Sultanah Nur Zahirah | ||
---|---|---|
![]() | ||
Raja Permaisuri Agong XIII | ||
13 Disember 2006 – 12 Disember 2011 | ||
Pertabalan | 26 April 2007 | |
Negeri | Terengganu | |
Pendahulu | Tuanku Fauziah | |
Pengganti | Tuanku Hajah Haminah | |
Sultanah Terengganu | ||
12 Julai 1998 – kini | ||
Kemahkotaan | 4 Mac 1999 | |
Pendahulu | Tengku Ampuan Bariah (sebagai Tengku Ampuan Besar) | |
Pasangan | Sultan Mizan Zainal Abidin | |
Anakanda |
Tengku Nadhirah Zahra | |
Kelahiran | 7 Disember 1973 | |
Alor Setar, Kedah |
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah (lahir Rozita binti Adil Bakeri; 7 Disember 1973 bersamaan 12 Zulkaedah 1393 Hijrah) merupakan Sultanah Terengganu dan Raja Permaisuri Agong ke-13. Baginda adalah permaisuri kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu dan Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Nicholas Convent, Alor Setar dan Sekolah Menengah St. Nicholas Convent, Alor Setar. Baginda juga pernah mengikuti kursus dalam bidang sumber manusia.
Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Pasangan diraja ini dikurniakan 4 orang anakanda:
Pada 28 Mac 1996, selepas melangsungkan perkahwinan dengan suaminya, baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Berbahagia To' Puan Seri Rozita binti Adil Bakeri, isteri kepada Yang di-Pertuan Muda Terengganu.
Pada 12 Julai 1998, baginda telah dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Nur Zahirah, Permaisuri Terengganu berikutan pemasyhuran suami baginda sebagai Sultan Terengganu.
Pada 5 Jun 2006, selepas mendapat perkenan oleh suaminya, gelaran rasmi baginda telah dipinda kepada gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu.
Baginda kemudiannya telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-13, Tuanku Nur Zahirah pada 13 Disember 2006 berikutan pemasyhuran Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Baginda juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang hiasan dalaman dan mementingkan ruang yang kemas dengan persekitaran yang teratur, sempurna dan bersih. Di samping itu, baginda gemar memasak terutama hidangan istimewa untuk santapan baginda sekeluarga. Antara hobi baginda yang lain adalah membaca, bermain bola jaring serta mengemas.
Baginda juga merupakan penaung diraja untuk pelbagai pertubuhan, badan-badan kebajikan dan persatuan institusi pendidikan di negeri Terengganu. Pertubuhan di bawah baginda terdiri daripada:
Satu lagi pencapaian penting ialah Tadika An Nur merupakan sebuah prasekolah yang berprestij di Terengganu yang dinaungi oleh Seri Paduka Baginda Tuanku. Prasekolah ini telah berkembang dengan pesat ketika baginda merancang untuk memberikan pendidikan awal untuk anakanda-anakandanya. Baginda kini merupakan Penaung Diraja Tadika An Nur yang kini telah dibuka kepada orang ramai.
Baginda juga memainkan peranan besar ketika penganjuran misi program Kemanusiaan terhadap mangsa gempa bumi Lautan Hindi 2004 dengan mengutip derma serta diagihkan kepada mangsa melalui kedua-dua kerajaan Acheh dan negeri Kedah. Seri Paduka Baginda Tuanku juga melibatkan diri dengan program-program membantu golongan miskin dan berkeperluan khas.
Pada tahun 2006, Yayasan DiRaja Sultan Mizan, sebuah yayasan Kerabat Diraja Terengganu, yang diwakili oleh baginda telah mengedarkan botol susu khas untuk bayi yang mengalami sumbing, peralatan pam susu ibu dan alat-alat berkaitan yang lain bagi membantu mereka yang mengalami masalah penglihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Baginda juga merupakan Tuanku Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dianugerahi Anugerah BrandLaureate Royal Quintessential oleh Asia Pacific Brands Foundation (APBF) pada satu majlis di Istana Terengganu pada 15 Julai 2011.[1][2]
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden The BrandLaureate Dr KK Johan. Turut hadir ialah CEO The BrandLaureate Chew Bee Peng dan anggota lembaga APBF.
Dalam membaca ucapan menjunjung kasih dan tahniah kepada Tuanku Permaisuri, Chew Bee Peng menyifatkan: “Keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan rakyat Malaysia diiktiraf banyak pihak dan amat dihargai dan Tuanku sentiasa menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik. “Menerusi pelbagai inisiatif kebajikan yang diusahakan Tuanku seperti Yayasan Tuanku Nur Zahirah, membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pengukir tempatan di Terengganu dan pada masa yang sama membantu mempromosikan dan memulihara kraf dan warisan asli,”.
Tuanku Nur Zahirah menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada 4 Disember 2005 yang disampaikan oleh Canselor KUSTEM, Sultan Mizan pada Majlis Konvokesyen Khas di Dewan Sultan Mizan, Kustem, Kuala Terengganu.
Gaya bagi Sultanah Nur Zahirah | |
---|---|
Rujukan gaya | Kebawah Duli Yang Maha Mulia |
Gaya percakapan | Kebawah Duli Tuanku |
Gaya alternatif | Tuanku |