Hartal Doktor Kontrak | |||
---|---|---|---|
Tarikh | 26 Julai 2021 (UTC+8) | ||
Punca | Bantahan dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia | ||
Matlamat | |||
Kaedah | |||
Pihak terlibat | |||
| |||
Bilangan | |||
|
Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
Portal Malaysia |
Hartal Doktor Kontrak (HDK) merupakan sebuah mogok pekerja yang dianjurkan oleh para pegawai perubatan di Malaysia pada 26 Julai 2021 di seluruh negara sebagai bantahan terhadap dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia yang dilaksanakan sejak akhir tahun 2016.
Dasar pelantikan doktor kontrak merupakan sebuah dasar yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan Malaysia sejak bulan Disember 2016 sebagai langkah kemasukan pegawai-pegawai perubatan baharu ke dalam sistem penjagaan kesihatan negara serta alam pekerjaan secara am. Langkah ini dibuat susulan pelambakan graduan perubatan akibat pembukaan institusi-institusi pengajian tinggi, terutamanya yang bersifat swasta secara berlebihan.[4]
Sungguhpun begitu, sistem pelantikan ini menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak atas beberapa sebab. Masalah utama yang diutarakan berkenaan dasar ini ialah nasib para pegawai perubatan kerajaan selepas kontrak lima tahun tamat kerana tiada dasar yang jelas bagi penyerapan para pegawai perubatan menjadi pegawai yang tetap.[5] Berdasarkan kenyataan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba pada bulan Mei 2021, hanya kira-kira 3 peratus (789 orang) pegawai perubatan kontrak yang berjaya dilantik sebagai pegawai perubatan tetap daripada kira-kira 32 ribu orang pegawai perubatan yang terlibat.[5] Selain itu, beberapa lagi isu turut diutarakan termasuk gaji yang tidak setimpal, masalah cuti pekerja dan peluang melanjutkan pelajaran untuk menjadi pakar perubatan khusus.[6]
Kesan utama dasar pelantikan sebegini ialah ancaman pengurangan pegawai kesihatan negara. Hal ini ketara bagi para pelajar jurusan perubatan luar negara yang lebih berkeputusan untuk menyambung pelajaran di negara luar berbanding di Malaysia akibat ketidaktentuan yang terbit daripada dasar ini.[7] Masalah kekurangan doktor pakar di Malaysia juga menjadi ancaman yang diperkatakan dalam isu dasar ini.[8]
Menjelang lima tahun selepas pelaksanan dasar doktor kontrak, para pegawai kesihatan mengugut untuk menjalankan hartal (mogok pekerja) bermula 26 Julai 2021 di seluruh negara untuk menuntut penghentian dasar dan penyelesaian masalah penyerapan para pegawai perubatan ke dalam sistem kesihatan negara. Hal ini berlaku ekoran daripada kenyataan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba yang dilihat menyokong dasar doktor kontrak serta mendukung pelantikan probumiputera yang bersifat diskriminatif.[9] Susulan itu, dasar kontrak ini diutarakan semula sebagai perbincangan dalam Mesyuarat Kabinet untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini.[10] Selain itu, pihak kerajaan turut membuka suatu kontrak khas selama setahun yang menawarkan pelantikan semula sebagai pegawai kontrak dari 5 Disember 2021 hingga 4 Disember 2022.[11][12] Dalam beberapa hari sebelum mogok, para pegawai perubatan kontrak mula meletakkan jawatan kerana kekecewaan dan kemarahan dengan masa depan pascakontrak mereka yang tidak menentu.[13] Sebagai usaha mengurangkan tekanan dalam para pegawai perubatan, pihak kerajaan pada 22 Julai 2021 telah mengurangkan tempoh pekerjaan mandatori daripada 24 bulan ke 18 bulan; hal ini bermakna bahawa para pegawai kontrak diberi kelonggaran untuk tamat bekerja selepas bulan ke-18.[14]
Sepanjang bulan Julai 2021, aktiviti aktivis dilakukan secara dalam talian sebagai usaha menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang isu doktor kontrak. Perkara ini termasuk pengenalan tanda pagar #HartalDoktorKontrak di media sosial, kibaran bendera hitam dan pemakaian serba hitam sebagai tanda solidariti.[15] Pada 12 Julai 2021, satu kempen sampingan bernama Black Monday dianjurkan sebagai tanda solidariti.[1]
Kemuncak mogok berlaku pada 26 Julai 2021 dengan mogok sebenar dilaksanakan oleh para doktor kontrak di seluruh negara, dengan hospital-hospital kerajaan menjadi titik tumpuan. Kira-kira lebih 20 buah hospital kerajaan terlibat dalam mogok ini.[16] Secara umumnya, mogok dilakukan secara serentak pada pukul 11 pagi, waktu rehat lazim bagi para pegawai dan protes berhenti setelah waktu tersebut tamat untuk kembali bertugas.[17] Kaedah mogok dilakukan adalah dengan para pegawai berkontrak keluar dari hospital sebagai tanda protes.[18] Sementara itu, beberapa buah hospital kerajaan tidak terlibat dalam mogok ini.[19][20]
Beberapa hari selepas mogok, wakil gerakan hartal berkata bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk menganjurkan mogok serupa lagi sekali sekiranya perihal dan tuntutan mereka tidak diutamakan dalam belanjawan negara tahun seterusnya.[3]
Susulan pembentangan Belanjawan Malaysia 2022 pada November 2021, sebuah protes susulan, "Hartal Doktor Kontrak 2.0" telah dikemukakan oleh para pekerja kerana belanjawan itu dikatakan tidak membantu serta menyelesaikan masalah-masalah dasar sistem doktor kontrak.[21] Berdasarkan peruntukan belanjawan, pihak kerajaan akan memperuntukkan penajaan program kepakaran dengan sejumlah RM100 juta serta penyambungan pelantikan kontrak lebih selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun.[22]
Secara umumnya, acara protes ini dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).[23] Pada hari mogok, pihak PDRM mula melakukan siasatan ke atas pihak penganjur atas konteks pelanggaran peraturan dalam Perintah Kawalan Pergerakan negara yang mengharamkan sebarang acara perhimpunan.[24] Selain itu, terdapat dakwaan daripada para doktor kontrak bahawa amaran diberikan oleh pihak pengarah hospital dengan tindakan lanjut bakal dikenakan terhadap mereka yang menyertai mogok.[25] Melalui Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Keempat Belas pada 27 Julai 2021, Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba memberi jaminan bahawa tiada tindakan yang akan diambil terhadap doktor kontrak yang menyertai hartal pada hari sebelumnya. Keputusan itu disokong beberapa orang Ahli Parlimen termasuk bekas Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad.[26]