HMS Kelvin (F37) merupakan sebuah kapal pembinasa kelas K yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja British. Kapal ini dibina oleh Fairfield Shipbuilding and Engineering Company, Limited di Govan, Scotland.
Kelvin berkhidmat di beberapa medan peperangan semasa Perang Dunia II. Dalam tahun 1940, Kelvin melubangtenggelamkan HMS Ivanhoe yang terkena periuk api di Kepulauan Texel, Belanda. Pada 27 November 1940, di bawah pimpinan Laksamana James Somerville, Kelvin terlibat dalam pertempuran di Tanjung Spartivento.
Dalam tahun 1941 dan 1942, Kelvin berkhidmat dengan giat di Laut Mediterranean dan terlibat dalam beberapa pertempuran sengit. Dalam bulan Mei 11941, Kelvin bersama-sama kapal pembinasa HMS Jackal, HMS Kashmir, HMS Kelly dan HMS Kipling membedil Benghazi sebelum berlepas ke Crete. Kelvin mengharungi pengunduran dari Crete dengan selamat dan ditugaskan semula dengan tugas mengiringi konvoi. Dalam bulan Mac 1942, Kelvin menjadi kapal pengiring untuk konvoi MW10 dan bertempur dalam Pertempuran Sirte. Lewat tahun itu, Kelvin membuat serangan-serangan dan membedil Rhodes untuk mengalihkan perhatian pihak Jerman kepada tujuan sebenar Ops Pedestal.
Pada 16 April 1942 Kelvin dan HMS Kipling mendaratkan askar Marin dari Batalion Kesebelas Kor Marin Diraja di Pulau Koufonisi berhampiran Pulau Crete untuk memusnahkan stesen telefon wayarles di situ di bawah Ops Lighter. Dalam bulan Disember 1942, bersama-sama HMS Janus, HMS Javelin and HMS Jervis, Kelvin menenggelamkan sebuah kapal penyerang torpedo Itali di Tebing Kerkennah, Tunisia.
Dalam bulan Januari 1943, Kelvin membedil Zuara. Kelvin berkhidmat cemerlang sepanjang tahun 1943 di mana beberapa orang anak kapal Kelvin diberikan anugerah pingat keberanian kerana berjaya memusnahkan kapal dan kapal terbang musuh di Laut Mediterranean.
Menjelang bulan June 1944, Kelvin kembali kepada tugasan di perairan Britain dan menjadi kapal yang membawa Perdana Menteri Winston Churchill dan kenamaan yang lain menyeberangi Selat Inggeris semasa Ops Overlord, penaklukan Normandy.
Tidak seperti kebanyakan kapal-kapal pembinasa dari Kelas J, Kelas K dan Kelas N, Kelvin mengharungi Perang Dunia II dengan selamat dan dijual untuk dijadikan besi sekerap pada 6 April 1949. Kelvin dipecahkan menjadi sekerap di Troon, Scotland.