Terowong Genting Sempah adalah terowong lebuh raya yang pertama di Malaysia. Terletak di Lebuhraya Karak, terowong sepanjang 900 meter ini menghubungkan antara kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang. Tempoh pembinaan terowong ini ialah dua tahun iaitu dari tahun 1977 hingga tahun 1979. Terowong ini dibuka secara rasminya pada tahun 1979 oleh bekas Menteri Kerja Raya dan Komunikasi, Dato Abdul Ghani Gilong.
Terowong ini pernah menjadi terowong jalan raya terpanjang di Malaysia sebelum kedudukan tersebut dirampas oleh Terowong SMART sepanjang 4 km yang dibuka pada tahun 2007.
Asalnya terowong Lebuhraya Karak ini hanyalah terowong tunggal dengan dua lorong sahaja tetapi terowong tambahan bagi lalu lintas ke arah timur telah dibina antara tahun 1995 hingga 1997 apabila Lebuhraya Karak dinaiktaraf daripada lebuh raya tunggal dua lorong kepada lebuh raya ekspres kembar empat lorong.