Maktab Rendah Sains MARA مکتب رنده ساءينس مارا | |
---|---|
Lokasi | |
Malaysia | |
Maklumat | |
Jenis | Pendidikan menengah |
Moto | Berdisiplin, Berilmu, Beramal |
Ditubuhkan | Februari 1972 |
Gred | Tingkatan 1 - 5 |
Bahasa pengantar | Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris |
Kampus | 55 |
Warna | Merah tua, biru, kuning |
Alumni | ANSARA (Anak Sains MARA) |
Laman sesawang | www.mara.gov.my |
Maktab Rendah Sains MARA (singkatan: MRSM, kadang-kala dikenali sebagai MARESMA) merupakan sekumpulan sekolah berasrama penuh yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (MARA). MRSM merupakan institusi pendidikan di Malaysia yang menyediakan pendidikan menengah kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia bermula tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Sehingga tahun 2022, terdapat sebanyak 55 buah MRSM yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia, di mana kesemua MRSM ini menawarkan program pendidikan SPMRSM yang menggabungkan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia dan kurikulum khas MARA[1]. Pelajar-pelajar MRSM menduduki peperiksaan utama seperti Ujian PT3 bagi pelajar tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar tingkatan lima.
Maktab Rendah Sains MARA telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat Bil. 20 Tahun 1966 sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan. Cadangan penubuhan institusi MRSM ini timbul seawal tahun 1968, bagi melahirkan golongan bumiputera yang pakar dalam bidang sains dan teknologi[2]. Sehingga tahun 2022, seramai 194,000 orang pelajar telah mengikuti sistem pendidikan MRSM sejak ianya mula dilancarkan secara rasmi pada tahun 1972[3][4].
Pada tahun 2002, MARA mengubah polisi kemasukan pelajar dengan menyediakan kuota sebanyak 10% diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera[5]. Bermula tahun 2020, nisbah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di MRSM adalah 95% bumiputera dan 5% bukan bumiputera[6].
Pada tahun 2022, MRSM menyambut sambutan Jubli Emas ulangtahun penubuhannya yang ke-50[6].
Cadangan untuk menubuhkan institusi MRSM mula tercetus sejak tahun 1968[7]. Cadangan ini timbul berikutan kekurangan golongan Bumiputera dalam bidang sains dan teknologi.
MARA mula memperkenalkan MRSM menerusi penubuhan MRSM yang pertama pada tahun 1972 yang dikenali sebagai MRSM Seremban. Ianya dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada ketika itu, Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman[8]. Objektif pengenalan MRSM ini adalah untuk menambah bilangan bumiputera profesional yang mampu berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi dan dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan dan luar bandar[2]. Seramai 150 orang pelajar yang merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk ke MRSM Seremban. Tenaga pengajar pada ketika itu terdiri daripada 5 orang guru bumiputera dan terdapat juga guru dari Amerika Syarikat[2]. Pada tahun 1974 pula, peperiksaan SRP diadakan dan ini merupakan peperiksaan utama pertama kali diadakan di MRSM[9]. Di awal penubuhan MRSM, Lembaga Peperiksaan meletakkan institusi MRSM sebagai sekolah persendirian kerana berpendapat MRSM beroperasi secara berasingan daripada sistem pendidikan Kementerian Pelajaran[9].
Pada tahun 1973, MARA menubuhkan MRSM kedua, MRSM Kota Bharu yang terletak di negeri Kelantan. Seramai 149 orang pelajar dan 20 orang kakitangan merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk[10]. Pelajar-pelajar yang berjaya mendaftar masuk ini disaring berdasarkan Ujian Kecerdasan (IQ), Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik yang diperkenalkan MARA dan merupakan syarat kelayakan untuk ke MRSM[11]. Manakala, MRSM Kuantan merupakan MRSM ketiga yang telah ditubuhkan dan dirasmikan pada bulan Mac 1974 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah[12]. Kumpulan pelajar perintis di MRSM Kuantan ini mula menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Lower Certificate Education (LCE) buat pertama kali pada tahun 1976, dan kumpulan ini berjaya mencatatkan kelulusan penuh 100%[12].
Sebelum pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), MARA menggunakan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran[13].
Tingkatan 1-3 | Tingkatan 4-5 |
---|---|
Bahasa Melayu | Bahasa Melayu |
Bahasa Inggeris | Bahasa Inggeris |
Ugama | Ugama |
Ilmu Alam | Ilmu Alam |
Hisab Moden | Hisab Moden |
Sains Panduan | Sains Panduan |
Kreativiti | Fizik |
Muzik | Kimia |
Pendidikan Jasmani | Kajihayat |
Sivik | Perdagangan |
Pendidikan Jasmani | |
Sivik |
Beberapa buah MRSM dinaiktaraf kepada Kolej MARA dan menawarkan program pra-universiti, selepas pertambahan bilangan MRSM dari masa ke semasa, seperti MRSM Kota Bharu (yang kemudian ditukar nama kepada MRSM Pengkalan Chepa)[14] dibuka pada tahun 1973, MRSM Kuantan pada tahun 1974, MRSM Kuala Terengganu pada tahun 1978 dan MRSM Muar pada tahun 1980.
MRSM Seremban mula menerima pelajar baru bermula pada tahun 1972 sehingga tahun 1985 dan kemudian dinaiktaraf kepada Kolej MARA Seremban pada tahun 1991[8]. MRSM Kulim merupakan MRSM keempat dibina pada tahun 1977 dan mengambil seramai 149 orang pelajar tingkatan 1 sebagai kumpulan perintis. Pada tahun 1994, MRSM Kulim dinaiktaraf dan ditukar nama kepada Kolej MARA Kulim yang kini menjalankan program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, Program Persediaan Keusahawanan Sains Universiti Malaysia Kelantan[15] dan program asasi UniKL. Manakala, MRSM Banting pula mula dibuka pada tahun 1992 dan dinaiktaraf kepada Kolej MARA Banting pada tahun 1994 yang kini menawarkan program International Baccalaureate dan General Certificate of Education Advanced Level (GCE A-Level)[16].
Institusi MRSM menggunakan sistem pendidikan yang diberi nama Sistem Pendidikan MRSM (singkatan: SPMRSM). Sistem pendidikan ini berteraskan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau dikenali sebagai bidang STEM. Selain itu, pelajar-pelajar juga diterapkan dengan aspek berkaitan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran insaniah, serta kemahiran mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi[1]. Sistem SPMRSM ini dibahagikan kepada tiga program utama, iaitu program akademik, program pembangunan pelajar dan program pembangunan bakat.
Dalam program akademik, SPMRSM menggunapakai kurikulum yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)[17]. KSSM merupakan kurikulum baru yang mula digunapakai oleh sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia bermula pada tahun 2017[18], menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang telah digunakan sejak sekian lama.
Kurikulum KSSM mewajibkan pelajar-pelajar MRSM mengambil matapelajaran teras yang terdiri daripada subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral bagi pelajar bukan Bumiputera[18]. Tambahan kepada matapelajaran teras ialah subjek-subjek di bawah pakej STEM (Sains Tulen dan Matematik Tambahan), iaitu salah satu pakej di bawah kerangka KSSM[19]. Subjek-subjek di bawah pakej STEM (Sains Tulen dan Matematik Tambahan) yang diambil pelajar-pelajar MRSM ialah subjek Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan[19]. Terdapat juga pakej lain di bawah KSSM yang perlu diambil bergantung kepada program pendidikan khusus MRSM yang ditawarkan.
Kunci kepada uniknya SPMRSM ini terletak pada program pembangunan bakat di mana MARA menggunapakai model The Schoolwide Enrichment Model (SEM)[20] yang dibangunkan oleh Joseph Renzulli, bagi mengembangkan potensi pelajar ke tahap maksimum, seterusnya menaikkan prestasi sesebuah MRSM secara keseluruhannya[20]. Pelajar akan diberikan pendedahan kepada tiga peringkat model SEM ini; SEM Type I, SEM Type II, dan SEM Type III[21]. SEM Type I memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pelbagai jenis topik yang tidak diajar dalam program akademik. SEM Type II pula lebih kepada pelajar diberikan pelbagai bahan bacaan dan rujukan bagi membantu mereka dalam memproses sesuatu topik atau penyelidikan. Manakala SEM Type III memberi pelajar peluang untuk melakukan penyelidikan mereka sendiri berdasarkan kepada bahan rujukan dan topik yang mereka pilih dalam dua peringkat sebelumnya[21]. Pesta SEM Type III pula merupakan aktiviti yang diadakan di peringkat MRSM di mana pelajar-pelajar akan membentangkan dan mempamerkan hasil kajian atau penyelidikan mereka[22].
Terdapat enam jenis program pendidikan yang ditawarkan oleh MRSM, sebagai nilai tambah kepada sistem pendidikan SPMRSM. Program Premier merupakan program pendidikan yang menerapkan sistem pendidikan SPMRSM sahaja. IGCSE dan IB MYP merupakan program pendidikan yang menerapkan sistem pendidikan SPMRSM dan kurikulum antarabangsa IGCSE dan MYP[23]. Manakala, program pendidikan Ulul Albab dan Teknikal pula menerapkan sistem pendidikan SPMRSM dan elemen khusus[23]. Program Bitara atau PKP[24] pula merupakan program pendidikan yang menerapkan sistem pendidikan SPMRSM dan program pintar cerdas bagi pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum[25].
Bermula tahun 2023[23], program pendidikan yang ditawarkan oleh MRSM adalah:
Selain daripada program-program pendidikan yang ditawarkan, MRSM juga menawarkan pilihan subjek bahasa ketiga, iaitu subjek bahasa asing selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Subjek bahasa asing diperkenalkan bagi membantu kerajaan Malaysia dalam melahirkan pelajar yang mahir dalam berbilang bahasa, serta mampu berdaya saing di peringkat global[20]. Bahasa Arab merupakan subjek bahasa asing terawal diperkenalkan di beberapa buah MRSM, dan ianya juga ditawarkan kepada pelajar yang mengambil program pendidikan Ulul Albab. Selain itu, MRSM Langkawi menawarkan pilihan subjek bahasa Jepun[26] dan bahasa Perancis ditawarkan di MRSM Tun Abdul Razak, Pahang[26], dan MRSM Alor Gajah, Melaka[26]. Subjek bahasa Mandarin pula ditawarkan di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan dan MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka. MARA menjangkakan kesemua MRSM di seluruh Malaysia akan menawarkan subjek bahasa asing ini, namun secara berperingkat[27].
Program Premier merupakan program pendidikan MRSM yang hanya menjalankan sistem pendidikan SPMRSM sahaja, dan tiada program khusus yang lain. Kebanyakkan MRSM di Malaysia menawarkan program pendidikan Premier ini. Selain daripada pembelajaran di dalam kelas, MARA juga menerapkan kurikulum khas iaitu pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah[28]. Bagi program akademik, ianya dibahagikan kepada dua peringkat iaitu menengah rendah (tingkatan 1-3) dan menengah atas (tingkatan 4-5). Setiap peringkat ini menawarkan subjek-subjek yang berbeza, namun berasaskan kepada bidang STEM sebagai teras kepada program ini.
Bagi program pembangunan pelajar pula, terdapat pilihan badan beruniform, persatuan atau kelab dan sukan/permainan di bawah ko-kurikulum. Di bawah kurikulum khas MARA, pelajar didedahkan dengan beberapa aktiviti berteraskan pembelajaran dan daya kreativiti seperti Minggu Kerjaya, Tunas Saintis dan Olympiad Matematik[29].
Tingkatan | Semester | Kurikulum | Peperiksaan |
---|---|---|---|
Tingkatan 1 | Semester 1 | KSSM (menengah rendah) | |
Semester 2 | |||
Tingkatan 2 | Semester 1 | ||
Semester 2 | |||
Tingkatan 3 | Semester 1 | ||
Semester 2 | |||
Tingkatan 4 | Semester 1 | KSSM (menengah atas) | |
Semester 2 | |||
Tingkatan 5 | Semester 1 | Peperiksaan SPMRSM | |
Semester 2 | Peperiksaan SPM |
IGCSE merupakan kurikulum antarabangsa yang digubal oleh yayasan Cambridge Assessment International Education (singkatan: Cambridge). Ianya menawarkan lebih daripada 70 subjek kepada pelajar-pelajar dan terdapat peperiksaan utama yang perlu diambil bagi melayakkan pelajar menerima sijil IGCSE selepas tamat pengajian[30]. Program ini merupakan nilai tambah kepada sistem pendidikan SPMRSM sedia ada[28]. Mula diperkenalkan pada sekitar tahun 2011 dengan MRSM Tun Abdul Razak merupakan MRSM perintis untuk program ini. Menerusi program ini, pelajar ditawarkan dengan dua sijil pendidikan pra-universiti yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education). Setakat tahun 2020, terdapat 15 buah MRSM yang menawarkan program ini, di mana MARA mensasarkan 45 buah MRSM di seluruh Malaysia bakal melaksanakan program ini[31].
Dalam program IGCSE, pelajar akan mempelajari dua jenis kurikulum iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang merupakan kurikulum piawai untuk pendidikan menengah di Malaysia serta kurikulum antarabangsa yang dikenali sebagai Cambridge International General Certificate of Secondary Education. Pelajar akan mengambil empat jenis peperiksaan seperti berikut:
Secara umumnya, pelajar yang mengambil program IGCSE akan melalui fasa pendidikan seperti berikut:
Tingkatan | Semester | Kurikulum | Peperiksaan |
---|---|---|---|
Tingkatan 1 | Semester 1 | IGSCE KSSM |
|
Semester 2 | |||
Tingkatan 2 | Semester 1 | ||
Semester 2 | IGCSE Checkpoint | ||
Tingkatan 3 | Semester 1 | ||
Semester 2 | Ujian PT3* | ||
Tingkatan 4 | Semester 1 | IGCSE KSSM |
|
Semester 2 | Peperiksaan IGCSE | ||
Tingkatan 5 | Semester 1 | KSSM | |
Semester 2 | Peperiksaan SPM |
*PT3 telah dimansuhkan mulai tahun 2022
Bagi pelajar MRSM-IGCSE, mereka mempunyai kelebihan untuk mengambil peperiksaan IGCSE di akhir Tingkatan 4 dan peperiksaan SPM ketika di Tingkatan 5[28]. Sijil IGCSE boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi seperti A level di United Kingdom atas tajaan sendiri.
Pelajar wajib mengambil 6 subjek sahaja yang telah ditetapkan. Subjek yang perlu diambil bagi peperiksaan IGCSE adalah:
Program Ulul Albab (atau dikenali sebagai SPMRSM Ulul Albab) merupakan program yang mengintegrasikan kurikulum piawai yang digunapakai Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah, dengan program aliran agama Islam[28]. Idea untuk memperkenalkan sistem pendidikan berteraskan Islam ini datangnya dari Datuk Seri Idris bin Jusoh[32]. Pada tahun 2009, MRSM Kota Putra telah dipilih sebagai SPMRSM Ulul Albab yang pertama, diikuti MRSM Gemencheh pada tahun 2010, MRSM Kepala Batas pada tahun 2011 dan MRSM Sungai Besar pada tahun 2016. Menerusi program Ulul Albab, terdapat tiga ciri utama yang akan dipupuk[32].
Ciri | Objektif |
---|---|
Quranik | Pelajar mampu menghafal Al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam masa tiga tahun serta memahami isi kandungannya. |
Ensiklopedik | Pelajar mempelajari subjek biasa, sains tulen dan agama[33]. |
Ijtihadik | Pelajar mampu memberikan pandangan dan buah fikiran dalam menjawab persoalan-persoalan ummah serta berfikiran kreatif. |
MARA kini sedang dalam perancangan untuk membuka beberapa lagi MRSM Ulul Albab yang baru[34].
Dalam bengkel Rancangan Malaysia ke-11 (MARA), satu daripada inisiatif yang dicadangkan ialah supaya MARA mengambil langkah memperkenalkan subjek teknikal di MRSM. Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) menyediakan satu kurikulum teknikal yang selari dengan program pendidikan menengah yang berkualiti kepada pelajar MRSM. Dalam usaha untuk merealisasikan program ini, MRSM Bentong telah dijadikan sebagai satu-satunya MRSM Teknikal di seluruh Malaysia. MRSM Bentong akan dijadikan Pusat Pembelajaran Teknikal dan Robotik MRSM dengan mengaplikasikan modul Sains Kejuruteraan seawal Tingkatan 1 di samping penggunakan peralatan makmal yang canggih.
Peringkat | Subjek | Penerangan |
---|---|---|
Menengah rendah | Sains Kejuruteraan | Penerokaan teknikal dari segi minat, asas kemahiran, kerja tangan dan budaya. Pendedahan awal pada bidang robotik, pengaturcaraan komputer dan teknikal |
Menengah atas | Lukisan Kejuruteraan | Subjek elektif yang wajib diambil untuk peperiksaan SPM |
Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik Kejuruteraan Mekanikal |
Pelajar hanya perlu memilih satu jurusan sahaja. |
Program International Baccalaureate Middle Years Programme (singkatan: IB MYP) merupakan program pendidikan antarabangsa yang digubal oleh yayasan International Baccalaureate (IB). MYP menawarkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pelajar-pelajar berusia 11-16 tahun mengetengahkan lebih idea, cadangan dan mengulas isu semasa[35]. Hasilnya, pelajar-pelajar ini berfikiran lebih kreatif, kritikal dan reflektif[35]. MRSM yang menawarkan program ini juga melaksanakan program SPMRSM, di mana pelajar-pelajar mengikuti sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia[36].
Di bawah pelaksanaan MYP, pelajar-pelajar akan menyiapkan projek secara individu bermula tingkatan empat dan lima, mengikuti kriteria yang telah ditetapkan[36]. Manakala, pelajar-pelajar juga akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai sebahagian daripada kriteria di bawah sukatan pelajaran kebangsaan[36]. Setakat tahun 2022, terdapat 3 buah MRSM yang menawarkan program ini; MRSM Balik Pulau, MRSM Tun Dr Ismail dan MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens. Yayasan International Baccalaureate telah mentauliahkan 3 buah MRSM ini untuk menjalankan program MYP sejak Jun 2018 bagi MRSM Tun Dr Ismail[37], MRSM Balik Pulau sejak Jun 2018[38] dan MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens sejak April 2018[39].
Program Bitara atau PKP[40] merupakan program yang ditawarkan kepada pelajar yang mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan PT3[28], di samping mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan Ke MRSM (UKKM) dan aktif dalam bidang kokurikulum. Program ini diperkenalkan bagi membolehkan para pelajar yang berkebolehan tinggi mendapatkan program pendidikan khusus sebagai nilai tambah kepada sistem pendidikan sedia ada. Program ini juga berdasarkan kepada program pintar cerdas atau GATE (gifted and talented education), di mana para pelajar diberi peluang dalam membangunkan bakat mereka serta menekankan kemahiran berfikir aras tinggi[25].
MRSM Kulim merupakan MRSM pertama yang menjalankan program berasaskan pintar cerdas, dan dikenali sebagai Program Khas Penuntut (PKP)[15]. Ia melibatkan pengambilan pelajar tingkatan 4 sesi pengajian 1988/1989, dan ditamatkan pada tahun 1991[15]. Program ini kemudian dipindahkan ke MRSM Taiping pada tahun yang sama. Program PKP ini ditambah ke beberapa buah MRSM; MRSM Pengkalan Chepa pada tahun 1995, MRSM Tun Ghafar Baba pada tahun 1996, MRSM Tun Dr. Ismail (2010), MRSM Langkawi (2010) dan MRSM Kuantan (2010).
Pada tahun 2011, MARA menjenamakan program PKP ini kepada program Bitara[24], dan terdapat tiga buah MRSM yang menawarkan program ini setakat tahun 2023:
SPMRSM Sains Keusahawanan menerapkan elemen keusahawanan melalui subjek prinsip perakaunan dan ekonomi.Sehubungan dengan itu,MRSM Imtiaz YT KETENGAH telah dipilih sebagai MRSM Keusahawanan yang pertama.MRSM ini juga adalah kerjasama di antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia di bawah agensi MARA, kerajaan negeri Terengganu di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta Yayasan Terengganu (YT). MRSM ini juga adalah satu-satunya MRSM yang mempuyai tiga sijil yang akan diberi kepada pelajar selepas tamat pengajian tingkatan 5. Sijilnya adalah:
Terdapat beberapa tambahan subjek yang perlu diambil para pelajar untuk peperiksaan SPM, iaitu subjek Ekonomi dan Prinsip Perakaunan. Selain itu, terdapat juga modul keusahawanan yang akan dipelajari secara teori dan praktikal[41]. Program ini tidak lagi ditawarkan kerana penutupan operasi MRSM Imtiaz YT KETENGAH pada tahun 2020[42].
Di awal penubuhan MRSM, pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang serta datang dari keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan ditawarkan penempatan. Kesemua MRSM di seluruh Malaysia hanya menerima pelajar Bumiputera sahaja[43]. Ini sejajar dengan matlamat penubuhan MRSM pada ketika itu yang ingin melahirkan ramai golongan Bumiputera profesional dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan[2][43]. Pelajar-pelajar yang memohon ini disaring berdasarkan kepada keputusan peperiksaan utama serta keputusan Ujian Kecerdasan (IQ), Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik yang perlu diambil sebagai syarat kelayakan utama[11].
Bermula sesi ambilan pelajar tahun 2002, polisi kemasukan pelajar ke MRSM berubah apabila MARA memperuntukan kuota sebanyak 10% daripada jumlah pengambilan pelajar baru di MRSM diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera[44]. Walaupun begitu, syarat minima masih lagi tidak berubah iaitu pelajar tersebut datang dari keluarga berpendapatan rendah serta keutamaan diberikan kepada golongan luar bandar. Setakat tahun 2018, hanya 1% daripada keseluruhan kuota 10% dilaporkan diisi oleh pelajar-pelajar terbabit[5]. Tidak ramai keluarga bukan Bumiputera yang mengetahui polisi kemasukan terbaru ini antara faktor yang menyebabkan peratusan sedikit jumlah pelajar bukan Bumiputera di kesemua MRSM[5]. Bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein, juga pernah mencadangkan mengenai kuota diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera ketika di awal penubuhan MRSM, oleh kerana beliau mahu melihat pelajar Melayu berdaya saing dengan pelajar kaum lain[44].
Pada tahun 2016, MARA telah melonggarkan syarat kemasukan ke MRSM bagi pengambilan pelajar baru tingkatan satu untuk sesi tahun 2017[45]. Pelajar-pelajar dari keluarga miskin yang menetap di kawasan bandar dan luar bandar, pribumi Sabah dan Sarawak serta pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan minima 3A 3B bagi pelajar di Semenanjung Malaysia[46] dan 3A 2B 1C bagi pelajar di Malaysia Timur[46] layak memohon kemasukan ke MRSM[45][47]. Ini berikutan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang agak kurang memuaskan, di mana kurangnya peratusan A[47]. Sebelum ini, pelajar perlu mendapat keputusan minima 5A bagi pelajar di Semenanjung Malaysia dan 4A bagi pelajar di Malaysia Timur bagi membolehkan mereka memohon ke MRSM.
Pada tahun 2021, MARA mencadangkan dasar baru pengambilan pelajar ke tingkatan satu dan empat di mana hanya pelajar daripada sekolah kebangsaan sahaja dibenarkan memohon[48]. Cadangan ini kemudian mendapat bantahan dari ramai pihak yang merasakan syarat baru ini tidak adil; antaranya kerana terdapat pelajar berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mengikuti persekolahan aliran perdana[48]. Selain itu, cadangan baru ini didakwa bercanggah dengan semangat kepelbagaian kaum di Malaysia[49]. Menteri Pembangunan Luar Bandar pada ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengumumkan bahawa cadangan baru ini ditarik balik serta MARA akan menggunakan syarat lama iaitu pelajar dari mana-mana aliran persekolahan berhak memohon ke MRSM untuk sesi 2022[50]. Manakala, kuota pengambilan pelajar turut kekal iaitu 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar baru tingkatan satu dan empat dikhususkan kepada keluarga pelajar berpendapatan rendah (B40)[50], 20 peratus daripadanya kepada keluarga pelajar berpendapatan sederhana (M40), 15 peratus daripadanya kepada keluarga pelajar berpendapatan tinggi (T20) dan lima peratus dikhususkan kepada pelajar bukan Bumiputera. Pelajar yang memohon perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang meliputi subjek-subjek dalam bidang STEM dan darjah kecerdasan (IQ)[50].
Berikut merupakan statistik jumlah pelajar yang membuat permohonan ke MRSM melalui Bahagian Pendidikan Menengah MARA, serta bilangan kekosongan yang ditawarkan di kesemua MRSM. Jumlah yang dipaparkan merangkumi pelajar tingkatan satu dan empat. Statistik ini juga tidak termasuk jumlah pelajar yang membuat rayuan dan berjaya mendapat tempat ke MRSM.
Tahun kemasukan | Bilangan memohon | Jumlah diperuntukan |
---|---|---|
2017 | 64,484[51] | 9,500[51] |
2018 | ▲10,062[52] | |
2019 | 70,000*[53] | ▼10,005[54] |
2020 | ▲106,479[55] | ▼9,440[55] |
2021 | ▲102,329[56] | ▲10,209[56] |
2022 | ▼74,472[57] | ▼9,879[57] |
(*)Anggaran
Beberapa aktiviti utama dianjurkan secara tahunan di mana satu MRSM dipilih sebagai tuan rumah, dan mengumpulkan wakil-wakil dari MRSM lain. Kebiasaannya, aktiviti ini berlangsung selama 3 hari, dan wakil-wakil dari MRSM lain mendiami asrama di MRSM tuan rumah tersebut.
PUM atau Persatuan Usahawan Muda merupakan salah satu cabang kokurikulum yang ditawarkan di kesemua MRSM[58]. Pelajar-pelajar yang menyertai PUM kemudiannya akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan mencipta syarikat mereka sendiri, berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Menengah MARA[59]. Syarikat-syarikat yang dicipta ini kemudian perlu bergerak aktif dalam melakukan perniagaan mereka sepanjang sesi persekolahan[58]. Sebelum Konvensyen PUM, satu syarikat dipilih sebagai wakil MRSM tersebut, dan kebiasaanya syarikat dipilih berdasarkan prestasi dan penglibatan aktif perniagaan yang telah mereka jalankan.
Konvensyen PUM pula merupakan acara tahunan yang mengumpulkan kesemua syarikat yang telah dipilih ini dan 1 MRSM dipilih sebagai tuan rumah[59]. Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan sepanjang penganjuran Konvensyen PUM:
STERF (Science, Technology, Engineering and Rocket Fair) merupakan aktiviti sains tahunan luar kelas, berdasarkan kepada STEM. Aktiviti ini merupakan gabungan di antara program Tunas Saintis dan Kejohanan Roket MRSM Se-Malaysia. Program ini mengetengahkan projek-projek sains yang terpilih oleh wakil di kesemua MRSM dan terdapat juri di kalangan guru-guru serta profesional[60] yang akan memilih projek yang bakal mewakili MRSM ke peringkat nasional[61].
Sehingga tahun 2022, terdapat 57 buah MRSM yang beroperasi di seluruh Malaysia. 48 buah di Semenanjung Malaysia manakala baki 9 buah MRSM di Malaysia Timur. Kesemua negeri di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya 2 buah MRSM. Tiada MRSM dibina setakat ini di kawasan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), walaupun ada perancangan untuk membina sebuah MRSM di Labuan sejak tahun 2015 lagi[62]. Negeri Perak memiliki MRSM terbanyak dengan 9 buah MRSM ditubuhkan dan yang terbaru; MRSM Bagan Datuk dibuka secara rasmi pada tahun 2021. MRSM Bagan Datuk menawarkan program Ulul Albab kepada pelajar tingkatan satu sehingga lima.
Kebanyakkan MRSM menggunakan nama tempat sebagai nama MRSM tersebut, seperti MRSM Kuantan, MRSM Kuala Terengganu , MRSM Transkrian dan MRSM Muar. Beberapa buah MRSM pula menggunakan nama perseorangan seperti MRSM Tun Mustapha di Sabah yang mengabadikan nama Tun Mustapha[63] (Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama); MRSM Tun Abdul Razak, Pahang (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua); MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Sabah (Tun Mohammad Fuad Stephens, Yang di-Pertua Negeri Sabah ketiga); MRSM Sultan Azlan Shah, Perak (Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ke-34); MRSM Tun Ghazali Shafie, Pahang (Tun Ghazali Shafie, ahli politik); MRSM Tun Dr Ismail, Johor (Tun Dr Ismail[63], bekas Timbalan Perdana Menteri); dan MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka (Tun Ghafar Baba[63], bekas Timbalan Perdana Menteri).
MRSM Terendak dan MRSM PDRM Kulim merupakan MRSM yang ditubuhkan khusus untuk menerima pelajar-pelajar dari keluarga anggota tentera dan polis[64]. Walaubagaimanapun, pelajar dari keluarga biasa turut diterima masuk ke dua-dua buah MRSM ini oleh kerana kurangnya peratusan tempat yang diisi oleh golongan tersebut[65]. MRSM Terendak terletak di dalam Kem Terendak di Melaka yang merupakan kem tentera Angkatan Tentera Malaysia, manakala MRSM PDRM Kulim pula terletak di dalam kawasan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am di Kulim, Kedah, salah satu cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pada tahun 2020, MRSM ATM Bera siap dibina dan ianya merupakan MRSM kedua yang dikhususkan kepada pelajar-pelajar dari keluarga anggota tentera. Terletak di mukim Triang dalam negeri Pahang, nama MRSM ATM ini diambil bersempena dengan lokasinya yang terletak bersebelahan dengan kem tentera Rejimen Ke-34 Artileri.[66].
Terdapat juga beberapa buah MRSM yang dibina hasil kerjasama antara MARA dengan agensi kerajaan dan swasta. MRSM FELDA (Trolak) yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2008 dibina dalam kawasan tanah rancangan FELDA, Feldajaya Trolak Utara di Sungkai, Perak[67]. MRSM ini diiktiraf sebagai MRSM yang termoden dan tercanggih, menelan kos sebanyak RM123 juta, dan sebahagiannya dibiayai FELDA seperti kemudahan fizikal dan pengurusan[67]. MRSM Bintulu di Sarawak merupakan MRSM keempat yang dibina di negeri itu di mana kos pembinaan ditaja sepenuhnya oleh PETRONAS, syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia[68]. Pembinaan MRSM Bintulu siap pada November 2023 dan mula beroperasi pada bulan Mac 2024[69].
MRSM Ranau merupakan institusi MRSM yang terletak di lokasi paling tinggi sekali berbanding MRSM yang lain, iaitu pada ketinggian 721 meter dari aras laut[70], berhampiran kaki Gunung Kinabalu dengan jarak di antaranya sebanyak 80 kilometer[71]. MRSM ini siap dibina pada bulan September 2023 dan mula menerima kumpulan pelajar pertamanya pada bulan Mac 2024[72]. Projek MRSM Ranau merupakan usahasama di antara syarikat PETRONAS bersama kerajaan negeri Sabah dan MARA[73].
Kesemua MRSM di seluruh Malaysia dibahagikan kepada empat zon; Utara, Timur, Barat dan Selatan. Kebiasaannya, aktiviti tahunan MRSM akan bermula dari peringkat zon, dan kemudian ke peringkat MRSM se-Malaysia.
Lagu rasmi MRSM digubah dan lirik ditulis oleh Encik Ariffin bin Pawanchik, yang pada ketika itu merupakan seorang pelatih pasukan pengakap MRSM Pengkalan Chepa sekitar tahun 1974[74]. Rakaman awal lagu ini membabitkan 15 orang pelajar perintis MRSM Pengkalan Chepa yang terlibat dalam pasukan koir, bersama dengan Kombo RTM Kota Bharu, diadakan di Hotel Surian, Kota Bharu, Kelantan[74]. Idea kepada penciptaan lagu rasmi MRSM ini datangnya dari pengetua MRSM Pengkalan Chepa itu sendiri iaitu Cikgu Tajuddin Shamsudin[74]. Kini, lagu ini digunakan oleh kesemua MRSM dalam acara dan majlis rasmi.
Wahai putera puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu
Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju
Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisiplin selalu
Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera
Tahun | Sekolah KPM | GPS | MRSM | GPS | Sekolah Swasta | GPS | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
2001 | Sekolah Sultan Alam Shah | 2.09 | MRSM Tun Ghafar Baba | 1.80 | Kolej Yayasan Saad | 2.04 | ||
2002 | Sekolah Sultan Alam Shah | MRSM Langkawi | ||||||
2003 | Kolej Tunku Kurshiah | MRSM Langkawi | Kolej Yayasan Saad | |||||
2004 | Kolej Islam Sultan Alam Shah | MRSM Beseri | 1.705 | |||||
2005 | Kolej Islam Sultan Alam Shah | 1.74 | MRSM Tun Ghafar Baba | |||||
2006 | SMS Tuanku Munawir | 1.67 | MRSM Tun Ghafar Baba | 1.4328 | ||||
2007 | SMS Tuanku Munawir | 1.562 | MRSM Langkawi | 1.4457 | ||||
2008 | SMS Tuanku Munawir | 1.612 | MRSM Langkawi | 1.4041 | Kolej Yayasan Saad | 1.33 | ||
2009 | SMS Tuanku Munawir | 0.97 | MRSM Taiping | 1.1052 | Kolej Yayasan Saad | 0.58 | ||
2010 | SMS Tuanku Munawir | 0.89 | MRSM Pengkalan Chepa | 0.83 | Kolej Yayasan Saad | 0.66 | ||
2011 | Kolej Tunku Kurshiah | 0.9230 | MRSM Tun Ghafar Baba | 1.00 | ||||
2012 | Sekolah Seri Puteri | 1.0422 | MRSM Tun Ghafar Baba | 1.039 | ||||
2013 | Sekolah Tun Fatimah | 0.8410 | MRSM Tun Ghafar Baba | 1.1329 | ||||
2014 | SMS Tuanku Munawir | 1.1568 | MRSM Taiping | 1.0681 | Kolej Yayasan Saad | 0.94 | ||
2015 | SMS Tuanku Munawir | MRSM Taiping | Kolej Yayasan Saad | |||||
2016 | Kolej Tunku Kurshiah | 1.31 | MRSM Tun Ghafar Baba (Corvs 34) | 1.22 | Kolej Yayasan Saad | 1.60 | ||
2017 | Sekolah Tun Fatimah | 1.109 | MRSM Tun Ghafar Baba (Vieas 35) | 1.27 | Kolej Yayasan Saad | 1.21 |