Shanon bin Ahmad (atau nama penanya Juwahir, Tutang) dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah. Ayahnya, Ahmad Abu Bakar, berasal dari bandar Medan di Hindia Timur Belanda (kini Indonesia) manakala ibunya Kelsum Mohd Saman berketurunan Melayu Pattani di mana keluarganya berhijrah ke Tanah Melayu dari Kampung Poseng, Siam pada lewat kurun ke-19. [2] Ayahnya mula-mula bekerja sebagai kakitangan dalam Jabatan Juruukur dan posmen sebelum diupah tentera British sebagai perisik mengintip pergerakan askar Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.[2]
Shahnon bersekolah di Sekolah Melayu di Sik dan lulus darjah 5 (1946) ; Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus Sijil Persekolahan.
Beliau bertugas sebagai guru di Grammer English School di Kuala Terengganu pada tahun 1954, kemudiannya sebagai Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan dari tahun 1955 hingga 1956). Kecederaan yang dialaminya menyebabkan beliau menjadi guru semula dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah (1957-1959).
Shahnon menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid dari tahun 1960 hingga 1963 sebelum berpindah ke Jenan untuk mengajar kesusasteraan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim pada 1967. Beliau melanjutkan pengajiannya di Uinversiti Kebangsaan Australia di Canberra, Australia serta berkhidmat sebagai seorang pegawai penyelidik. Di sana jugalah beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda pada tahun 1971.
Beliau bekerja sebagai seorang pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim sebelum berpindah ke Universiti Sains Malaysia pada 1974m di mana beliau memperolehi Sarjana Sastera USM setahun kemudian. Pada tahun 1979, beliau dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan universiti tersebut pada 1979, Profesor Sastera USM pada Jun 1980 dan kemudiannya profesor penuh di USM dua tahun kemudian, serta Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.
Sejak 1956 beliau mula menulis dan sentuhannya tentang masyarakat cukup dirasakan dan mulanya berbentuk sinis dan seks. Karya awalnya berupa terjemahan tersiar dalam majalah Mastika dan menghasilkan cerpen, novel, esei serta kritikan. Namun beliau canggung menghasilkan puisi dan drama.
Beliau menyingkap penderitaan manusia desa dan kehidupan di bandar-bandar.
Novel pertamanya 'Rentong' (1965) menaikkan namanya. Novel keduanya berjudul Terdedah . Novel ketiga 'Ranjau Sepanjang Jalan' dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat menjadi sebuah filem (1983) oleh penerbit / pengarah filem, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin. Dua novel ini merupakan kemuncak kerjaya novelis ini.Ranjau Sepanjang Jalan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn. Panel The Sydney Morning Herald (1973) mengangkat novel ini satu daripada 10 novel menarik tahun 1972. Ranjau Sepanjang Jalan (1966)—yang telah diadaptasi semula ke filem yang dipanggil Rice People arahan pengarah filem Kemboja, Rithy Panh, Rentong (1965), Srengenge (1973) yang telah memenangi anugerah Novel Tahunan Malaysia pada tahun 1970, serta Terdedah (1965).
Melalui novel Rentong , beliau cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Kisah perjuangan petani miskin di kampungnya Banggul Derdap melalui watak Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma.Orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah.
Novel Protes berkisar tentang ketuhanan. novel Menteri dan Perdana berkisar tentang soal politik orang Melayu. Gaya bahasa dan teknik penulisan yang bersahaja. loghat Kedah, perulangan ayat dan teknik perbandingan dapat meninggalkan kesan.
Novel Serengenge (1973) diangkat sebagai novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973. Novel ini memaparkan sintesis antara kepercayaan tradisi dengan ilmu psikologi moden. Tahun 1985, beliau menghasilkan novel Al-Shiqaq I.
Cerpennya memenangi Hadiah Karya Sastera. Antaranya antologi cerpen Anjing-anjing, Debu Mereh, dan Selesai Sudah. Beberapa cerpennya diterbitkan bersama penulis lain. Cerpen beliau yang tersiar dalam Berita Harian dan Mastika mendapat hadiah RM100.00 (1960-an). Tahun 1974, Shahnon memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bidang esei dan kritikan pula.
Beliau mula ke arah Islam dan keislaman.Polemik Shahnon dengan penulis Kassim Ahmad mengenai takrif Sastera Islam tersiar dalam majalah Dewan Sastera pada tahun 1984 dan akhbar Mingguan Malaysia. Beliau juga pernah ikut jemaah Al Arqam dan pengalamannya itu ditulis dalam novel 'Tok Guru'.[3]
Shahnon juga merupakan pernah menjadi ahli politik pembangkang dalam PAS. Dalam Pilihanraya Umum Malaysia 1999, beliau menang bertanding di kerusi parlimen P13 Sik dengan majoriti 478 undi. Beliau mendapat 13504 undi sementara Tan Sri Abdul Hamid Othman (BN - UMNO) mendapat 13026 undi sahaja. Isu utama ketika itu ialah pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai TPM pada 1998. Namun, beliau tidak bertanding dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2004 kerana uzur yang menyaksikan PAS kehilangan kerusi tersebut kepada BN.[4]
Beliau meninggal dunia disebabkan penyakit pneumonia pada usia 84 tahun, pada jam 8 pagi hari 26 Disember 2017 di Hospital KPJ Kajang, Selangor;[5] Beliau meninggalkan isterinya Wan Fatimah yang berusia 82, 4 orang anak antara usia 54 dan 58 tahun, 14 orang cucu dan tiga orang cicit.[6] Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi pada keesokan harinya.[6]
Forma «G-147» (Borang G. 147). Terjemahan A. Pavlenko // Aziya i Afrika Segodnya (Asia dan Afrika Hari Ini). Moscow: Akademi Sains Rusia, 1968, № 10, hlm. 16-20.
Esli Mat' Podnimetsa Na Tret'yu Stupen'ku (Bila Ibu Sampai Takah Tiga). Terjemahan B. Parnikel. // Dobroe Delo. Rasskazi Pisatelei Malayzii i Singapura (Budi. Cerita-cerita Pendek Penulis Malaysia dan Singapura). Susunan dan prakata B. Parnikel. Alma-Ata: Zhazushi, 1973.
Kaban (Babi hutan). Terjemahan V. Sigaev. // Aziya i Afrika Segodnya (Asia dan Afrika Hari Ini). Moscow: Akademi Sains Rusia, 1974, № 6, hlm. 37-39.
Navazhdenie (Kekosongan); Dela Semeinie (Di Tengah Keluarga); Kaban (Babi Hutan). Terjemahan B. Parnikel, V. Sigaev. // Sovremennaya Malayziyskaya Novella (Cerita Pendek Malaysia Moden). Penyusun V. Sigaev, B. Parnikel. Prakata B. Parnikel. Moscow: Progress, 1977.
Voina v Tihom Omute (Seluang Menodak Baung). Novel. Terjemahan T. Dorofeeva. Pengantar B. Parnikel. Moscow: Raduga, 1984.
Pada tahun 1975, Shahnon diberi kepercayaan sebagai anggota Panel Hadiah Karya Sastera; Beliau turut diberi gelaran `Pejuang Sastera’ pada 1976 serta Anugerah Sastera Negara daripada kerajaan Malaysia pada 1982. Beliau turut terlibat dalam Panel Hakim Hadiah Karya Sastera tahun 1983.
Beliau menerima darjah Datuk Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran `Datuk’ daripada Sultan Kedah (1980) Beliau mendapat gelaran Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993.
Di antara barisan penulis yang dilahirkan atas didikan beliau ialah Zainal Rashid Ahmad dan penulis muda Zul Azfa.