini telah membantu menaikkan nama Dato’ Aaron sekaligus memberi peluang kepada beliau untuk membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Pesta Perdana 2002. Pada tahun yang sama, beliau melakonkan watak utama dalam siri drama Mandarin, A War Diary di saluran MediaCorp Saluran 5. Beliau juga pernah tampil sebagai pelakon undangan sitkom Phua Chu Kang musim keenam, memegang watak sebagai Yusof Ahmad.
Selepas berpindah ke Malaysia, beliau mempunyai watak utama dalam siri drama Janji Diana (2006) yang diadaptasi daripada filem 2003 dengan judul sama. Pada 2007, beliau membintangi bersama Sharifah Amani menerusi drama Emil Emilda di mana beliau melakonkan watak sebagai Emil. Aaron membuat penampilan filem cereka sulungnya menerusi filem sulung arahan Syamsul Yusof, Evolusi KL Drift (2008) yang mana beliau melakonkan watak antagonis sebagai Joe, seorang ketua samseng dan sindiket dadah yang bergiat aktif dalam perlumbaan kereta drift, beliau mengulang kembali wataknya dalam kesinambungannya yang ditayangkan pada 2010. Aaron kemudiannya bekerja sekali lagi di bawah arahan Syamsul menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) yang mana beliau memegang watak sebagai Azam, seorang bapa ayam.
Pada tahun 2009, Aaron membintangi filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly lakonan Fazura dan Maya Karin.[6] Pada 2011, beliau kembali meneruskan kerjasama bersama Syamsul Yusof menerusi filem aksi pecah panggung, KL Gangster di mana beliau memegang watak Malek.[7] Seterusnya, beliau berlakon bersama Lisa Surihani dan Maya Karin menerusi filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang berdasarkan daripada novel 2002 dengan judul sama tulisan Fauziah Asyari.[8][9] Aaron bersama barisan pelakon asal filem KL Gangster, memulakan penggambaran prekuel filem ini pada 1 Disember 2011. Ketika menjalani penggambaran, beliau mengalami kecederaan di bahagian belakang semasa melakukan aksi pertarungan bersama Rosyam Nor. Beliau kemudiannya, dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.[10]
Pada tahun 2012, beliau digandingkan bersama aktres berbakat Nadiya Nisaa menerusi drama Adam dan Hawa terbitan Global Station.[11] Seterusnya, beliau muncul bersama Datuk Ogy Ahmad Daud dalam musim keempat siri Tanah Kubur episod "Ibu Ampunkan Aku". Beliau membuat kemunculan istimewa menerusi siri drama Evolusi KL Drift: The Series (2012-13), kali ini beliau melakonkan watak Dino, manakala watak Joe yang dilakonkannya dalam dua siri filem terdahulu dilakonkan oleh Norman Hakim.[12]
Pada September tahun sama, beliau dilantik sebagai duta produk minuman bertenaga Drive M7,[3][4] bersama pelakon dan pelawak Zizan Razak dan raja drift negara, Tengku Djan Ley.[13]
Beliau juga sering bergandingan dengan Siti Saleha menerusi drama Habil & Qabil,[14] Nora Elena dan Kekasih Awal dan Akhir, seterusnya mereka berdua membuat penampilan layar lebar pertama menerusi filem Kerat 14 (2013) arahan Arjin Uppal.[15][16][17] Aaron muncul dalam muzik video "Salam Semua" nyanyian anak didiknya ketika itu, kumpulan Sleeq.[18][19]
Pada tahun 2013, beliau melakonkan watak Khaliff dalam filem Lari arahan Ahmad Idham yang ditayangkan pada 6 Jun.[20][21][22] Beliau kemudiannya, muncul dalam musim kedua siri drama pendidikan Astro TVIQ, Oh My English! sebagai Cikgu Malik.[23][24] Selain itu, beliau mengacarakan rancangan realiti TV, Fear Factor Malaysia yang difilemkan di Cape Town, Afrika Selatan.[25][26][27] Seterusnya, beliau muncul dalam telefilem Anugerah Dendam Yang Terindah lakonan bersama Amar Baharin dan menggandingkannya sekali lagi bersama Nadiya Nisaa, Aaron memegang watak sebagai Azman, seorang pemuda yang membawa dirinya ke Australia setelah kekasihnya, Izatul ditunangkan dengan adiknya sendiri, Aril, telefilem ini ditayangkan di Astro First Eksklusif.[28] Beliau kembali menjayakan watak Malek dalam prekuel filem KL Gangster, KL Gangster 2,[29] bagaimanapun dua bulan sebelum ditayangkan, salinan filem ini mula tersebar di internet. Namun demikian, ia berjaya mencuri perhatian penonton biarpun sekadar meraih kutipan lebih rendah berbanding filem terdahulu.[30]
Pada tahun 2014, beliau berlakon bersama Tiz Zaqyah dan Jericho Rosales dalam drama Kusinero Cinta yang menggabungkan tiga negara, Malaysia, Singapura dan Filipina.[31][32] Pada Mei 2014, beliau mempunyai watak undangan dalam filem Abang Long Fadil arahan Syafiq Yusof, lakonan Zizan Razak dan Kamal Adli.[33]
Pada tahun 2015, beliau menduduki kerusi pengarah menerusi filem sulungnya, Romeo Kota di mana beliau sendiri turut berlakon dengan memegang watak sebagai Inspektor Romi.[34][35] Beliau berpasangan sekali lagi bersama Lisa Surihani menerusi filem arahan Mohd Feroz Abdul Kader, Suamiku, Encik Perfect 10! (2015) yang mana beliau menjayakan watak Zarif Daniel.[36][37][38][39] Kali terakhir beliau dan Lisa berlakon bersama ialah pada 2011 menerusi filem Ombak Rindu arahan Osman Ali.[40] B.eliau melakonkan watak tajuk dalam drama Tuan Anas Mikael bersama Zara Zya yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Syamnuriezal[41][42] dan watak Tuan Ihsan dalam satu lagi drama adaptasi novel, Isteri Tuan Ihsan bersama Amyra Rosli.[43]
Pada Julai 2015, beliau dilantik sebagai duta Malaysia bagi filem aksi Hollywood, Ant-Man.[44] Pada Mac 2017, beliau dilaporkan bakal membintangi filem Tamil berjudul 'Tik Tik Tik'.[45][46] Beliau kembali ke TV menerusi drama Black Belt Kaler Pink lakonan bersama Kamal Adli.[47]
Aaron muncul dengan dua filemnya yang ditayangkan pada 2017, iaitu filem lakonan beliau Kau Yang Satu arahan Osman Ali lakonan bersama Izara Aishah dan Soo Wincci dan filem kedua arahannya, Sayu Yang Syukur bersama Nora Danish.[48] Beliau membintangi bersama Elizabeth Tan dan Siti Elizad menerusi drama My Darling, Inspektor Daniel terbitan Skop Productions, yang memulakan tayangan perdana di Astro Ria pada 31 Julai 2017.[49]
Pada Januari 2018, Aaron memegang watak Toyol dalam iklan serantau untuk filem fantasi Netflix Bright.[50] Beliau dan keluarganya menjadi salah satu dari lima keluarga selebriti yang terlibat dalam rancangan realiti Oh My Family! yang bersiaran sebanyak 6 episod bermula pada 11 April 2018 di Astro Ria, Ria HD dan Astro Ceria.[51] Aaron membuat penampilan Kollywood pertamanya menerusi filem Tamil Tik Tik Tik yang ditayangkan pada 22 Jun 2018; beliau melakonkan watak sampingan di sisi pelakon utama Jayam Ravi. Menurut Aaron, pengalaman berlakon dalam filem Kollywood meninggalkan banyak kenangan indah buatnya dan mengakui teruja penampilannya mendapat sambutan.[52][53]
Aaron memegang watak sebagai ASP Redzuan dalam filem aksi thriler arahan Sandosh Kesavan Operasi X yang dikeluarkan pada 1 November 2018.[54] Beliau berkata mengenai tawaran berlakon dalam Operasi X: "Antara sebab-sebab mengapa saya mengambil peranan ini adalah kerana peluang untuk bekerjasama dengan Datuk Awie, Datuk Yusof Haslam dan Nasir Bilal Khan."[55]
Aaron kembali ke kaca televisyen menerusi drama Patah Sayap Bertongkat Paruh. Selain itu, beliau juga berlakon bersama Izara Aishah dalam drama Jodoh-Jodoh Annisa.[56] Aaron membuat penampilan filem Hong Kong pertamanya menerusi filem Undercover Punch And Gun yang dibintangi oleh Andy On dan Vanness Wu,[57][58] arahan Philip Lui dan Frankie Tam. Menurut Aaron: "Semuanya berjalan lancar sepanjang penggambaran dan layanan bagi setiap pelakon adalah sama. Hanya penggambaran itu dibuat di banyak pelabuhan dan bekas jadi agak panas dan sedikit tidak selesa tetapi ia memberi saya cabaran,".[59]
Beliau berkahwin dengan Datin Diyana Halik pada 3 Ogos 2003 dan dikurniakan tiga anak—seorang anak lelaki Danish Anaqi dan dua anak perempuan Dwi Ariana dan Dahlia Arissa. Sejak 2012, beliau diiktiraf sebagai penduduk tetap Malaysia.[60]
Dato’ Aaron mendedahkan pada April 2012 bahawa terdapat sebuah portal hiburan menyiarkan kad pengenalan Singapura yang didakwa miliknya. Nama yang tertera pada kad pengenalan rekaan sendiri itu tertera nama Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustapha yang didakwa ialah nama sebenar beliau. Menurut Aaron dalam temuramah bersama Kosmo!, beliau mengetahui hal tersebut menerusi isterinya, Diyana dan terkejut kerana gambar yang digunakan ialah wajah beliau tetapi nama yang digunakan sememangnya bukan namanya. Beliau berkata: "Saya rasa ramai sudah tahu nama sebenar saya ialah Aaron Mustapha Aziz bukannya Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa".[61][62]
Dato’ Aaron dilaporkan mengalami sakit sendi tengkuk selepas terbabit dalam kemalangan ketika penggambaran Fear Factor Malaysia. Selain itu, beliau juga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat kecederaan ketika di lokasi penggambaran. Pada tahun 2017, beliau mengalami sakit sendi tengkuk sehingga terpaksa menggunakan penyokong leher.[63][64][65] Pada Mei 2018, beliau dilaporkan diserang penyakit misteri dan telah menerima rawatan dengan menggunakan ayat suci al-Quran selepas berjumpa dengan seorang kenalannya yang merupakan seorang ustaz.[66][67][68]
Pada Oktober 2018, Dato’ Aaron menafikan khabar angin mengatakan beliau terlibat dalam mana-mana perniagaan melibatkan mata wang digital Bitcoin. Beliau mendedahkan perkara tersebut di laman Instagram miliknya.[69][70]
Pada 7 November 2020, ibu Dato’ Aaron, Juriana Jaafar meninggal dunia di Hospital Besar Changi akibat pelbagai masalah kesihatan pada usia 70 tahun.[71][72][73]
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2008 | Evolusi KL Drift | Joe | Filem pertama |
2009 | Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam | Azam | |
Pisau Cukur | Ari | ||
2010 | Evolusi KL Drift 2 | Joe | |
2 Alam | Ustaz Ishak | ||
2011 | Datin Ghairah | Zack dan Dato' Mahfuz | dua watak |
KL Gangster | Malek | ||
Ombak Rindu | Hariz | ||
2012 | Ngorat | Arjuna Kasih aka A.K | |
Prince Of The City | Iskandar Yaakob | ||
Shh...Dia Datang | Edd | Dibatalkan | |
2013 | KL Gangster 2 | Malek | |
Lari | Khaliff | ||
Kerat 14 | Haziq | ||
Dampak | Idrus | ||
2014 | Abang Long Fadil | Malek | |
Supersquad The Movie | Laksamana Aaron (suara) | ||
Tembus | Hari | ||
2015 | Romeo Kota | Koperal Detektif Romi | Juga sebagai pengarah |
Suamiku, Encik Perfect 10 | Zarief Daniel | ||
Voluptas | |||
2016 | Special Female Force | Presiden | Filem Hong Kong |
2017 | Kau Yang Satu | Taufik | |
2018 | Tik Tik Tik | Kapten Lee Wei | Peranan pertama untuk filem Kollywood |
Operasi X | ASP Redzuan | ||
2019 | Undercover Punch and Gun | Top | Filem Hong Kong |
2020 | Tyickoouns | Tycoon Sobeer | |
2021 | Selamat Hari X Jadi | Bapa Hani | |
Dekatnya Cinta | Adam Mukhriz | ||
2023 | Budak Flat | Boss X | |
Sayu Yang Syukur | Qudaim | Sebagai pengarah | |
2024 | The Experts Selamatkan Raya | Farid | Filem pendek |
Sheriff: Narko Integriti | Tony Ifrit | ||
The Experts | Farid | ||
TBA | Baran | Zack | Pos-produksi |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2001–2002 | Cinta Bollywood | Shahril | MediaCorp Suria | Drama pertama |
2001 | A War Diary | |||
2002 | Jeritan Sepi | Bob | ||
2002–2005 | Heartlanders | Koperal Jamal Salleh | ||
2003 | Lightyears | Peter Xavier | ||
Garisan Takdir | ||||
Living With Lydia | The Prince | |||
2004 | Suspek | |||
Phua Chu Kang (Musim 6) | Yusof Ahmad | Episod: "Citizen Phua" | ||
Permintaan Aishah | ||||
Missing | ||||
Leftenan Adnan - A Life Story | Adnan Saidi | |||
Haryati (Musim 2) | TV2 | |||
2005 | My Sassy Neighbour (Musim 1) | Mediacorp Suria | 1 episod | |
Sumayyah | TV1 | |||
2006 | Janji Diana | Haikal | TV2 | |
Cinta Q | Ikmal | Mediacorp Suria | ||
2007 | Police & Thief (Musim 4) | Ahmad | Episod: "The Hole" | |
Emil Emilda | Emil / Nik Batista | TV3 | ||
2008 | Sadiq & Co | Ariff Sadiq | Mediacorp Suria | |
Bulan Bertemu Matahari | Adam | TV1 | ||
2009 | Cinta Gila | Malik | Astro Prima | |
Rahsia Hati | Syamir | |||
Kasih Tercipta | Shark | Astro Ria | ||
2010 | Habil & Qabil | Habil Najmi | TV3 | |
2011 | Nora Elena | Seth Tan | ||
Hilang | Doktor | TV9 | Penampilan khas | |
Stanza Cinta | Irfan Ikmal | TV3 | ||
Jiwa & Lara | Zaman | |||
Tahajjud Cinta | Iskandar | |||
2011–2012 | Karma | Qayyum | TV9 | |
2012 | Metro Skuad (Musim 1) | Frankie | TV2 | Episod: "Dendam" |
Adam & Hawa | Adam Mukhriz | Astro Mustika HD | ||
Tanah Kubur (Musim 4) | Syamsul | Astro Oasis | Episod: "Ibu Ampunkan Aku" | |
2012–2013 | Evolusi KL Drift: The Series | Dino | TV2 | Pelakon undangan |
2013 | Oh My English! (musim ke-2) | Cikgu Malik | Astro TVIQ | |
2014 | Tentang Hati | Zakuan | TV2 | |
Kusinero Cinta | Chef Syed Izmir | Astro Mustika HD | ||
2015 | Dan Calonnya Adalah (Musim 2) | Aris | Tonton | Siri web |
Tuan Anas Mikael | Tuan Anas Mikael | Astro Ria | ||
2016 | Isteri Tuan Ihsan | Tuan Ihsan Iskandar | ||
2017 | Black Belt Kaler Pink | Ash | Astro Warna | |
My Darling, Inspektor Daniel | Inspektor Daniel | Astro Ria | ||
Meet the MP (Musim 1) | Danial Razali MP | Mediacorp Saluran 5 | ||
2019 | Meet the MP (Musim 2) | |||
Jodoh-jodoh Annisa | Nizam | Astro Prima | ||
Patah Sayap Bertongkat Paruh | Doktor Bakri | Astro Ria | ||
2020 | Jalan Sesat Ke Syurga | Hamzah | Astro Prima | |
2021 | Saga | Andy | Mediacorp Suria, Astro Ria | |
2021–2022 | Gerak Khas Undercover | Zaki | TV3 | |
2022 | Suamiku Lelaki Pendosa | Dean Ilyas | ||
Takdir Cinta Dhia | Fayyad | Astro Prima | ||
2023 | Derhaka Sebuah Cinta | Azmir | Astro Ria | |
Tanah Kubur (Musim 16) | Syamil | Astro Oasis | Episod: "Cinta Ular, Zalim Kucing" | |
2024 | Rindu Kekasihmu Untuk Dia | Haikal | TV3 |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2006 | 3 Dol | Lokman/Chokmat | Mediacorp Saluran 5 | Telefilem pertama |
2007 | Cahaya Hati | Jeffri | TV3 | |
2009 | Cinta Lelong | Azrul | Astro Ria | |
2010 | Cinta Akhbar | Ashraf | TV9 | |
30 Hari Mengenali Cinta | Ari | Astro Ria | ||
Santau Keramat | Najmi | |||
2011 | Kekasih Awal & Akhir | Awal | TV9 | Sebagai pengarah |
2013 | Anugerah Dendam Yang Terindah | Azman | Astro First Ekslusif | |
2015 | Cinta Paling Agung | Khairi | ||
Tak Nak Balik Raya | Omar | Astro Ria | ||
2018 | Jodoh Hak Milik Allah | Hans | Astro First Eksklusif | |
Renyai Takbir Raya | Rais | Astro Raya HD | ||
2020 | 6 Hari | Ismal | Astro Citra | |
Mak Cun Anjung Orang Kita | TV3 | |||
2024 | Overnight Wali | Hussain | Astro Ria |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2013–2014 | Fear Factor Malaysia | Pengacara | Astro Ria | |
2013 | E! Special: Aaron Aziz[74] | Dirinya sendiri | E! | |
Aaron & Zizan: Raya Sampai Pengsan | Astro Ria | |||
2014 | Aaron & Zizan: Raya Seram Sejuk | |||
2018 | Oh My Family! | |||
2019 | Masak Apa Tu? | TV3 | bersama isterinya | |
All Stars Buka Panggung | Peserta | Astro Warna | ||
2023 | Mic On! Selebriti | Juri | Awesome TV | |
Nona | Dirinya sendiri | TV3 | Segmen Artis Throwback |
Tahun | Tajuk Lagu | Penyanyi |
---|---|---|
2012 | "Untuk Dia" | Siti Saleha, Najwa Latif & Sleeq |
Tahun | Tajuk lagu | Penyanyi | Ruj. |
---|---|---|---|
2012 | "Salam Semua" | Sleeq dan Dato' Aaron Aziz | [18] |
Tahun | Anugerah | Kategori | Keputusan |
---|---|---|---|
2002 | Pesta Perdana (Suria, Singapura) | Pelakon Terbaik di dalam Watak Pembantu "(Cinta Bollywood)" | Menang |
2003 | Artis Paling Popular "(Garisan Takdir)" | Menang | |
2004 | Top 3 Artis Paling Popular "(Permintaan Aishah & Leftenan Adnan - A Life Story)" | Menang | |
2005 | Persembahan Komedi Terbaik "(Dol & Minah Nak Kahwin)" | Menang | |
Artis Lelaki Paling Popular "(Dol & Minah Nak Kahwin)" | Menang | ||
2007 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 | Pelakon TV Lelaki Popular | Tercalon |
2008 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 | Pelakon TV Lelaki Popular | Tercalon |
2009 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 | Pelakon Filem Lelaki Popular | Tercalon |
Pelakon TV Lelaki Popular | Tercalon | ||
2010 | Anugerah Stail EH! | Selebriti Lelaki Paling Seksi | Tercalon |
Anugerah Skrin 2010 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem "(Evolusi KL Drift 2)" | Menang | |
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 | Pelakon TV Lelaki Popular | Tercalon | |
Pelakon Filem Lelaki Popular | Tercalon | ||
2011 | Anugerah Skrin 2011 | Pelakon Lelaki Terbaik Filem "(KL Gangster)" | Tercalon |
Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan | Selebriti Favourite | Tercalon | |
Anugerah Kacak | Menang | ||
Anugerah Hot Papa | Menang | ||
Anugerah Seksi Lelaki | Tercalon | ||
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 | Artis Lelaki Paling Popular Online | Menang | |
Pelakon TV Lelaki Popular | Tercalon | ||
Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang | ||
Bintang Paling Popular | Menang | ||
Anugerah Blokbuster | Anugerah Hero Terhebat "(KL Gangster)" | Tercalon | |
Anugerah Hero Terhebat "(Ombak Rindu)" | Tercalon | ||
Anugerah Hero Terhebat "(Datin Ghairah)" | Tercalon | ||
2012 | Anugerah Stail EH! | Selebriti Lelaki Paling Seksi | Tercalon |
Selebriti Lelaki Bentuk Badan Segak | Tercalon | ||
Anugerah Skrin 2012 | Pelakon Lelaki Terbaik Filem "(Ombak Rindu)" | Tercalon | |
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 | Pelakon TV Lelaki Popular | Menang | |
Anugerah Shout! | Pasangan Terbaik di Layar (dengan Maya Karin) "(Ombak Rindu)" | Tercalon | |
Pasangan Terbaik di Layar (dengan Zizan Razak) "(KL Gangster)" | Tercalon | ||
Anugerah Selebriti Lelaki Popular | Menang | ||
2013 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 | Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang |
Bintang Paling Popular[75][76][77][78] | Menang | ||
Anugerah Shout! | Anugerah Selebriti Lelaki Popular | Menang | |
2014 | Anugerah MeleTOP Era 2014[79][80] | Bintang Filem MeleTOP | Menang |
2015 | Anugerah MeleTOP Era | Bintang Online MeleTOP | Tercalon |
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2015 | Pelakon TV Lelaki Popular | Tercalon | |
Pelakon Filem Lelaki Popular | Tercalon | ||
2016 | Anugerah MeleTOP Era | Bintang Filem MeleTOP | Tercalon |
Festival Filem Malaysia ke-28 | Pelakon Lelaki Terbaik | Tercalon | |
Anugerah Telenovela | Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | |
2018 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2018 | Pelakon TV Lelaki Popular | Menang |
Pelakon Filem Lelaki Popular | Tercalon | ||
Pasangan Serasi Filem (bersama Izara Aishah) | Tercalon | ||
2023 | Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 | Pelakon Lelaki Terbaik (Suamiku Lelaki Pendosa) | Menang |
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023 | Couple Filem Popular (Dekatnya Cinta) | Menang |
Pada 16 Disember 2017, beliau bersama-sama dengan Farid Kamil[81] telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada 16 Disember 2017 yang membawa gelaran Dato' sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.[82][83][84]