Magi: The Labyrinth of Magic (Jepun: マギ, Hepburn: Magi) merupakan siri mangapengembaraanfantasi Jepun yang ditulis dan diilustrasi oleh Shinobu Ohtaka. Ia telah diterbitkan secara bersiri oleh Shogakukan di dalam majalah manga shōnen iaitu Shōnen Ahad Mingguan bermula Jun 2009 sehingga Oktober 2017, dengan bab-babnya dikumpul dan diterbitkan kepada 37 jilid tankōbon. Manga ini dilesenkan untuk pasaran bahasa Inggeris di Amerika Utara oleh Viz Media.
Sebuah adaptasi televisyen anime bertajuk Magi: The Labyrinth of Magic oleh A-1 Pictures telah disiarkan di Jepun bermula Oktober 2012 sehingga Mac 2013, diikuti dengan musim kedua yang bertajuk Magi: The Kingdom of Magic, disiarkan bermula pada Oktober 2013 sehingga Mac 2014. Siri anime ini dilesenkan di Amerika Utara oleh Aniplex of America. Ia juga turun dilesenkan oleh Kazé di United Kingdom dan oleh Madman Entertainment di Australia.
Sebuah siri ranting (spin-off), bertajuk Magi: Adventure of Sinbad, ditulis oleh Ohtaka dan diilustrasi oleh Yoshifumi Ohtera, telah diterbitkan secara bersiri di Shōnen Ahad Mingguan bermula Mei hingga Jun 2013, dan kemudiannya di laman web Shogakukan Ura Sunday bermula September 2013 sehingga April 2018.
Pada tahun 2014, Magi: The Labyrinth of Magic menerima Anugerah Manga Shogakukan ke-59 untuk kategori shōnen. Sehingga April 2018, manga ini mempunyai lebih 25 juta salinan dalam peredaran.
Magi: The Labyrinth of Magic ditulis dan diilustrasi oleh Shinobu Ohtaka. Ia telah diterbitkan secara bersiri di majalah milik Shogakukan iaitu majalah Shōnen Ahad Mingguan dari 3 Jun 2009 sehingga 11 Oktober 2017.[3][4] Shogakukan telah mengumpulkan bab-babnya dalam tiga puluh tujuh jilid tankōbon, dikeluarkan dari 18 Disember 2009 sehingga 17 November 2017.[5][6]
Di Amerika Utara, Viz Media telah mengumumkan lesen bahasa Inggeris untuk manga tersebut pada Februari 2013.[7] Tiga puluh tujuh jilid tankōbon siri ini telah diterbitkan dari 13 Ogos 2013 sehingga 13 Ogos 2019.[8][9]
Sebuah siri ranting, bertajuk Magi: Adventure of Sinbad, ditulis oleh Ohtaka dan diilustrasi oleh Yoshifumi Ohtera, telah dikeluarkan sebagai bahan tambahan dengan jilid pertama siri anime ini.[10] Ia kemudian telah dikembangkan kepada siri biasa, yang telah diterbitkan secara bersiri di Shōnen Ahad Mingguan dari 18 Mei sehingga 26 Jun 2013,[11][12] dan kemudiannya dipindahkan ke laman webkomik Shogakukan, Ura Sunday (juga tersedia kemudiannya di aplikasi MangaONE),[13] diterbitkan bermula 18 September 2013 sehingga 25 April 2018.[14][15]
Semasa acara Pameran Hobi Dunia Jisedai '12 Musim Panas oleh Shogakukan, sebuah adaptasi televisyen anime telah diumumkan di laman web rasmi acara tersebut.[16] Siri anime itu, dihasilkan oleh A-1 Pictures, disiarkan di MBS/TBS pada slot masa 5:00 petang dari 7 Oktober 2012 sehingga 31 Mac 2013.[17][18] Untuk 12 episod pertama, lagu tema pembukaan adalah "V.I.P." oleh SID dan lagu tema penutup adalah "Yubi Bōenkyō" oleh Nogizaka46.[19] Bermula episod 13 ke atas, lagu pembukaan adalah "Matataku Hoshi no Shita de" oleh Porno Graffitti dan lagu penutup merupakan "The Bravery" oleh Supercell.[20][21]
Sejurus berakhirnya musim pertama, musim kedua bertajuk Magi: The Kingdom of Magic telah diumumkan.[22][23] Siri ini disiarkan, di slot masa yang sama dengan musim pertama, dari 6 Oktober 2013 hingga 30 Mac 2014.[24][25] Untuk 13 episod pertama, lagu tema pembukaan adalah "Anniversary" oleh SID dan lagu tema penutup adalah "Eden" oleh Aqua Timez,[26] manakala bermula episod 14, lagu tema pembukaan adalah "Hikari" oleh ViViD dan lagu tema penutup adalah "With You/With Me" oleh 9nine.[27]
Siri ini memulakan debutnya di Amerika Utara pada 10 Oktober 2012 di Crunchyroll dan Hulu,[28]Aniplex of America melesenkan siri ini dan alih suara bahasa Inggerisnya telah distrim di servis Neon Alley kepunyaan Viz Media.[29][30] Pada Disember 2019, Funimation menambahkan siri ini dalam perkhidmatan penstrimannya.[31] Ia juga telah dilesenkan oleh Viz Media Europe di Eropah,[32] Kazé di United Kingdom[33][34] (diedarkan oleh Manga Entertainment),[35][36] dan oleh Madman Entertainment di Australia.[37]
Magi: Hajimari no Meikyū (マギ はじまりの迷宮 Magi: The First Dungeon) merupakan sebuah permainan video diadaptasi dari Magi dikeluarkan untuk platform Nintendo 3DS. Permainan ini dihasilkan oleh Bandai Namco Games dan telah dikeluarkan di Jepun pada 21 Februari 2013.[38] Permainan ini telah mendapat sebuah kemaskini dengan lebih banyak watak yang boleh dimainkan, dungeon baru dan lebih banyak cerita.[39] Permainan kedua bertajuk Magi: Aratanaru no Sekai (マギ 新たなる世界, Magi: A Whole New World) untuk 3DS, telah diumumkan pada September 2013.[39] Permainan ini telah dikeluarkan pada 13 Februari 2014.[40][41][42]
Empat bulan selepas pengumuman adaptasi anime siri ini pada Jun 2012, edaran cetakan manga meningkat dari 3 juta salinan untuk 12 jilid pertama menjadi lebih daripada 6.5 juta salinan untuk 14 jilid pertama pada bulan Oktober tahun yang sama.[43] Setakat Oktober 2013, manga ini mempunyai lebih 13 juta salinan dalam peredaran.[44] Nombor itu meningkat ke lebih 18 juta salinan dalam peredaran setakat Mei 2015,[45] dan lebih 23 juta salinan dalam peredaran setakat April 2016.[46] Setakat April 2018, manga ini mempunyai lebih 25 juta salinan dalam peredaran.[47] Di Jepun, Magi: The Labyrinth of Magic merupakan siri manga ke-9 terlaris untuk tahun 2012;[48] ke-4 untuk tahun 2013;[49] ke-8 untuk tahun 2014;[50] ke-20 untuk tahun 2015[51] dan 2016;[52] dan ke-10 untuk tahun 2017, tahun bersiri terakhirnya.[53]
Siri ini berada di kedudukan ke-16 dalam senarai manga terbaik 2013 untuk pembaca lelaki Kono Manga ga Sugoi! oleh Takarajimasha.[54] Siri ini memenangi anugerah manga shōnen terbaik di Anugerah Manga Shogakukan ke-59 pada tahun 2014.[55] Pada undian Manga Sōsenkyo 2021 oleh TV Asahi, di mana 150,000 orang telah mengundi untuk 100 siri manga teratas mereka, Magi: The Labyrinth of Magic menduduki tangga ke-75.[56]
Dalam ulasannya mengenai jilid pertama manga, L.B Bryant menyatakan "ia bukan hanya judul shōnen tetapi juga judul shōnen yang BAIK" dan mengesyorkannya.[57] Rebecca Silverman dari Anime News Network meletakkan jilid pertama sebagai pangkat B. Dia mengkritik bagaimana fan service ditangani dan menunjukkan bahawa cerita itu terasa lebih seperti ke arah permainan berperanan daripada manga, dan seolah-olah Ohtaka tidak pasti dengan arah cerita. Dia membandingkan Aladdin kepada protagonis One PieceMonkey D. Luffy dan memberi komen bahawa seni Ohtaka bertambah baik sejak siri terakhirnya Sumomomo Momomo. Silverman memberi kesimpulan, "secara keseluruhan mereka yang mencari kisah pengembaraan kuno yang baik tentang beberapa anak-anak yang suka bermain (dengan bonus buruan djinn!) yang sedang mengejar impian mereka harus memberikan ini peluang. Ia tidak sempurna, tetapi ia akan memberikan masa yang baik".[58] Leroy Douresseaux dari Comic Book Bin turut memberikan jilid pertama pangkat B, dan membandingkan gaya seni Ohtaka dengan Itsuwaribito oleh Yuuki Iinuma. Dia menggambarkan Magi sebagai "berterus-terang, pengembaraan yang menarik untuk dibaca, sebahagian Prince of Persia dan sebahagian Raiders of the Lost Ark".[59] Kelly Quinn dari The B&N Sci-Fi and Fantasy Blog memasukkan siri ini dalam senarai beliau "7 Manga Shonen yang Kuat oleh Penulis-Penulis Wanita".[60]
IGN menyenaraikan Magi: The Labyrinth of Magic antara siri anime terbaik pada dekad 2010-an dan menambah bahawa ia "tontonan yang menyeronokkan dan mempunyai jumlah aksi yang mengejutkan kepada mereka yang meminati shōnen".[61]