Bandar Sri Sendayan

Bandar Sri Sendayan
NegaraMalaysia
NegeriNegeri Sembilan
DaerahSeremban
ParlimenRembau
Pentadbiran
 • Ditadbir olehMajlis Bandaraya Seremban
Zon waktuUTC+8 (MST)
Kod panggilan kebangsaan06

Bandar Sri Sendayan merupakan sebuah perbandaran baru di Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia.

Bandar Sri Sendayan terletak di dalam daerah Seremban dan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan terletak dalam bahagian pilihan raya parlimen Rembau. Bandar Sri Sendayan terletak kira-kira 14 kilometer dari bandar Seremban, 21 kilometer dari Nilai dan 30 kilometer dari Port Dickson.

Bandar Sri Sendayan sebelum ini merupakan sebuah Rancangan tanah Felda Sendayan terletak di kawasan 2,000 hektar di Negeri Sembilan kira-kira 15 kilometer dari Seremban. Tanah rancangan ini mula diteroka pada tahun 1963 oleh 40 orang peneroka di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Tanah rancangan ini kemudiannya berkembang hingga mempunyai 513 orang peneroka, lantas menjadi satu-satunya penempatan yang ramai penduduk. Seramai 406 peneroka berketurunan Melayu, 46 Cina dan 61 keturunan India.

Pada tahun 1986 Felda menyerahkan hak milik tanah ini kepada peneroka dan majlis penyerahan geran tanah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Ghaffar Baba. Mulai itu Felda Sendayan bertukar status menjadi kampung tradisi dengan nama Kampung Sendayan.

Pada tahun 1996 sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) telah mengadakan perjanjian usahasama dengan MHS Land Sdn Bhd untuk memajukan Kampung Sendayan. Peneroka ditawarkan pembelian tanah dengan harga kira-kira 1.2 juta seorang. Suatu perjanjian jual beli kemudiannya ditandatangani pada 13 November 1996.

Bagaimanapun menjelang pertengahan tahun 1997 kegawatan ekonomi melanda Asia Timur termasuk Malaysia. Akibatnya, PKNNS gagal membuat pembayaran kepada peneroka dan kemelut masalah Sendayan bermula. Ini berlarutan selama 10 tahun.

Akhirnya dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mohamad bin Hj Hasan, masalah ini berjaya diselesaikan. Pada 23 Februari 2006 dengan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 95 peratus daripada 513 peneroka itu menerima bayaran mereka.

Setiap peneroka menerima wang tunai dan juga harta lain yang keseluruhannya bernilai lebih kurang RM 1.2 juta. Pampasan ini adalah dalam bentuk wang tunai sebanyak antara RM450,000 ke RM685,780 seorang. Di samping itu setiap seorang akan diberi tanah pertanian pegangan bebas seluas 0.8 hektar (2 ekar)dianggarkan bernilai RM348,480 dan juga sebuah banglo setingkat empat bilik dengan keluasan tanah 10,000 kaki persegi dianggarkan bernilai RM240,000.

Felda Sendayan kemudian dibangunkan menjadi bandar baru bernama Bandar Sri Sendayan, yang juga merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV2.0) yang meliputi daerah-daerah Seremban dan Port Dickson di barat Negeri Sembilan. Antara projek yang sedang dibangunkan ialah Bayu Sutera. Ia juga terletak berhampiran dengan daerah Sepang yang terletak di negeri Selangor. Ekonomi

Bandar Sri Sendayan asalnya merupakan kawasan penanaman kelapa sawit dan juga tanaman yang lain. Setelah dimajukan, sebuah pusat perindustrian diwujudkan dikenali sebagai Sendayan Techvalley. Antara syarikat multinasional yang telah membuat pelaburan di sini termasuk Hino, Daihatsu, Fibertex dan Safran.

Bandar Sri Sendayan juga semakin dikenali sebagai kawasan pelancongan. Kewujudan masjid unik yang dikenali sebagai Masjid Sri Sendayan telah menjadi tarikan pelancong untuk mengunjungi bandar ini. Sebuah pusat permainan outdoor juga telah dibina iaitu X'Park Sendayan yang menyediakan aktiviti seperti go-kart, golf range, ATV, buggy ride, dan sebagainya.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]