Misteri Dilaila | |
---|---|
Pengarah | Syafiq Yusof |
Penulis | Syafiq Yusof |
Lakon layar | Syafiq Yusof |
Dihasilkan oleh | Yusof Haslam Khairul Anuar Salleh (Penerbit Eksekutif) |
Dibintangi | |
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh | Syafiq Yusof |
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Astro Shaw |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan |
|
Negara | Malaysia |
Bahasa | |
Bajet | RM 2.2 juta |
Pecah panggung | RM 9.4 juta |
Misteri Dilaila ialah sebuah filem seram ngeri psikologi Malaysia 2019 arahan Syafiq Yusof.[1] Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri dan Dilaila yang bercuti di Bukit Fraser, Pahang, tetapi percutian itu bertukar menjadi satu misteri apabila Dilaila hilang dan Jefri menghubungi polis untuk mengesan isterinya.[2] Filem ini dibintangi oleh Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Rosyam Nor, Namron dan Sasqia Dahuri.[3]
Filem ini ialah terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw sejak Abang Long Fadil 2 (2017). Penggambaran dijalankan pada Mac 2018 di Bukit Fraser, Pahang dan berakhir pada Mei 2018, filem ini ditayangkan pada 21 Februari 2019.[4] Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM9.4 juta.[5][6] Misteri Dilaila mencipta sejarah dalam industri filem negara dengan menjadi filem Malaysia pertama dengan dua versi penamat berbeza.[7][8]
Mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) bercuti di sebuah banglo mewah milik keluarga Dilaila di Bukit Fraser, Pahang. Pada malam pertama di sana, Jefri diganggu satu kejadian aneh. Keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya hilang. Jefri mendapatkan khidmat Inspektor Azman (Rosyam Nor) untuk mencari isterinya yang hilang. Imam Aziz (Namron), seorang imam di Masjid Bukit Fraser muncul dengan berita gembira memaklumkan Dilaila sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz itu bukan isterinya. Wanita itu mengakui dirinya Dilaila (Sasqia Dahuri). Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi ini?
Misteri Dilaila ialah filem kelapan arahan Syafiq Yusof dan filem ke-41 terbitan Skop Productions. Filem ini juga ialah filem kedua terbitan bersama oleh Skop dan Astro Shaw selepas Abang Long Fadil 2 (2017). Menurut Syafiq, skrip filem ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, dan beliau banyak mengkaji filem seram dari Eropah dan Korea untuk mendapat idea mengarahkan filem ini.[4][1]
Beliau percaya bahawa tiada filem Malaysia menghasilkan putar belit plot sebegini.[1] Kos pembikinan filem ini menelan belanja sebanyak RM2.2 juta dengan penggambaran dijalankan selama 36 hari, bermula 26 Mac 2018 sehingga 1 Mei 2018 di Bukit Fraser, Pahang dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong. Cabaran yang dihadapi oleh Syafiq dan tenaga kerja Misteri Dilaila ialah cuaca dingin dan kerap hujan, beliau berkata: "Inilah kali pertama saya menjalani penggambaran di kawasan berhawa dingin dan kerap hujan. Mujurlah banyak babak pada waktu malam melibatkan penggambaran dalam banglo.[4]
Skop Productions membelanjakan wang sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai sebuah hospital lama zaman penjajahan untuk dijadikan sebagai banglo. Beliau menggunakan khidmat pereka dalaman untuk melakukan pengubahsuaian. Konsep gaya Inggeris dipilih bagi menambahkan suasana filem seram.[4][9]
Pemilihan pelakon dibuat oleh Syafiq hasil perbincangan antara Skop Productions dan Astro Shaw.[10] Zul Ariffin dan Elizabeth Tan dipilih menjayakan watak utama dalam filem ini. Menurut Syafiq, watak utama dalam filem ini dicipta khas untuk Zul, "Watak utama itu sangat sesuai dilakonkan Zul dan bukan pelakon lain. Sebelum ini, Zul banyak beraksi dalam cerita cinta dan aksi, kali ini dia cuba genre lain pula,”.[11] Misteri Dilaila ialah filem kedua Zul bersama Skop Productions selepas Evolusi KL Drift 2 (2010). Filem ini juga ialah filem sulung lakonan bekas finalis One in a Million musim kedua, Iz Sulaini.[12] Pelakon lain yang terlibat termasuk Namron, Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Mas Khan, Kenji Sawahi dan Nafiez Zaidi.
Elizabeth yang memegang watak sebagai Dilaila pertama, mengakui bekerja dengan Syafiq, sedikit sebanyak meyakinkan beliau untuk melakukannya.[13][14] Sasqia, yang terkenal dengan peranan lakonan di televisyen, memegang watak sebagai Dilaila kedua, Misteri Dilaila ialah filem ketiga lakonan beliau dan filem sulung lakonannya sebagai pelakon utama.[15] Sasqia berkata mengenai wataknya: "Saya sangat suka dengan peluang ini sebab sudah lama nak buat aksi. Bagi saya, ia sangat menarik dan penuh misteri. Menariknya, saya boleh bermain dengan karakter Dilaila kerana sebelum ini penonton hanya nampak saya berlakon jahat saja. Dalam karakter ini, saya boleh bermain dengan perwatakan psiko, hipokrit dan berpura-pura, semuanya dalam satu,".[13][16]
Misteri Dilaila ditayangkan pada 21 Februari 2019 di 131 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Treler rasmi filem ini telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Astro Shaw dan Syafiq Yusof pada 16 Januari 2019.[17] Filem ini ditayangkan di Indonesia pada 15 Mac 2019, sebulan selepas tayangan perdana rasmi di Malaysia.[18][19] Syafiq tidak meletakkan sasaran kutipan filem arahannya, sebaliknya mahu melihat maklum balas dari penonton di pawagam[20] dan dapat membawa pulangan lumayan buat tenaga kerja.[21]
Dalam tempoh lima hari selepas tayangan perdana rasmi, Misteri Dilaila berjaya meraih kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM4 juta.[6][22] Sehingga 6 Mac 2019, filem ini mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM8.8 juta selepas 11 hari tayangan.[23][24]
Misteri Dilaila mendapat ulasan positif dari pengkritik filem. Yuzir Harafi dari Astro Awani memuji skrip dan lakonan filem ini dan berkata: "Secara keseluruhannya, filem ini boleh dimasukkan ke dalam carta ‘Filem Tempatan Wajib Tonton 2019’ kerana nilai dan kualiti filem ini adalah lain daripada yang lain.".[25] Jessica Chua dari Rojak Daily pula berkata: "Secara keseluruhan, saya cadangkan untuk tidak melihat Misteri Dilaila terlalu serius. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin tidak menikmati apa yang filem itu cuba menawarkan, yang merupakan hiburan tulen."[26] Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online melihat filem ini sebagai eksperimentasi Syafiq yang mempunyai terdapat kelemahan, beliau berkata dalam ulasannya: "pastinya Misteri Dilaila menjadi sebutan ramai kerana pembaharuan yang ditampilkan dalam sinema tempatan dengan memperkenalkan dua versi pengakhiran ceritanya".[27]
Menulis untuk The Sun Daily, Bissme S. berkata: "Diinspirasikan bukan satu jenayah tetapi menafikan di mana anda mendapat inspirasi anda. Ia meninggalkan rasa pahit di mulut penonton apabila tiada kredit diberikan di mana ia perlu."[28] Suka Filem pula menyifatkan versi kedua Misteri Dilaila "mempunyai penamat yang agak abstrak. Penonton perlu perah otak sedikit untuk mencantumkan beberapa misteri di akhir filem ini. Tidak seperti versi pertama, versi kedua ini lebih kepada penamat yang memerlukan diskusi lanjut di kedai kopi selepas penontonan. Apapun, versi ini memang ada kekurangan, namun masih berjaya ditampung".[29]
Buat pertama kali dalam sejarah filem Malaysia, ia telah dilaporkan bahawa Misteri Dilaila memiliki dua penamat cerita yang berbeza.[30] Menurut Syafiq, beliau sengaja menghasilkan dua pengakhiran berbeza kerana konsep ini belum pernah dibuat dalam mana-mana filem Malaysia. Beliau dipetik sebagai berkata: "Secara rasminya saya umumkan kepada semua bahawa sememangnya filem ini dibuat khas dengan dua pengakhiran berbeza. Konsep sebegini belum pernah lagi ditampilkan di dalam industri filem Malaysia. Di samping itu, genre misteri thriller menjadi pilihan utama saya untuk muncul dengan konsep ini kerana ia memberi peluang untuk saya mengembangkan jalan cerita dan karakter dengan lebih dramatik dan kreatif."[31] Syafiq menjelaskan bahawa sebab beliau menghasilkan dua penamat ialah "bukan untuk membuat keuntungan" namun bagi menghiburkan penonton.[32][33]
Misteri Dilaila menjadi subjek kecaman umum apabila filem ini dikaitkan dengan isu penciplakan, tidak lama selepas tayangan perdana rasminya. Hampir 80 peratus jalan cerita dalam filem ini dikatakan memiliki persamaan dengan filem 1986, Vanishing Act arahan David Green lakonan Mike Farrel dan Margot Kidder. Selain itu, satu-satunya perbezaan ialah menggantikan anjing dengan kucing, peminat menyatakan kekecewaan kerana tertipu oleh alur cerita yang sama sekali tidak jelas.[34][35] Menurut Syafiq dalam satu temubual, beliau mendapat inspirasi untuk Misteri Dilaila daripada dua filem Korea Selatan, "Dua filem Korea Selatan ialah inspirasi bagi Misteri Dilaila, mereka adalah The Forgotten dan Challenging. Saya suka menonton filem Korea, terutamanya yang bergenre seram,".[36][37]
Lagu tema filem ini, "Hidup Semula" dinyanyikan oleh Elizabeth Tan, dicipta oleh Audi Mok dengan lirik ditulis oleh Shazee Ishak dan dikeluarkan pada 21 Februari 2019, serentak dengan tayangan perdana filem ini.[38] Selain itu, lagu Melayu klasik "Rasa Sayang" dinyanyikan oleh Allahyarhamah Seniwati Siput Sarawak juga digunakan sebagai muzik latar.
Misteri Dilaila dipertontonkan di televisyen buat pertama kalinya di Astro First bermula 25 April 2019. Ia juga ditayangkan di Astro Citra pada 4 Jun 2020.