Rosyam Nor | |
---|---|
Kelahiran | Mohamed Noor bin Shamsuddin 1 Mac 1967 |
Pendidikan | Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) |
Pekerjaan | Pelakon, penerbit, pengacara, usahawan |
Tahun aktif | 1986–kini |
Terkenal kerana | Watak Remy dalam filem Gila-Gila Remaja |
Ketinggian | 1.80 cm (1 in) |
Pasangan | Datin Runika Mohd. Yusof (k. 1989) |
Anak-anak | 5 |
Ibu bapa |
|
Saudara |
|
Datuk Mohamed Noor bin Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor (lahir 1 Mac 1967) merupakan seorang pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan Malaysia. Beliau ialah sepupu kepada pelakon Faizal Hussein.[1][2] Anugerah dan penghargaan beliau termasuk empat Anugerah Skrin dan lima Festival Filem Malaysia. Beliau juga telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai Pelakon Yang Paling Banyak Menerima Anugerah.[3][4][5][6] Rosyam memulakan kerjaya lakonannya pada 1986 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi watak Remy dalam filem Gila-Gila Remaja arahan bapa saudaranya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, kemudian diikuti oleh Kanta Serigala pada 1991. Beliau kemudiannya muncul dalam dua filem arahan Aziz Sattar – Perawan Malam (1988) dan Tak Kisahlah Beb (1989) – dan dalam beberapa filem arahan Yusof Haslam termasuk Maria Mariana II (1998) dan Gerak Khas The Movie (2001).[7]
Sebagai pengacara TV, Rosyam telah mengacarakan beberapa rancangan TV termasuk Modal Insan, Pilih Kasih dan Dai: Pendakwah Milenia dan juga menjadi model dan jurucakap bagi beberapa produk seperti Julie's dan Nona Roguy. Rosyam terkenal dengan peranannya di televisyen termasuk Kiranya Ku Tahu, Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta dan Sesuci Cinta Soffiya. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Runika Mohd Yusof dan dikurniakan lima orang anak perempuan.[8]
Rosyam merupakan penerbit dan Pengarah Urusan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang bergiat aktif menerbitkan beberapa rancangan televisyen. Di luar kerjaya lakonannya, beliau juga bergiat aktif dalam bidang perniagaan.[9] Pada Mei 2019, Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman.[10] Pada 8 Oktober 2019, Rosyam menerima Anugerah Keusahawanan Selebriti 2019 yang disampaikan oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM), Universiti Sains Malaysia (USM).[11][12]
Beliau dilahirkan sebagai Mohamed Noor bin Shamsuddin pada Hari Rabu 1 Mac 1967 bersamaan 19 Zulkaedah 1386 di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur (yang ketika itu merupakan sebahagian dari Selangor) dan merupakan anak keempat daripada enam beradik kepada pasangan Shamsuddin Mohd. Yusof dan Rubiah Kamarudin. Salah seorang adik beliau, Azman juga bergiat aktif dalam bidang lakonan. Beliau merupakan anak saudara sepupu kepada seniman Hussein Abu Hassan dan juga sepupu kepada Faizal Hussein, beliau mendapat nama Rosyam hasil dari gabungan nama ibunya, Rubiah dan nama bapanya, Shamsuddin.[13]
Semasa zaman kanak-kanaknya, beliau sekeluarga pernah tinggal di sebuah rumah setinggan, yang terletak berdekatan dengan Angkasapuri, ibu pejabat rangkaian penyiaran awam Radio Televisyen Malaysia (RTM).[14] Rumah yang didiami oleh Rosyam dan keluarganya hanyalah sekadar tempat berteduh, beliau dan adik-beradik lain terpaksa menadah titisan air setiap kali hujan kerana atap rumah yang bocor.[14] Sepanjang tempoh tersebut, beliau pernah mengutip kotak untuk dijual.[14] Pada usia 13 tahun, Rosyam mula bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan niat bagi mencari wang tambahan untuk menyara kehidupan seperti yang dihadapi oleh kebanyakan kanak-kanak setinggan lain, namun pendidikan menjadi keutamaan beliau.[14] Pada usia 18 tahun, Rosyam bertemu dengan penerbit filem, Pansha dan ditawarkan bekerja sebagai kakitangan am di Berjaya Film Productions. Semasa berkhidmat di Berjaya Film, beliau melakukan banyak tugasan sebagai kru di belakang tabir termasuk mencuci tandas.[14] Oleh kerana gaji kru belakang tabir ketika itu amat kecil, Rosyam bermain kutu bersama-sama rakan sekampung dan berjaya mengumpul wang sebanyak RM8500. Beliau berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).[14]
Rosyam memulakan kerjaya sebagai pelakon selepas tamat menduduki peperiksaan SPM, dengan mengikuti sepupunya Faizal Hussein dalam usaha mengejar cita-cita dalam bidang lakonan.[15] Beliau akhirnya mendapat peranan dalam filem arahan Hussein Abu Hassan, sebagai Remy dalam filem Gila-Gila Remaja. Gaya yang dibawa olehnya serta pelakon-pelakon lain telah menjadi ikutan muda-mudi zaman itu.[16] Pada tahun 1987, Rosyam muncul pula dalam filem Sayang arahan Pansha, yang turut dibintangi oleh Amy Search dan Raja Ema. Antara 1988 dan 1989, beliau berlakon dalam dua filem arahan Aziz Sattar—Perawan Malam dan Tak Kisahlah Beb.
Pada tahun 1991, Rosyam yang ketika itu berusia 24 tahun, membintangi dua filem—iaitu watak sebagai Konco dalam filem Boss arahan Z. Lokman lakonan bersama Raja Ema dan Jasmin Hamid. Beliau kemudiannya memegang watak sebagai Imran, tunang kepada Dania lakonan Didie Alias, dalam filem drama thriler Kanta Serigala arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan dan turut dibintangi oleh Faizal Hussein, Allahyarham Kuswadinata dan Melissa Saila. Pada 1994, Rosyam muncul dalam telefilem berjudul "Korban" bersama Haliza Misbun yang mana bakat lakonannya mendapat pujian hingga dicalonkan di Anugerah Skrin 1994. Setelah itu Rosyam muncul sebagai Dzul Fakar dalam filem Jimi Asmara bersama Hani Mohsin, Maizurah Hamzah, Jalaluddin Hassan dan Umie Aida. Menerusi filem arahan Erma Fatima itu, Rosyam menerima pencalonan pertama di Festival Filem Malaysia untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM). Setelah sekian lama berlakon sebagai watak pembantu dalam filem dan membintangi banyak telefilem, beliau ditawarkan untuk memegang watak utama sebagai Fatah dalam filem Suami, Isteri dan .....?, hasil arahan Pansha.[17] Percubaan beliau dalam filem itu berhasil dan beliau akhirnya mendapat lamaran Yusof Haslam (kini Datuk), untuk membintangi sebuah filem bertajuk Maria Mariana II yang ditayangkan pada 2 April 1998. Rosyam menjadi sebahagian dari barisan pelakon drama Idaman termasuk Jalaluddin Hassan, Sean Ghazi, Deanna Yusoff dan Nina Juren. Idaman mencipta sejarah sebagai Drama Melayu Paling Terpanjang di Dunia oleh The Malaysia Book of Records, beliau memegang watak sebagai Azrain; ia disiarkan di Astro Ria dari 1998 hingga 2001.[18][19]
Beliau mula menonjolkan bakat besarnya menerusi filem Lenjan, arahan Ismail Yaacob. Menerusi watak Zarin, beliau berjaya menaikkan nama negara dan dirinya ke peringkat Asia dengan kejayaan menggondol anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-43, di Bangkok. Kejayaan beliau telah mendapat perhatian ramai pihak setelah sekian lama Faizal Hussein mendahuluinya dari segi populariti.[20] Fariza Saidin dari Utusan Malaysia berkata: "Rosyam (Nor) telah berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon versatil jauh berbeza dari filem-filem lakonannya terdahulu...".[21] Populariti Rosyam meningkat naik pada lewat 90an hingga dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular pada edisi 1997/98 dan 1998/99 menerusi filem-filemnya seperti Lenjan, Bara dan Nafas Cinta malah menewaskan calon seperti Awie dan Hans Isaac. Pada tahun 1999 juga Rosyam menerima anugerah sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Sri Angkasa menerusi telefilem Takbir Untuk Abah, gandingan bersama dramatis Wan Nor Azlin.
Sepanjang 2000, Rosyam tidak berlakon filem, sebaliknya berlakon drama. Beliau berlakon dalam drama Kabus dan Sinar yang disiarkan di TV1, seterusnya menjadi pelakon undangan sitkom Spanar Jaya dalam episod "Akhirnya".
Pada 2001, Rosyam memegang watak Castello, seorang ketua samseng yang terbabit dalam pengedaran dadah VCD haram dalam Gerak Khas The Movie arahan Yusof Haslam.[22] Beliau merupakan salah seorang pelakon utama drama Kiranya Ku Tahu yang turut dibintangi oleh Haliza Misbun, Eja, Kartina Aziz, Azizah Mahzan dan Betty Banafe yang mengisahkan mengisahkan pemuda yang lupa diri apabila mendapat pekerjaan yang baik di luar negara.[23] Rosyam menjayakan watak sebagai Shahrol dalam filem aksi KL Menjerit arahan Badaruddin "Bade" Azmi, yang ditayangkan pada 24 Januari 2002. Filem ini menandakan kerjasama sulung Rosyam bersama Bade, ia turut dibintangi oleh Nisdawati, Faizal Hussein, dan ramai lagi.[24] Ia menjadi satu-satunya filem lakonan Rosyam bagi tahun 2002 dan beliau menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16.[25][26]
Rosyam digandingkan bersama Nasha Aziz dalam filem komedi romantik Laila Isabella yang berkisarkan phubungan cinta antara gadis tomboy dan majikanya serta kehendak kakaknya untuk berubah menjadi wanita yang lemah lembut. Ditayangkan pada 27 Mac 2003, filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem.[27] Beliau kemudian membuat kemunculan khas dalam filem aksi komedi penyiasatan MX3 arahan Yusof Kelana lakonan Saiful Apek, Faizal Hussein dan Zul Yahya, yang ditayangkan pada 25 November 2003.[28] Beliau membuat penampilan pada permulaan dan penghujung filem ini, dengan membawakan watak Castella dan Castello.[29] Pada tahun 2004, Rosyam berlakon dalam filem drama percintaan Berlari Ke Langit, bersama Fasha Sandha dan Siti Elizad,[30] yang mana beliau memegang watak sebagai Indra, sementara Elizad memegang watak sebagai Zulhijjah, kekasih Indra. Rosyam dipetik sebagai berkata: "Watak Indra dalam filem itu adalah watak yang paling berat dan mencabar pernah saya lakonkan sepanjang karier saya sebagai pelakon."[31] Pada 2005, Rosyam memegang tiga watak utama sekaligus—iaitu Rosli (peniaga), Legau (pelumba kereta jalanan) dan Nala (ketua samseng) dalam filem Gangster arahan Bade Hj. Azmi. Nama watak Legau sebenarnya ialah nama panggilan untuk Rosyam di kalangan ahli keluarganya.[32] Beliau kembali menjayakan peranan asalnya sebagai Shahrol dalam prekuel filem KL Menjerit, KL Menjerit 1 yang ditayangkan pada 8 September 2005, juga dibintangi oleh Que Haidar dan Erra Fazira.[33]
Kembali meneruskan kerjasama bersama Bade Hj. Azmi, Rosyam kembali menjayakan peranannya sebagai Castello dalam filem Castello yang ditayangkan pada 9 Januari 2006.[34][35] Filem ini turut dibintangi oleh Erra Fazira dan Liyana Jasmay dan menerima tajaan daripada Biskut Julie’s yang turut mengeluarkan produk biskut Julie’s Castello bagi mempromosikan filem ini.[36]
Pada 2006 juga, syarikat penerbitannya, Suhan Movies & Trading menerbitkan siri drama kepolisan CID 3278 yang dibintangi oleh Faizal Yusof, Along Eyzendy dan Salina Saibi yang memulakan siaran di TV9 pada 5 Ogos 2006 dan diterbitkan sebanyak dua musim dan 52 episod.[37] Pada tahun berikutnya, beliau meneruskan rentetan kerjasama bersama Bade Hj. Azmi menerusi drama arahan Bade, Dinasti Bilut yang dibintangi oleh Eja dan Rosyam sendiri yang turut berkhidmat sebagai penerbit. Barisan pelakon terdiri daripada Sahronizam Noor, Bienda, Sabrina Hassan, Jins Shamsuddin, Jalaluddin Hassan dan Aida Radzwill. Kos pembikinan drama ini melebihi RM1.5 juta, menjadikan Dinasti Bilut drama paling termahal terbitan Suhan Movies.[38] Ia mengisahkan tentang kisah suka duka Danial, seorang petugas di Felda dalam merealisasikan impian negara. Danial merupakan cucu kepada seorang peneroka Felda terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang berlaku sama ada di peringkat global mahupun nasional.[39][40]
Rosyam memegang watak sebagai Hisyam dalam filem drama aksi Anak Halal arahan Osman Ali lakonan Farid Kamil, Maya Karin dan Fasha Sandha yang ditayangkan pada 13 Disember 2007.[41] Filem ini mengisahkan tentang seorang penjenayah, Hisyam yang sedang diburu polis atas kesalahan jenayahnya. Dalam kekalutan untuk menyelamatkan diri dan nyawa anaknya.[42]
Pada 10 Januari 2008, Rosyam menjayakan watak sebagai Salleh dalam filem komedi neo-noir arahan Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang yang mengisahkan tentang misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang.[43] Filem ini turut dibintangi oleh Farid Kamil dan Umie Aida; Persembahan beliau dalam filem ini melayakkan Rosyam memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 dan Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2008.[44]
Rosyam muncul bersama penyanyi Fauziah Latiff sebagai bintang utama dalam siri televisyen Gelora Di Hati Sara yang mana beliau memegang watak Asrul dan berkhidmat sebagai penerbit bersama isterinya, Runika Mohd Yusof. Ia berkisahkan kisah cinta dan kekeluargaan yang menuntut pengorbanan wanita dalam mengecap kebahagiaan dalam rumahtangganya. Siri ini memulakan tayangan perdana di Slot Astaka TV1 bermula 20 November 2008.[45][46]
Dalam tahun 2009, Rosyam tidak berlakon filem, sebaliknya bergiat aktif di belakang tabir. Beliau menerbitkan rancangan pencarian bakat baharu bidang lakonan, Pilih Kasih yang bertujuan melahirkan pelapis baharu dalam bidang lakonan baik televisyen, filem, teater dan monolog.[47][48]
Meneruskan rentetan kerjasama bersama Mamat Khalid, Rosyam menjayakan peranan Kublai Khan dalam filem drama perpaduan, Estet yang bertemakan 1Malaysia. Ia menjadi satu-satunya filem lakonan beliau dalam tahun 2010.[49]
Pada tahun berikutnya, Rosyam menjayakan peranan utama bersama Johan Raja Lawak dan Scha Al-Yahya dalam filem aksi sukan, Libas, arahan Jurey Latiff Rosli. Beliau memegang watak sebagai Adnan Saladin, seorang legenda sepak takraw negara. Ketika filem ini diterbitkan, Rosyam mengalami kecederaan semasa melakukan babak aksi dalam filem ini.[50] Rosyam berkata: "Setelah 20 tahun berlakon filem, ini merupakan filem pertama yang memerlukan saya bermain dengan imaginasi untuk membayangkan kedudukan bola yang diwujudkan dengan menggunakan CGI."[51] Beliau telah mendapat kecederaan di bahu[52] dan menyebabkan beliau terpaksa mencari lapan tukang urut untuk memulihkan kecederaannya. Beliau berbuat demikian kerana ingin mengelak daripada melakukan pembedahan. Namun begitu, usaha itu tidak berhasil dan akhirnya membawa beliau pergi ke hospital untuk menjalani rawatan dengan lebih lanjut.[53]
Pada 5 Februari 2012, rancangan pencarian bakat baharu bidang lakonan terbitan Rosyam, Pilih Kasih diteruskan untuk musim ketiga dengan penyertaan dari 16 peserta dari pelbagai latar belakang.[54] Dengan menobatkan pesertanya, Reen Rahim sebagai juara untuk musim ketiga,[55] pada April tahun sama, Rosyam mengumumkan musim ketiga merupakan yang terakhir.[56]
Bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof, Rosyam memegang watak Tailong, ketua samseng dan sindiket dadah dalam KL Gangster 2, prekuel dari filem pertama yang ditayangkan pada 2011. Rosyam pada mulanya ingin berlakon dalam KL Gangster, namun menarik diri akibat kekangan jadual kerjanya.[57] Untuk menghidupkan watak Tailong, Rosyam mempelajari pergerakan dan sikap seperti reptilia seperti buaya, cicak dan ular. "Dia seperti reptilia, cara dia melihat orang, cara dia bergerak."[58]
Pada 2013 juga, Rosyam digandingkan bersama pelakon Nad Zainal menerusi telefilem Mawar Putih Tanda Perpisahan yang mana Rosyam dan isteri, Runika Mohd Yusof berkhidmat sebagai penerbit. Ia mengisahkan tentang Sudin yang berkahwin dengan Dahlia yang telah kehilangan suaminya yang terkandas di laut. Telefilem ini memulakan tayangan perdana di Astro Box Office Tayangan Hebat sepanjang Mei 2013,[59] dan memenangi kategori Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2013.[60][61]
Pada 9 Januari 2014, beliau meneruskan kerjasama dengan Silver Chung menerusi filem aksi jenayah Balistik yang mana beliau menulis skrip, mengolah cerita asal dan berkhidmat sebagai penerbit bersama Adrian Teh. Rosyam menjayakan watak sebagai Saga, seorang pembunuh upahan yang terlibat dengan kongsi gelap.[62][63][64] Isyarat Cinta lakonan Liyana Jasmay, Adi Putra dan Fizo Omar ditayangkan pada 19 Mac 2015, mengisahkan cinta pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) antara pasangan buta dan pekak. Rosyam berkhidmat sebagai penerbit untuk syarikat miliknya, RK Screens.[65] Filem ini merupakan kegagalan komersial.[66] Selain itu, beliau kembali menggalas tanggungjawab sebagai pengacara rancangan Da'i: Pendakwah Nusantara yang memulakan siaran di TV3 pada 16 Ogos 2015.[67][68]
Bekerja di bawah arahan Pekin Ibrahim, Rosyam kembali menjayakan watak lakonannya dalam KL Menjerit Shahrol dalam filem Mat Moto yang ditayangkan pada 14 Januari 2016.[69]
Pada April 2016, Rosyam menerbitkan buku autobiografinya, Impian Jutawan Budak Setinggan yang diterbitkan oleh Suhan Publications, anak syarikat Suhan Movies & Trading. Buku autobiografi ini mengisahkan kesulitan yang dihadapi oleh Rosyam sehingga berjaya. Sebanyak 40% kisah kehidupan peribadinya dimuatkan dalam buku ini.[70][71][72][73] Pada Mac 2017, syarikatnya, Suhan Movies & Trading bekerjasama dengan SME Corp menerbitkan sebuah drama mini 12 episod bertajuk Chor & Chah yang bertujuan bagi membantu golongan usahawan baru sebagai alat bantuan yang mana ia memberikan maklumat menarik mengenai perniagaan. Ia dibintangi oleh dua bekas bintang Hero Remaja 2011/12 Saharul Ridzwan dan Hafreez Adam serta dibantu oleh Ummi Nazeera, dan memulakan siaran di platform media sosial.[74]
Projek penggambaran filem tamil dari India lakonan Rajinikanth berjudul Kabali merupakan filem yang akan membawa karier Rosyam Nor ke tahap antarabangsa kerana berlakon dalam watak sampingan dan ditayangkan pada 21 Julai 2016.[75][76][77][78] Nizam Bakeri dari Astro Awani berkata: "Dalam Kabali, menurut anggaran saya, jumlah dialog Rosyam Nor jika dijumlahkan tidak sampai pun 30 baris. Kebanyakan babak hanya menampilkan Rosyam dengan wajah penuh amarah sebagai anggota kumpulan samseng Geng 43, di belakang ketua kumpulan Tony Lee."[79] Ditanya mengenai lakonannya dalam Kabali, Rosyam berkata: "Saya tidak malu berlakon Kabali".[80]
Rosyam kembali ke pangkuan Skop Productions apabila beliau menjayakan watak sebagai DSP Roslan dalam filem aksi jenayah, KL Special Force arahan Syafiq Yusof.[81] Bagi menjayakan wataknya, Rosyam dipaksa terjun dari tingkat tujuh bangunan. Walaupun pada mulanya beliau menolak untuk berbuat demikian, akhirnya beliau berjaya melakukannya atas permintaan Syafiq.[82] Beliau turut mengakui kejayaan KL Special Force ialah hasil kerja keras barisan pelakon dan tenaga kerja penerbitan.[83][84][85]
Selepas KL Special Force, beliau muncul pula dalam filem biopik mengenai pemain badminton negara, Lee Chong Wei yang ditayangkan pada 15 Mac; Rosyam memegang watak sebagai Misbun Sidek,[86] bekas jaguh badminton negara dan jurulatih kebangsaan.[87][88][89] Rosyam kembali menggalas tugasnya sebagai pengacara rancangan realiti keagamaan Da’i: Pendakwah Nusantara yang kini memasuki musim keenam yang mula bersiaran di TV3 bermula 20 Julai 2018.[90]
Rosyam berlakon bersama Zul Ariffin dan Elizabeth Tan dalam filem seram thriller, Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof yang ditayangkan pada 21 Februari 2019. Beliau membawakan watak Inspektor Azman.[91]
Beliau menerbitkan dan membintangi telefilem bertajuk Wakaf Dosa lakonan bersama Izzue Islam yang memulakan tayangan pada Hari Raya Aidilfitri keempat 8 Jun 2019. Rosyam memegang watak sebagai Bakri Zain, seorang pelakon veteran pemenang anugerah yang sering dicemburui oleh pelakon baru bernama Danial Muhaimin.[92]
Dalam tahun 2020, Rosyam menggalas peranan sebagai penerbit untuk drama terbitannya termasuk Pelindung Seorang Puteri untuk siaran di Astro Ria dan Cinta Sekali Lagi untuk siaran di TV3.
Beliau menjadi pengacara dalam rancangan bual bicara, Sembang Viral yang bersiaran di TV9 bersama Ahmad Fedtri Yahya.[93] Beliau seterusnya memegang watak seorang penjahat bernama King dalam filem Hong Kong, G Storm.[94][95][96][97]
Pada tahun 2023, Rosyam memegang watak tajuk dalam drama Astro Originals, Jack Yusof yang disiarkan di Astro GO dan Astro Ria. Drama ini juga menyaksikan kemunculan semula beliau sebagai watak utama menerusi drama bersiri selepas lebih 10 tahun.[98][99][100]
Di luar kerjaya lakonannya, Rosyam diberi kepercayaan sebagai jurucakap untuk pelbagai produk, antaranya ialah sebagai jurucakap produk herba Nona Roguy.[101][102] Beliau juga dikenali sebagai seorang petani yang berjaya[103][104] hasil penglibatannya dalam projek tanaman nangka madu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lanchang, Pahang pada tahun 2010. Projek ini diusahakan atas nama syarikatnya iaitu Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.[105]
Pada Jun 2018, Rosyam melibatkan diri dalam sektor perniagaan runcit dengan membuka kedai serbanekanya yang dikenali sebagai ST Rosyam Mart yang bertujuan bagi mengurangkan beban rakyat.[106] Nama ST Rosyam Nor ini dipilih hasil kerjasamanya dengan syarikat Sri Ternak.[107][108] Pasar raya berkeluasan 13 lot unit kedai serta dibuka 24 jam yang terletak di Setiawangsa itu turut menjanjikan "suasana seperti berada di dalam sebuah pasar raya mewah tetapi harga barangan ditawarkan mampu milik".[109] Pasar raya tersebut mula dibuka pada 1 Jun 2018[110] dan majlis pelancaran pasar raya ini diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.[111]
Pada April 2017, Rosyam bersama model terkenal, Tinie dilantik sebagai jurucakap produk minyak argan, Luxone Argan Oil yang diusahakan oleh pelakon dan pengarah Syafiq Yusof.[112] Beliau juga pernah membuka sebuah pusat penjagaan kesihatan menggunakan namanya pada 2003, Rosyam juga telah melabur di ladang herba di Kampung Paya Rumput di Masjid Tanah, Melaka yang dikenali sebagai Taman Impian Herba dan Jati.[113]
Rosyam melancarkan produk berasaskan durian belanda yang diberi nama Adraa by Rosyam Nor, yang dinamakan sempena cucu sulungnya pada 29 Ogos 2018. Beliau bekerjasama dengan Taman Teknologi Malaysia (TPM) bagi menjalankan penyelidikan bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengenai khasiat durian belanda sebelum mengeluarkan produk Adraa.[114][115] Beliau mengumumkan pada September 2018 bahawa tiga lagi cawangan ST Rosyam Mart akan dibuka secepat mungkin,[116][117][118] ini menjadikan Rosyam sebagai selebriti Malaysia pertama yang membuka sebuah pasaraya.[119]
Rosyam berkahwin dengan teman wanitanya, Runika Mohd Yusoff pada 1989 dan dikurniakan lima anak yang kesemuanya perempuan,[120][121] iaitu Arniesha Azureen (lahir 1990), Nur Anis (lahir 1993), Nurlisa (lahir 1997), Syadira (lahir 2002) dan Zarith Maryam (lahir 2003).[122] Bapanya, Shamsuddin Mohd Yusof meninggal dunia akibat radang paru-paru dan kegagalan buah pinggang pada 26 Januari 2008.[123]
Anak sulungnya, Arniesha Azureen berkahwin dengan Mohd Hafiz Mohd Said pada 19 Mei 2013.[124][125][126] Sekitar Disember 2014, Rosyam meluahkan kekecewaannya di laman Twitter mengenai sebuah kedai permainan terkemuka yang didakwa meminta anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk bekerja.[127][128] Rosyam dan isteri Runika dikurniakan cucu sulung bernama Hanan Adraa Mohd Hafiz yang dilahirkan pada Januari 2014.[129][130][131][132] Beliau juga aktif berkebun.[133]
Pada November 2021, Rosyam mengumumkan di Instagram bahawa beliau telah menimang cucu lelaki yang merupakan cucu keempat beliau.[134][135] Beliau telah mendedahkan telah menanti selama 32 tahun untuk dikurniakan zuriat lelaki dalam hidupnya.[136]
Beliau dikurniakan cucu kelima yang juga anak sulung kepada anak ketiganya, Nurlisa.[137][138]
Di waktu lapangnya, Rosyam mempunyai hobi memelihara kucing.[139]
Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan |
Tahun | Tajuk | Dikreditkan sebagai | Watak | Catatan | |
---|---|---|---|---|---|
Pelakon | Penerbit | ||||
1986 | Gila-Gila Remaja | Remy | Filem pertama | ||
1987 | Sayang | Don | |||
1988 | Perawan Malam | Kamis | |||
1989 | Tak Kisahlah Beb | Halim | |||
1991 | Boss | Konco | |||
Kanta Serigala | Imran | ||||
1993 | Perempuan, Isteri & .....? | — | Juga sebagai penerbit eksekutif | ||
Azizah The Legend | Aziz | Alih suara oleh Azman Hassan | |||
1995 | Cinta Kita | — | Juga sebagai penerbit eksekutif | ||
Jimi Asmara | Fakar | ||||
1996 | Suami, Isteri dan .....? | Fatah | Sebagai penerbit eksekutif | ||
1998 | Maria Mariana II | Remy | |||
Lenjan | Zarin | ||||
1999 | Nafas Cinta | Sham | |||
Bara | Carlos | ||||
2001 | Gerak Khas The Movie | Castello | |||
Spinning Gasing | Zainal | ||||
2002 | KL Menjerit | Shahrol | |||
2003 | Laila Isabella | Azam | |||
Janji Diana | Haikal | ||||
MX3 | Castello/Castella | Penampilan khas | |||
2004 | Bisikan Remaja | Komando Razak | |||
Pontianak Harum Sundal Malam | Asmadi Marsani | ||||
Berlari Ke Langit | Indra Che Muda | ||||
2005 | Gangster | Rosli/Legau/Nala | |||
Senario XX | Dirinya sendiri / Rosman | Beliau melakonkan dua watak salah satu dialih suara oleh Lan Pet Pet. | |||
KL Menjerit 1 | Shahrol | ||||
Pontianak Harum Sundal Malam II | Asmadi Marsani | ||||
2006 | Castello | Castello | |||
Bilut | Yazid | ||||
2007 | Syaitan | Muslim | |||
Anak Halal | Hisham | Penampilan khas | |||
2008 | Kala Malam Bulan Mengambang | Salleh | |||
Apa Kata Hati | Pengacara | Beliau menjadi pengacara program televisyen Modal Insan. | |||
2010 | Estet | Kublai Khan | |||
2011 | Libas | Adnan Saladin | |||
2013 | KL Gangster 2 | Tailong | |||
2014 | Balistik | Saga | Juga sebagai penulis | ||
Ah Beng: Mission Impossible | Penampilan khas | ||||
Laga | Inspektor Jefri | ||||
2015 | Isyarat Cinta | — | |||
The Noise | Penampilan kameo | ||||
Chowrasta | Pak Ngah Don | ||||
2016 | Mat Moto | Shahrol | Penampilan khas | ||
Kabali | Kumpulan Samseng Geng 43 | Filem Tamil, pelakon sampingan | |||
2017 | Rempit Sampai Langit | — | |||
2018 | KL Special Force | Roslan | |||
Lee Chong Wei: Rise of the Legend | Misbun Sidek | ||||
2019 | Misteri Dilaila | Inspektor Azman | |||
Motif | Hussein | ||||
2021 | J2: J Retribusi | Dato' Hashim | |||
Proksi | Remy | ||||
G Storm | King | Filem Hong Kong | |||
2022 | Juang | Kapten | Sebagai penerbit eksekutif | ||
Deleted: Akan Ku Jejak! | Ali Yusof | ||||
2023 | Duan Nago Bogho | Fendi Bukit Bintang | |||
2024 | Memoir Seorang Guru | Cikgu Sunan | |||
2025 | The Original Gangster | Tommy | Pos-produksi | ||
Keluang Man | Ahmad | Pra-produksi | |||
Susuk Bidadari | Hanif | Pra-produksi |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2023 | Upin & Ipin (Musim ke-17) |
Dirinya sendiri | Astro Prima | Penampilan khas; Episod: "Secebis Kenangan Abah" |
Tahun | Tajuk | Dikreditkan sebagai | Watak | Saluran TV | Catatan | |
---|---|---|---|---|---|---|
Pelakon | Penerbit | |||||
1994 | Korban | TV3 | Telefilem pertama | |||
1995 | Siapa Bunuh Alice? | TV2 | ||||
Orang Terbang | Jeff | TV3 | ||||
1998 | Tumirah | Faisal | ||||
1999 | Takbir Untuk Abah | TV1 | ||||
Di Sebalik Malam | TV3 | |||||
2000 | Playboy Pencen | Dr Jay | VCD | |||
Satu Hari Di Hari Raya | TV2 | |||||
2002 | Pondok Buruk | Usop | Astro Ria | |||
Nurfitri | Latif | TV1 | ||||
Rumah Ditengah Sawah | Khalid | TV3 | ||||
2003 | Najwa | Nasir | TV1 | |||
Pondok Buruk 2 | Usop | Astro Ria | ||||
Che Mat | Che Mat | TV3 | ||||
Sekeras Kerikil | Busu/Roslan | |||||
2004 | Titik-Titik Noda | Alif | ||||
Dendam Membara | Astro Ria | |||||
2006 | Daun Ketupat Kering | Along | TV1 | |||
2007 | Lahad | Amir | ||||
2008 | Mengejar Sinar | — | TV3 | |||
Takdir Sedang Berbisik | — | |||||
2009 | Salam Terakhir | Nazman | ||||
Kaki | TV1 | |||||
2010 | Cinta Selat Tebrau | |||||
Sutera Di Sebalik Wajah | Sufian | TV3 | ||||
2012 | Neraka Abah | — | TV9 | |||
2013 | Mawar Putih Tanda Perpisahan | Sudin | Astro Box Office | |||
2014 | Perjalanan | Ramli | TV3 | |||
Kata Samseng | Mokhsin | TV2 | ||||
2016 | Terputusnya Sebuah Doa | Qabil | Astro Ria | |||
Tribute P. Ramlee: Aku dan Dia | — | TV1 | ||||
2018 | Pendosa Ingin Ke Syurga | Sufian/Shawn | TV3 | |||
Mentari | Ikmal Fansuri | |||||
2019 | Wakaf Dosa | Bakri Zain | ||||
Papa Segera | — | TV1 | ||||
2021 | Rujuk | Jefry | TV2 | |||
2022 | Jangan Malu Menangis | Ramlee | TV9 | |||
2023 | Quran Pondok Buruk | Usop | Astro Ria |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
1996 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-9 | Pengacara | TV3 | mengacara bersama Seha |
2000 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-13 | TV1 | mengacara bersama Raja Azura & Sarimah Ibrahim | |
2006–2010 | Fenomena Seni | |||
2007 | Modal Insan | Astro Prima | ||
2009–2011 | Pilih Kasih | Pengarah | TV1 | |
2014–2015 | Da'i Pendakwah Milenia (Musim 2 & 3) | Pengacara | TV3 | bersama Zainal Ariffin Ismail |
2015 | Pelamin Fantasia | Juri tetap | Astro Ria | |
2016–2017 | Da'i Pendakwah Nusantara (Musim 4 & 5) | Pengacara | TV3 | bersama Zainal Ariffin Ismail |
2018 | Da'i Pendakwah Nusantara (Musim 6) | Pengacara | TV3 | |
2019 | All Stars Buka Panggung | Peserta | Astro Warna | |
2020 | Keringat Selebriti | Artis jemputan | Awesome TV | |
Debat Bukan Gaduh | Hakim | |||
Macam-Macam Show | CEO | |||
2021 | Keringat Selebriti 2 | Pengacara | ||
Sembang Rawak | ||||
2021–2022 | Sembang Viral | TV9 | bersama Ahmad Fedtri Yahya | |
2022 | Sembang Viral Mega | |||
I Can See Your Voice Malaysia (musim 5) | Penyiasat tetap | TV3 | ||
2024 | Famili Duo (musim 4) | Juri tetap |
Pada Disember 2010, Rosyam mendermakan sebanyak RM6, 000 bagi membantu 100 anak angkat dengan setiap seorang menerima sekurang-kurangnya RM60 sebulan sebagai bantuan persekolahan melalui dana Yayasan Pelajaran Mara (YPM). Beliau dipetik sebagai berkata: "Dalam hidup ini, kita perlu belajar berkongsi apa yang kita ada dan dengan cara itu, hidup kita pula akan dipermudahkan”.[140]
Sejak 2017, Rosyam merupakan duta bagi program #Quran Hour. Bagi mempromosikan kempen ini, beliau bersama 14 individu lain mendaki kira-kira 2,200 anak tangga Menara Kuala Lumpur pada 21 Ogos.[141][142]
Pada 3 Jun 2018, selaku duta World #QuranHour, Rosyam bersama-sama pelakon Norman Hakim, menyertai bersama 1,200 penunggang motosikal bagi menjayakan konvoi Ride for World #QuranHour yang bermula di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum berakhir di Shah Alam, Selangor. Ia merupakan acara simbolik bagi membina momentum ke kemuncak program World #QuranHour yang diraikan pada 7 Jun.[143][144][145]
Pada 2017, Rosyam telah dikritik dan dipersalahkan umum kerana gagal melaksanakan tugas moderator secara adil dan efisien semasa Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk sesi industri hiburan bersama Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak di kediaman rasmi Najib di Putrajaya yang meperlihatkan kegagalan beliau menangani pertelingkahan antara penerbit filem David Teo dan pelawak Sulaiman Yassin, yang juga dikenali sebagai "Mat Over".[146][147] Rosyam di tengah-tengah kesipuan dan terpaksa meminta maaf secara peribadi kepada Najib, masih berlagak angkuh dengan kredibilitinya sendiri dengan mendakwa bahawa Najib menyukai dirinya selaku hos acara itu.[148]
Selepas kejatuhan Najib dan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan raya umum Malaysia 2018, gesaan di media sosial untuk memboikot pasaraya baru yang telah dibuka pada 1 Jun, ST Rosyam Mart di Setiawangsa, Kuala Lumpur, yang diperkatakan milik Rosyam yang telah pun diketahui ramai sebagai penyokong bekas perdana menteri yang memalukan itu.[149][150][151] Namun pada Januari 2019, dakwaan Rosyam pemilik sebenar dan beliau hanyalah sebagai duta pasaraya tersebut telah menjadi tular di media sosial. Beliau telah dituduh sebagai "barua Cina" yang diperalatkan oleh pemilik sebenar pasaraya Datuk Ho Ah Chai dari Sri Ternak Group (STG), untuk menarik dan memperdayakan pelanggan-pelanggan pasaraya.[152] Hanya sebulan selepas tuduhan itu tersebar, beliau akhirnya secara terbuka mengakui beliau cuma merupakan pemegang saham minoriti yang sekadar mmemiliki 10 peratus saham di dalam pasaraya ST Rosyam Mart.[153]
Rosyam sekali lagi terjerumus dalam polemik politik dari kedua-dua belah pihak yang mempersoalkan maruah serta malahan pelaburan perniagaannya setelah menerima lawatan kerja oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia daripada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), Salahuddin Ayub ke ladang nangka dan kolam ikan milik Rosyam di Lanchang, Pahang sebelum suatu acara rasmi telah diaturkan pada 16 April 2019.[154][155][156]
Festival Filem Asia Pasifik | |||||
---|---|---|---|---|---|
Tahun | Anugerah | Karya tercalon | Kategori | Keputusan | |
1999 | Festival Filem Asia Pasifik ke-44 | Lenjan | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Menang | |
Festival Filem Malaysia | |||||
Tahun | Anugerah | Karya tercalon | Kategori | Keputusan | |
1999 | Festival Filem Malaysia ke-14 | Bara | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Menang | |
2003 | Festival Filem Malaysia ke-16 | KL Menjerit | Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | |
2004 | Festival Filem Malaysia ke-17 | Pontianak Harum Sundal Malam | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Menang | |
2008 | Festival Filem Malaysia ke-21 | Kala Malam Bulan Mengambang | Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | |
2013 | Festival Filem Malaysia ke-26 | KL Gangster 2 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Menang | |
Anugerah Skrin | |||||
Tahun | Anugerah | Karya tercalon | Kategori | Keputusan | |
1999 | Anugerah Skrin 1999 | Lenjan | Pelakon Pembantu Terbaik | Menang | |
2003 | Anugerah Skrin 2003 | KL Menjerit | Pelakon Filem Lelaki Terbaik | Menang | |
2004 | Anugerah Skrin 2004 | — | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Menang | |
2008 | Anugerah Skrin 2008 | Kala Malam Bulan Mengambang | Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | |
2018 | Anugerah Skrin 2018 | Pendosa Ingin Ke Syurga | Pelakon Lelaki Terbaik Drama | Tercalon | |
KL Special Force | Pelakon Lelaki Terbaik Filem | Tercalon | |||
Anugerah Bintang Popular Berita Harian | |||||
Tahun | Anugerah | Karya tercalon | Kategori | Keputusan | |
1998 | Anugerah Bintang-Bintang Popular 1997/98 | — | Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang | |
1999 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1998/99 | — | Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang | |
1999 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1998/99 | — | Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang | |
2002 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 | — | Pelakon Drama TV Lelaki Popular | Menang | |
— | Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang | |||
— | Bintang Paling Popular | Menang | |||
2003 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 | — | Pelakon Filem Lelaki Popular | Menang | |
2005 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 | — | Pelakon TV Lelaki Popular | Menang | |
2006 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 | — | Pelakon TV Lelaki Popular | Menang | |
2007 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 | — | Pelakon TV Lelaki Popular | Menang | |
2008 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 | — | Pelakon TV Lelaki Popular | Menang | |
Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan | |||||
Tahun | Anugerah | Karya tercalon | Kategori | Keputusan | |
2000 | Anugerah PPMH 2000 | — | Pelakon Drama TV Sensasi | Menang | |
Anugerah Seri Angkasa | |||||
Tahun | Anugerah | Karya tercalon | Kategori | Keputusan | |
2000 | Anugerah Seri Angkasa 2000 | — | Pelakon Lelaki TV Terbaik | Menang | |
2024 | Anugerah Seri Angkasa 2024 | Jangan Malu Menangis | Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik | Tercalon |
Pada 11 Oktober 2013, Rosyam bersama-sama dengan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee dan penyanyi rock, Ramli Sarip dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.[157][158][159]
Filem ini mendapat sambutan hangat daripada penonton walaupun ketika ini berlakunya kemerosotan hasil kutipan filem-filem tempatan.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Rosyam Nor |